Topik diikuti
Pergi ke BHkuWan Rizal: Didik pemandu warga emas Melayu tentang pindaan Akta Lalu Lintas
Wan Rizal: Didik pemandu warga emas Melayu tentang pindaan Akta Lalu Lintas
Wan Rizal: Didik pemandu warga emas Melayu tentang pindaan Akta Lalu Lintas
Pemerintah perlu melakukan lebih banyak lagi, termasuk bekerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam, untuk mendidik pemandu warga emas Melayu/Islam yang mengalami penyakit kronik tentang undang-undang baru di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya, kata Anggota Parlimen (AP) Pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar).
Rang Undang-Undang Lalu Lintas Jalan Raya (Pindaan Pelbagai), yang diluluskan Parlimen pada 4 Ogos, antara lain menetapkan bahawa ia kini menjadi satu kesalahan jika seseorang memandu atau cuba memandu dengan adanya dadah terkawal, bahan memabukkan atau bahan psikoaktif yang dikesan dalam spesimen darah.
Ini tanpa memerlukan bukti bahawa dia dalam keadaan terganggu ketika memandu.
Meski terdapat pembelaan berkanun, tanggungjawab membuktikan bahawa penggunaannya adalah sah di sisi undang-undang terletak pada pemandu itu sendiri, kata Dr Wan Rizal.
Semasa perbahasan rang undang-undang itu di Parlimen pada 4 Ogos, Dr Wan Rizal menarik perhatian bahawa ramai pemandu warga emas Melayu/Islam menghidap kencing manis, darah tinggi atau penyakit jantung, dan perlu mengambil ubat preskripsi setiap hari untuk terus bekerja dan menyara kehidupan keluarga.
“Seorang pemandu yang mengambil ubat mengikut arahan doktor tidak sepatutnya berdepan risiko kehilangan mata pencarian kerana ubat yang menyelamatkan nyawanya.
“Saya menyeru kementerian bekerjasama bukan sahaja dengan farmasi dan doktor, bahkan dengan badan-badan Melayu/Islam, masjid, Yayasan Mendaki dan pertubuhan komuniti Melayu/Islam,” kata beliau.
Beliau menambah bahawa maklumat harus disampaikan awal kepada mereka yang paling terkesan dalam bahasa Melayu yang mudah difahami.
“Kerana bagi seorang bapa yang menyara keluarga dengan pendapatan memandu, hilang lesen bererti hilang rezeki.
“Dan hilang rezeki menjejas seisi keluarga, termasuk anak-anak yang masih bersekolah. Amanah itu bukan hanya di jalan raya. Ia juga di rumah,” kata beliau.