Seorang wanita berusia 25 tahun sedang membantu siasatan polis selepas seorang budak lelaki dilihat berdiri di pinggir tembok di luar tingkap tingkat tiga blok HDB di Canberra Road, sebelum diselamatkan orang awam.
Video kejadian pada 20 Oktober itu tular di media sosial. Ia menunjukkan seorang budak lelaki, memakai baju tidur, merenung kosong ke hadapan ketika dia berdiri di pinggir tembok di luar tingkap sebuah flat.
Beberapa orang awam yang prihatin dilihat memegang selimut terbuka di tingkat bawah untuk menyambut budak itu jika dia terjatuh.
Seorang lelaki dilihat menstabilkan dirinya pada tembok dan perlahan-lahan mendekati budak itu, mengangkat dan memasukkannya ke dalam flat tersebut melalui tingkap.
Seorang saksi yang memuat naik tentang kejadian itu di Facebook berkata beberapa penduduk mengetuk pintu rumah budak itu, tetapi tiada sesiapa menjawab.
Namun, lelaki yang menyelamatkan budak itu kemudiannya mendapati ada seorang dewasa di dalam flat itu.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian di Blok 350C Canberra Road itu sekitar 11.50 pagi, lapor The Straits Times.
Menurut polis, budak itu diselamatkan orang awam sebelum pegawai tiba.
Seorang wanita 25 tahun sedang membantu siasatan kes kecuaian, kata polis.
Budak itu dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK sebagai langkah berjaga-jaga, kata SCDF.
SCDF berkata ia akan menghubungi orang ramai yang membantu semasa kejadian untuk memberi penghargaan atas semangat membantu mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg