Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wakaf tunai: Amal jariah bagi semua, termasuk kurang berada

Sumbangan kecil jadi dana besar bawa manfaat kepada masyarakat, perkukuh institusi pendidikan, agama dan program kebajikan
Jun 20, 2025 | 5:30 AM
Setiap sumbangan ke Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), besar mahupun kecil, adalah langkah menuju pahala berkekalan. Mulakan wakaf anda hari ini dan jadikan ia saham untuk akhirat.
Setiap sumbangan ke Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), besar mahupun kecil, adalah langkah menuju pahala berkekalan. Mulakan wakaf anda hari ini dan jadikan ia saham untuk akhirat. - Foto MUIS

Wakaf sering dikaitkan dengan sumbangan berskala besar – tanah luas, bangunan megah atau harta kekal bernilai tinggi.

Tidak hairanlah amalan berwakaf kerap dianggap sebagai hak eksklusif golongan kaya dan berkemampuan.

Namun, persepsi ini sebenarnya menyempitkan skop dan keindahan konsep wakaf dalam Islam.

Pada hakikatnya, wakaf boleh dilaksanakan oleh semua orang – tanpa mengira status ekonomi, umur atau latar belakang penderma.

Salah satu bentuk wakaf yang semakin relevan pada masa kini ialah wakaf tunai, iaitu sumbangan dalam bentuk wang ringgit dengan niat wakaf.

Berbeza daripada wakaf tradisional yang memerlukan harta kekal seperti tanah atau bangunan, wakaf tunai membolehkan sesiapa sahaja menyumbang, walau dengan nilai kecil sekalipun. 

Malah, wakaf tunai membuka ruang luas untuk masyarakat menyertai amalan berwakaf secara lebih mudah dan tersusun.

Ia bukan sahaja memperkukuh ekonomi ummah, malah memperluas jangkauan manfaat wakaf kepada sektor pendidikan, kesihatan, pembangunan sosial dan keagamaan.

Wakaf tunai kini mudah diakses

Menurut Ketua Pelibatan dan Pembangunan Masyarakat di Masjid Al-Muttaqin, Ustaz Khidir Ibrahim, konsep wakaf tunai membawa perubahan besar dalam amalan mencipta wakaf. Ia membolehkan individu, termasuk yang berpendapatan sederhana, menyumbang secara tetap.

Contohnya, dengan sumbangan $30 sebulan atau sumbangan sekali sebanyak $60 kepada sebuah dana wakaf tunai, sesiapa sahaja boleh menjadi pewakaf secara bersama.

Lama-kelamaan, sumbangan kecil itu akan terkumpul menjadi satu dana besar yang dapat membawa manfaat kepada masyarakat untuk pelbagai kegunaan, seperti mengukuhkan institusi pendidikan dan keagamaan serta program kebajikan dan kemasyarakatan.

“Lihat sahaja Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF). Hasil sumbangan masyarakat yang diberikan secara konsisten sejak 1970-an hingga hari ini itu telah membiayai pembinaan 26 buah masjid baru serta menaik taraf banyak masjid sedia ada di Singapura.

“Hari ini, kita boleh ambil contoh seperti inisiatif Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), yang membolehkan individu menyumbang serendah $30 sebulan.

“Setiap sumbangan, baik kecil mahupun besar, kepada dana itu akan disalurkan ke dalam sebuah korpus, yang kemudian akan dilaburkan secara berterusan dengan hanya pulangan daripada pelaburan itu diagihkan kepada penerima,” jelas Ustaz Khidir.

Pulangan daripada pelaburan itu akan memenuhi tiga matlamat – iaitu menyokong masjid dan madrasah memperbaharui pajakan tanah apabila tamat tempoh; memperkukuh sektor asatizah, termasuk menyediakan program latihan dan peningkatan kemahiran, misalnya menerusi Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS); dan menyokong program sosioagama bagi membangunkan masyarakat Islam tempatan.

Ganjaran rohani dan kemasyarakatan

Selain kesan material daripada sumbangan individu kepada WMS, wakaf itu dapat memupuk ketakwaan, sifat belas kasihan, dan semangat kebersamaan dalam masyarakat. Ia menguatkan lagi hubungan ummah dan menghubungkan hati, tidak kira tahap kekayaan.

Allah swt mengingatkan kita dalam Surah Al Baqarah, ayat 261: “Perumpamaan orang yang membelanjakan harta mereka di jalan Allah adalah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, setiap tangkai mengandungi 100 biji. Dan Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang Dia kehendaki.”

Walaupun setiap sumbangan pada awalnya mungkin kelihatan kecil, ia merupakan benih yang akan berkembang menjadi teras pembangunan masyarakat dan agama yang bermakna.

Bayangkan, ganjaran berlipat ganda apabila sumbangan kecil membantu mendidik seorang anak, menyokong keluarga memerlukan, atau mengekalkan masjid untuk generasi akan datang.

Semua orang boleh jadi pewakaf

Kini, berwakaf lebih mudah dilakukan berbanding sebelum ini.

Dengan serendah $60, semua orang boleh menjadi pewakaf. Menerusi semangat gotong-royong pada 2025, WMS menetapkan sasaran $6 juta – membuktikan bahawa sumbangan kecil, apabila digabungkan, mampu menghasilkan kesan besar.

Selain sumbangan tunai, secara sekali gus atau berkala, orang ramai kini mempunyai pelbagai pilihan untuk menyumbang kepada WMS.

Mereka boleh mewasiatkan harta, menamakan sebahagian dana Tabung Simpanan Pekerja (CPF), atau mengagihkan pampasan insurans kepada WMS menggunakan instrumen penamaan.

Jawatankuasa Fatwa memutuskan penamaan (nominasi) CPF dan insurans (yang boleh dimansuhkan) dibenarkan dalam Islam dan dianggap sebagai hibah kepada individu atau pertubuhan.

Penting untuk diketahui bahawa sumbangan itu tidak tertakluk kepada nisbah faraid, dan boleh ditetapkan mengikut jumlah yang diinginkan.

“Melalui WMS, setiap Muslim Singapura berpeluang meninggalkan legasi bermakna dan berkekalan untuk generasi akan datang.

“Wakaf bukan memberi manfaat kepada masyarakat sahaja, malah merupakan amal jariah yang membawa ganjaran berterusan,” ujar Ustaz Khidir.

WAKAF MASYARAKAT SINGAPURA (WMS)

Setiap sumbangan bermakna: Mulakan wakaf anda hari ini melalui https://go.gov.sg/wms-bh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg