Rang Undang-Undang Keadilan Di Tempat Kerja (Penyelesaian Pertikaian) merupakan langkah penting untuk menjadikan tempat kerja adil bagi setiap pekerja.
Namun, proses mencari penyelesaian juga harus terasa selamat, terutama bagi mereka yang mengalami keadaan hidup yang sukar atau berdepan cabaran peribadi.
Berucap di Parlimen pada 4 November semasa perbahasan rang undang-undang baru itu, Anggota Parlimen (AP), Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), berkata setiap pekerja berhak tahu bahawa “sistem akan mendengar mereka” dan tidak menghantui mereka jika sesuatu berlaku.
“Itulah sebabnya rang undang-undang ini penting. Ia memberi jaminan kepada pekerja dan pencari kerja bahawa penyelesaian boleh dicari dengan selamat, sulit dan adil.
“Mereka mesti tahu mereka akan didengari tanpa rasa takut terhadap tindakan dan maruah mereka akan dilindungi,” kata Dr Wan Rizal, yang juga Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Pada 4 November, Parlimen meluluskan rang undang-undang yang menetapkan rangka kerja dan perlindungan berkaitan untuk menyelesaikan pertikaian keadilan di tempat kerja, termasuk had tuntutan dan entiti terlibat dengan pihak yang bertikai pada setiap langkah.
Ia turut menggalakkan pihak terbabit supaya menyelesaikan pertikaian secara baik sesama mereka, termasuk melalui pengantaraan, serta menyediakan lebih ramai pekerja dengan akses kepada forum yang dapat menilai tuntutan diskriminasi tempat kerja dengan cepat dan berpatutan, sebagai langkah terakhir.
Memetik Laporan Amalan Pekerjaan Adil Kementerian Tenaga Manusia (MOM) 2023, Dr Wan Rizal berkata hanya kira-kira 30 peratus pekerja yang mengalami diskriminasi mendapatkan bantuan, kurang daripada 35 peratus pada 2022.
Beliau berkata walaupun kesedaran tentang keadilan di tempat kerja meningkat, ramai pekerja masih takut bersuara dan kebanyakan yang berdiam diri menyatakan rasa takut dipinggirkan atau menjejas kerjaya mereka.
Dalam ucapannya, Dr Wan Rizal berkata sekiranya pencari kerja yang merupakan ahli kesatuan menghadapi diskriminasi, mereka bukan sahaja boleh membawa kes tersebut ke Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) dan Tribunal Tuntutan Pekerjaan (ECT) untuk penyelesaian, bahkan mereka juga boleh membawanya melalui NTUC.
“NTUC akan sentiasa bersedia menyokong semasa rundingan dengan syarikat, proses pengantaraan dan juga di ECT.
“Ini memastikan keadilan bukan sahaja bermula di tempat kerja, malah dari awal perjalanan kerjaya seseorang,” kata Dr Wan Rizal.
Beliau menambah, pemimpin kesatuan dan pegawai perhubungan perusahaan mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan pertikaian tempat kerja dan juga akan menjalani latihan lanjut untuk melengkapkan kemahiran dalam mengendalikan kes keadilan tempat kerja.
Ini supaya mereka dapat mengenali tekanan, mengurus perbualan sensitif dan menegakkan kerahsiaan dalam setiap interaksi, kata Dr Wan Rizal.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg