Mulai 1 Disember, majikan wajib memastikan pekerja mereka yang bekerja di luar memakai pakaian seragam yang mudah menyerap peluh dan memberikan pengudaraan yang lebih baik, di bawah peraturan baharu untuk melindungi pekerja daripada cuaca yang semakin panas.

Majikan juga perlu memastikan paket ais atau semburan air disediakan di tapak kerja sekiranya berlaku sebarang tanda penyakit akibat haba, serta menyediakan air sejuk di tapak kerja. 

Mereka juga perlu memastikan semua pekerja yang bekerja di luar dilatih agar memahami sepenuhnya langkah-langkah tekanan haba yang perlu diambil demi keselamatan mereka.

Langkah sedia ada termasuk memastikan pekerja kerap mengambil air serta memastikan pekerja baharu dibiasakan secara beransur-ansur dengan haba sebelum dihantar bekerja.

Kegagalan mematuhi empat peraturan baharu itu boleh mengakibatkan penalti seperti perintah henti kerja dan denda.

Langkah-langkah itu, sebelum ini hanya disenaraikan sebagai cadangan di bawah rangka kerja tekanan haba Kementerian Tenaga Manusia (MOM), yang diperkenalkan pada penghujung 2023.

Peraturan baharu itu diumumkan oleh Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, pada 28 Ogos semasa lawatan ke tapak pembinaan PSA Supply Chain Hub @ Tuas. Dengan itu, jumlah langkah tekanan haba wajib meningkat kepada 11, berbanding tujuh pada masa ini.

Pengumuman itu dibuat ketika Singapura mengalami peningkatan risiko haba dan bulan-bulan yang lebih panas akan datang, berikutan fenomena iklim El Nino yang semakin kuat dan memanas dengan pantas. 

Suhu tertinggi pada separuh pertama Ogos melebihi 33 darjah Celsius pada hampir setiap hari kecuali sehari.

Keperluan wajib sedia ada yang lain termasuk menyediakan kawasan rehat berteduh untuk pekerja. Pekerja baharu dan mereka yang bercuti sekurang-kurangnya seminggu turut perlu menjalani rutin pembiasaan haba.

Ini bermakna pekerja perlu meningkatkan pendedahan haba harian secara beransur-ansur sekurang-kurangnya selama tujuh hari.

Rangka kerja MOM mengklasifikasikan langkah-langkah itu berdasarkan tiga tahap tekanan haba, yang ditentukan oleh suhu glob bebola basah (WBGT). Ini merupakan ukuran tekanan haba yang mengambil kira suhu, tahap kelembapan, kelajuan angin dan sinaran suria.

Empat langkah baharu itu terpakai pada ketiga-tiga tahap tekanan haba di bawah rangka kerja MOM – apabila WBGT di bawah 31 darjah Celsius, apabila WBGT antara 31 hingga 33 darjah Celsius, dan apabila WBGT mencecah 33 darjah Celsius ke atas.

Namun, langkah-langkah sedia ada yang lain dibezakan berdasarkan tahap tekanan haba.

Sebagai contoh, apabila WBGT antara 32 hingga 33 darjah Celsius, majikan wajib memastikan pekerja yang menjalankan kerja berat diberikan waktu rehat sekurang-kurangnya 10 minit setiap jam.

Semasa tempoh tekanan haba yang lebih tinggi, iaitu apabila WBGT mencecah 33 darjah Celsius ke atas, pekerja yang menjalankan kerja berat digalakkan berehat selama 15 minit setiap jam.

Sejak 2024, adalah wajib bagi meter WBGT dipasang di semua tapak kerja dengan jumlah kontrak sekurang-kurangnya 5 juta dolar, kawasan limbungan kapal serta sektor pembuatan proses.

Pada 28 Ogos, MOM turut memperkenalkan satu langkah sukarela baharu yang menggalakkan majikan menyediakan kawasan rehat berteduh yang disejukkan atau mempunyai pengudaraan yang baik. Ini termasuk kawasan berlindung dengan kipas serta bumbung bertebat dengan panel kayu.