Sudah dianggap seperti keluarga, seorang wanita, 25 tahun, menjemput pemandu bas yang dikenalinya selama lapan tahun untuk menghadiri hari perkahwinannya.
Ketika usianya 16 tahun, Cik Rini sering menaiki bas 179 untuk ke tempat kerja sambilannya di Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau akan disambut oleh senyum manis dan lambaian mesra pemandu bas yang dikenalinya sebagai ‘Uncle Rama’.
Cik Rini baru-baru ini memuat naik video beliau bersama dengan pemandu bas itu, sambil mengimbau lapan tahun menaiki bas yang sama. Dalam video itu, Cik Rini berkongsi bagaimana Uncle Rama memberi impak yang besar kepadanya.
“Pertama kali saya berjumpa dengannya, saya rasa pakcik ini sangat comel kerana dia menyambut saya dengan senyuman, lambaian tangan dan ucapan selamat pagi yang ceria,” kongsi Cik Rini kepada laman Mothership.
Menurut Rini, Uncle Rama sering memberinya makanan ringan seperti “karipap dan murukku” sebelum beliau berangkat ke tempat kerja.
Sewaktu Cik Rini belajar di politeknik, Uncle Rama akan menunggu sedikit masa lagi untuk memastikan Cik Rini tidak terlepas bas, kerana mengetahui bahawa itu adalah bas yang terakhir dan Cik Rini terlewat dari latihan.
Setelah dewasa, Cik Rini terus menaiki bas pukul 9 malam, dan tiba gilirannya untuk berkongsi apa saja makanan ringan yang ada dalam begnya untuk diberikan kepada pemandu bas kesayangannya.
Walaupun perjalanan mereka bersama biasanya hanya mengambil masa tiga perhentian bas, mereka akan berkongsi cerita tentang pelbagai perkara - daripada keluarga pemandu itu di Malaysia sehinggalah apa yang telah Cik Rini makan pada hari itu.
“Dia sedikit lebih tua sekarang, dan rambutnya sudah putih keseluruhannya dan saya sedih melihat dia bekerja kadang-kadang jauh dari keluarga jadi saya memutuskan bahawa saya akan menjadi keluarganya di sini sementara dia bekerja keras untuk keluarganya,” katanya.
Baru-baru ini, Cik Rini memberitahu Uncle Rama beliau akan mendirikan rumahtangga dan menjemput beliau untuk menghadiri majlis perkahwinannya.
“Dia sangat gembira mendengar bahawa saya akan berkahwin, dan dia paling teruja melihat kompang di majlis perkahwinan orang Melayu,” katanya lagi.
Untuk menunjukkan rasa terima kasihnya, Rini menyediakan kad perkahwinan, berserta dengan sejumlah wang untuk menaiki kereta sewa persendirian ke tempat majlis diadakan.
Walaupun perkahwinannya akan berlangsung pada bulan November, Cik Rini memastikan untuk memberitahu Uncle Rama awal supaya beliau boleh ikut sama meraikan hari istimewanya itu.
Dalam teruja memulakan kehidupan barunya, Cik Rini juga berkongsi di videonya bahawa beliau berasa sedih kerana perjalanannya itu akan berubah apabila beliau berpindah setelah berkahwin nanti.
“Hari ini, ketika perbualan kami mengenai perkahwinan saya dalam beberapa bulan, saya baru sedar saya akan berpindah ke tempat lain dan itu bermakna saya tidak akan menaiki basnya lagi,” tulisnya dalam video TikToknya.
Perubahan itu tidak bermakna mereka akan terputus talian. Uncle Rama memujuknya dengan berkata:
“Tidak mengapa, kami ada nombor telefon masing-masing. Jika apa-apa berlaku kepada saya, isteri saya mempunyai nombor anda dan akan menghubungi anda. Kami seperti keluarga, kan?”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg