Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita Britain dalam dokumentari Netflix ‘Con Mum’ ditahan reman seminggu lagi di S’pura

Apr 11, 2025 | 5:42 PM
Dionne Marie Hanna, 84 tahun, telah didakwa di Mahkamah Negara pada 5 April, dengan lima pertuduhan penipuan melalui penyataan palsu, melibatkan tiga mangsa.
Dionne Marie Hanna, 84 tahun, telah didakwa di Mahkamah Negara pada 5 April, dengan lima pertuduhan penipuan melalui penyataan palsu, melibatkan tiga mangsa. - Foto SHIN MIN

Seorang warganegara Britain, yang kisahnya dipaparkan dalam dokumentari Netflix mengenai golongan penipu, telah ditahan reman selama seminggu lagi selepas pihak pendakwa raya pada 11 April, berkata polis memerlukan masa untuk menyiasat pertuduhan tambahan.

Dionne Marie Hanna, yang baru dibenarkan keluar dari hospital pada 10 April, hadir di Mahkamah Negara melalui pautan video dari pusat tahanan di Ibu Pejabat Divisyen Polis Central.

Hanna telah didakwa di Mahkamah Negara pada 5 April dengan lima pertuduhan penipuan melalui penyataan palsu, melibatkan tiga mangsa, lapor The Straits Times (ST).

Wanita berusia 84 tahun itu ditangkap pada 28 Mac selepas polis menerima beberapa laporan daripada mangsa yang mendakwa Hanna telah menawarkan peluang pelaburan palsu dan harta pusaka yang tidak wujud.

Dia turut dipaparkan dalam dokumentari Netflix, Con Mum, di mana penerbit mendedahkan bagaimana dia menipu anaknya sendiri, seorang cef pastri di London, Encik Graham Hornigold, untuk menyerahkan £300,000 ($520,000) kepadanya, setelah terpisah selama 45 tahun dengan anaknya. 

Dokumentari itu turut mendedahkan Hanna pernah disabitkan kesalahan mencuri dan menipu di Britain.

Setelah dokumentari itu disiarkan pada 25 Mac, beberapa individu lain telah membuat laporan terhadap Hanna kepada Pasukan Polis Singapura (SPF).

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa kejadian yang didakwa itu berlaku ketika Hanna berada di Singapura dan Perancis antara 13 Februari dengan 10 Mac.

Hanna meminta mangsanya untuk memindahkan wang kepadanya bagi melunaskan yuran guaman atau membuka akaun bank luar negara, dengan Hanna dikatakan telah berjanji untuk membayar balik wang tersebut melalui harta pusakanya.

Hanna didakwa memberitahu Encik Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin bahawa dia menghidap barah, semasa berada di Hotel Grand Hyatt Singapura, antara 13 dengan 14 Februari.

Hanna juga menyatakan hasrat untuk $3 juta kepada Masjid Khalid dan $2 juta kepada badan pertubuhan sosial. Khidmat Masyarakat Mawar.

Antara 17 Februari dengan 10 Mac, Hanna turut memberitahu Encik Paiman Supangat, dia merupakan kerabat diraja Brunei, menghidap barah, serta berhasrat mengagihkan harta pusakanya kepada Encik Paiman dan anaknya, Encik Mohamed Syafiq Paiman.

Semasa berada di Perancis antara 28 Februari dengan 10 Mac, Hanna dikatakan telah meminta Encik Paiman sejumlah wang bagi perbelanjaan peribadinya serta yuran guaman untuk menuntut harta pusakanya.

Sekembalinya ke Singapura, Hanna membuat dakwaan serupa kepada anak Encik Paiman.

Siasatan awal menunjukkan Hanna dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes penipuan dengan jumlah kerugian melebihi $200,000.

Bagi setiap pertuduhan penipuan dengan penyataan palsu, Hanna boleh dipenjara sehingga 20 tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

Hanna dijadual hadir di mahkamah pada 17 April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg