Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wan Rizal komited bina ruang mesra alam demi kesihatan minda penduduk

Apr 20, 2025 | 5:05 PM
Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bakal bertanding di GRC Jalan Besar pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), (dari kiri) Pengerusi Tindakan bagi Bandar Hijau dan calon PAP Dr Wan Rizal Wan Zakariah; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua Lay Peng, dan calon PAP Encik Shawn Loh, mengenalkan media kepada Jambatan Kolam Ayer yang baru dibuka semula.
Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bakal bertanding di GRC Jalan Besar pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), (dari kiri) Pengerusi Tindakan bagi Bandar Hijau dan calon PAP Dr Wan Rizal Wan Zakariah; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua Lay Peng, dan calon PAP Encik Shawn Loh, mengenalkan media kepada Jambatan Kolam Ayer yang baru dibuka semula. - Foto BH oleh NYIMAS ANDREANA

Kebun terapeutik dapat memastikan bandar sentiasa hijau sambil memberi penduduk tempat beriadah dan menenangkan minda.

Ketika ditemui media di Jambatan Kolam Ayer pada 20 April bersama pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Jalan Besar, Pengerusi Tindakan bagi Bandar Hijau – atau Action for Green Towns dan calon PAP, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, 46 tahun, berkongsi komitmen membina bandar hijau dan mampan.

Jambatan Kolam Ayer yang baru dibuka semula pada 16 April, setelah ditutup untuk kerja pengubahsuaian selama enam bulan, merupakan gambaran bagaimana kejiranan Jalan Besar kini dihubungkan dengan pelbagai penghubung taman dan laluan berbasikal.

Dr Wan Rizal disertai rakan-rakan lain yang akan bertanding di GRC Jalan Besar, yang terdiri daripada Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua Lay Peng; dan muka baru, Encik Shawn Loh.

“Apa yang kami usahakan menerusi Jambatan Kolam Ayer ini diterima dengan tangan terbuka oleh pemilik gerai Pasar Geylang Bahru dan penduduk yang tinggal di sini kerana mereka boleh menziarahi satu sama lain dalam jangka masa lebih pendek,” kata Dr Rizal mengenai jambatan penghubung tersebut.

Kemeriahan kejiranan itu begitu dirasakan dengan beberapa orang kelihatan sedang memancing.

Dr Wan Rizal juga menambah pergaulan akrab masyarakat di Kolam Ayer akan menghasilkan keceriaan dan suasana sihat, sejajar dengan pelan induk lima tahun mereka.

“Sebagai Pengerusi Tindakan bagi Bandar Hijau, saya amat beruntung dapat bekerjasama dengan 15 Majlis Bandaran PAP lain untuk berbincang idea bagi mengusahakan projek kemampanan bagi setiap bandar,” katanya.

Kini, GRC Jalan Besar sudah menghasilkan beberapa zon kemampanan, di mana mereka mengumpul kertas, baju lama dan barang elektronik, untuk dikitar tinggi atau upcycle bagi menjadi produk baru lebih bermutu.

Selain itu, lebih 60 blok flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di situ telah dilengkapi dengan panel solar.

Di sekeliling estet perumahan Jalan Besar juga terdapat bahagian dalam MRT lama yang diubah untuk digunakan sebagai bangku untuk penduduk.

“Kami inginkan projek kami datang daripada penduduk sendiri. Jadi penduduk adalah keutamaan bagi kami, dan kami menerima apa sahaja saranan dan maklum balas daripada mereka,” jelas Dr Wan Rizal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg