Walaupun faraid ialah bahagian yang ditetapkan oleh syarak bagi waris atau individu yang berhak menerimanya, mereka yang bukan waris juga ada peruntukannya.
Empat perkara perlu dibereskan sebelum pembahagian faraid dijalankan.
Ia termasuk zakat, fidyah, kaffarah dan tanggungan arwah, seperti tempat tinggal balu semasa tempoh idah, keperluan pengurusan jenazah dengan syarat tidak berlebih-lebihan, hutang dengan manusia dan Allah swt, seperti mas kahwin, haji dan sebagainya, serta wasiat arwah yang memperuntuk bahagian tidak melebihi sepertiga harta peninggalan kepada bukan waris, melainkan dengan izin waris.
Pewarisan dalam Islam mengandungi beberapa matlamat seperti memelihara kebajikan waris dan memastikan pembahagian harta tidak menyulitkan, dilakukan secara berhemah semasa pembahagian harta demi memelihara hubungan dan perlunya merancang keperluan kebajikan tanggungan arwah.
“Kebajikan tanggungan harus dipertimbang secara serius agar mereka tidak dibiarkan hidup melarat dan meminta-minta.
“Disebabkan pewaris (seperti bapa atau adik lelaki) sudah menerima sebahagian harta pusaka arwah, maka mereka perlu menggalas tanggungjawab memastikan kebajikan tanggungan arwah (seperti isteri, anak-anak) terjaga.
“Umat Islam harus memahami selok-belok faraid sambil memenuhi amanah yang kini dalam pangkuannya,” kata jurucakap Pejabat Mufti (OMM) di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Bagi menjelaskan tentang perancangan legasi, berikut jawapan kepada beberapa soalan yang diterima dalam webinar Berita Harian (BH) tentang perancangan legasi baru-baru ini.
Soalan 1: Bolehkah wasiat mengubah pembahagian harta pusaka yang ditentukan oleh faraid?
Umat Islam boleh meninggalkan wasiat tetapi pengagihan harta di luar lingkungan hukum faraid dihadkan kepada sepertiga bahagian sahaja.
Wasiat tidak boleh digunakan untuk meninggalkan harta kepada waris faraid, atau mengecualikan waris faraid.
Walaupun wasiat tidak boleh digunakan untuk mencegah agihan faraid kepada waris faraid, ia boleh digunakan untuk mengagihkan sehingga sepertiga daripada harta pusaka kepada bukan waris faraid seperti ahli keluarga bukan Islam, anak tiri, ibu bapa tiri, ahli keluarga angkat, keluarga jauh, kawan, penjaga atau badan kebajikan.
Ulama mengenal pasti beberapa keadaan yang boleh memberi kesan kepada hukum melakarkan wasiat.
Wajib: Pewasiat mempunyai tanggungjawab Shari’I (yang selaras dengan hukum syarak) yang belum dilaksanakan, seperti zakat tertunggak atau ibadah haji yang belum ditunaikan, dan bimbang hartanya habis jika tidak diwasiatkan. Begitu juga halnya kalau beliau berhutang dan meminjam barang.
Soalan 2: Bagaimanakah memasukkan individu yang bukan waris faraid dalam perancangan legasi?
Anggota yang bukan waris faraid termasuk anak angkat, anak atau ibu bapa tiri, ahli keluarga bukan Islam, saudara-mara atau bukan ahli keluarga terdekat. Agar lebih jelas, gunakan kalkulator faraid di laman web Mahkamah Syariah untuk mengetahui siapakah waris faraid anda.
Cara lain meninggalkan harta kepada penerima bukan waris faraid:
o Wasiat (Sehingga satu pertiga daripada harta pusaka)
o Penamaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) atau insurans sebagai satu bentuk hibah (pemberian hak/harta secara sukarela)
o Hibah (semasa hidup; pemindahan aset atau pemberian semasa hayat penderma)
Segala usaha ini bermatlamat menonjolkan sifat rahmah dan ihsan semasa harta dibahagikan. Tanpa rahmah dan ihsan, keluarga boleh berpecah belah dan bertelingkah.
“Sikap memandang remeh terhadap perancangan harta ketika masih hidup akan merugikan diri sendiri, dengan perbalahan dan permusuhan berpanjangan yang boleh berlaku antara anggota keluarga.
“Oleh sebab itu, tanggapan terhadap perancangan pembahagian harta semasa hayat perlu diubah,” ujar jurucakap OOM.
Selain membuat perancangan bagi pembahagian harta kepada anggota yang bukan waris faraid, orang ramai juga digalak mengetepikan sebahagian harta mereka untuk amal kepada wakaf seperti Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).
Langkah ini berupa satu ibadah sedekah jariah, iaitu amalan yang berkekalan, dan merupakan satu bentuk sumbangan mampan dan mampu meraih pahala berlipat ganda.
Rancanglah legasi anda hari ini untuk orang tersayang, persaraan dan akhirat dengan menggunakan kit Sumber Perancangan Legasi Islam Muis di https://go.gov.sg/plan-ilp
Anda juga boleh mengimbas kod QR yang disediakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg