Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wakil Islam Universiti Harvard percaya keharmonian dalam masyarakat semakin penting

Jun 25, 2025 | 8:03 PM
Chaplain, wakil agama Islam Universiti Harvard, Dr Khalil Abdur-Rashid,  Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS)
Sebagai Chaplain atau wakil agama Islam pertama Universiti Harvard, Dr Khalil Abdur-Rashid, gigih menjalankan usaha dalam memupuk persefahaman antara agama dan perpaduan sosial. - Foto ihsan KHALIL ABDUR-RASHID

Sedang masyarakat sedunia mengharungi krisis dan ketegangan yang berterusan di merata tempat, perpaduan sosial menjadi lebih kritikal berbanding sebelumnya, kata Chaplain atau wakil agama Islam pertama Universiti Harvard, Dr Khalil Abdur-Rashid.

Justeru acara seperti Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) dapat menjadi pemangkin dalam menyokong masyarakat, terutama sedang ia mengharungi masa yang tidak menentu.

Berkata demikian sebagai peserta bagi edisi ketiga ICCS, Dr Khalil, 50 tahun, yang ditemui Berita Harian (BH) pada 25 Jun berkata:

“Topik persidangan mengenai perpaduan sosial adalah kritikal pada saat ini kerana dunia amat berpecah belah.

“Singapura memberikan ruang untuk peserta berkongsi pandangan secara mendalam dengan lebih daripada 1,000 peserta antarabangsa, yang kemudiannya akan pulang ke tanah air mereka dan berkongsi apa yang dipelajari.

“Diharapkan persidangan tersebut dapat menjadi pemangkin dalam menyokong masyarakat, terutama sekali dalam mengharungi dunia yang tidak menentu.”

ICCS kali ini meneroka pendekatan praktikal untuk membina keharmonian sosial berteraskan tiga tonggak utama – memahami pelbagai budaya, mengharungi ketidaktentuan dan membentuk daya ketahanan masyarakat.

Memberikan pandangannya, Dr Khalil berkata beliau juga bersependapat dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, yang telah berkongsi tentang kejiranan sebagai asas teras perpaduan sosial.

Dalam ucaptamanya pada pagi 25 Jun di Pusat Konvensyen Raffles City, Sultan Nazrin berkata:

“Saya percaya bahawa asas utama keharmonian sosial adalah dengan menjadi jiran yang baik...

“Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berasa bangga dapat memanggil Singapura sebagai jiran saya dan saya menghargai ikatan erat yang kita kongsi bersama.

“Namun di tempat lain di dunia, pada saat ini juga, terdapat negara-negara yang bertelagah dengan jirannya.”

Merujuk kepada kata-kata Sultan Nazrin, Dr Khalil berkongsi bahawa konsep kejiranan adalah sesuatu yang mudah difahami, namun mungkin satu sifat yang senang dilupakan.

Justeru, adalah penting, ujar Dr Khalil, untuk menjadi jiran yang baik dengan berbakti dan menyumbang kembali apa yang telah dipelajari dengan satu sama lain.

Sebagai seorang Chaplain, Dr Khalil berkhidmat kepada pelajar Islam di kampus.

Tugasnya melibatkan pendidikan agama, pembangunan masyarakat, serta menyediakan nasihat dan latihan rohani.

Dalam tugasnya sebagai wakil agama Islam di Universiti Harvard, beliau turut menjalankan usaha untuk memupuk persefahaman antara agama bersama isterinya, Cik Samia Khalil Omar, yang juga Chaplain wanita pertama.

Dengan kerjasama rapat bersama wakil agama lain di kampus, antaranya Rabai Getzel Davis, mereka dapat menjalankan program pasca serangan Hamas-Israel yang berlaku pada 7 Oktober 2023.

“Isteri saya, Chaplain Samia, banyak terlibat dalam penganjuran lingkaran sokongan bagi kesedihan dan trauma seperti ‘grieving circles’ dan ‘trauma circles’, serta menjadi penasihat kepada para pelajar.

“Saya juga menjalankan program bersama Ketua Rabai di kampus, termasuk program berkala mengenai konsep menjadi jiran yang baik.

“Kami menganjurkan satu seminar besar, yang dibuat oleh masyarakat untuk masyarakat, bagi mengenai erti menjadi jiran yang baik di kampus.

“Ia merupakan satu usaha besar yang telah kami laksanakan sejak setahun setengah yang lalu,” kata Dr Khalil.

Sebagai Chaplain Islam Afrika-Amerika pertama yang dibesarkan di kampus Harvard oleh ibu bapanya yang telah memeluk Islam – dalam keluarga yang berakar kuat dengan tradisi Southern Baptist dan budaya Amerika Selatan – latar belakang uniknya meletakkannya dalam kedudukan yang baik dalam membantu mendekati pelajar dan kakitangan sekolah itu.

Topik persidangan mengenai perpaduan sosial adalah kritikal pada saat ini kerana dunia amat berpecah-belah. Singapura memberikan ruang untuk peserta berkongsi pandangan secara mendalam dengan lebih daripada 1,000 peserta antarabangsa, yang kemudiannya akan pulang ke tanah air mereka dan berkongsi apa yang dipelajari. Diharapkan persidangan tersebut dapat menjadi pemangkin dalam menyokong masyarakat, terutama sekali dalam mengharungi dunia yang tidak menentu.
Dr Khalil Abdur-Rashid, Chaplain atau wakil agama Islam pertama Universiti Harvard.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg