Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita Britain dalam dokumentari Netflix ‘Con Mum’ ditawar ikat jamin $50,000

Apr 17, 2025 | 5:56 PM
Dionne Marie Hanna ditangkap pada 28 Mac dan didakwa di Mahkamah Negara pada 5 April.
Dionne Marie Hanna ditangkap pada 28 Mac dan didakwa di Mahkamah Negara pada 5 April. - Foto NETFLIX

Dionne Marie Hanna, yang tampil dalam dokumentari Netflix tentang penipu, ditawarkan ikat jamin $50,000 setelah didakwa terlibat dalam penipuan berjumlah $500,000.

Hanna, 84 tahun, hadir melalui pautan video di Mahkamah Negara pada 17 April dan dijangka menghadapi lebih banyak tuduhan.

Dia mengaku tiada sesiapa akan menjaminnya dan tidak diwakili peguam. Persidangan sebelum perbicaraan akan diadakan pada 16 Mei.

Ditangkap pada 28 Mac, Hanna didakwa pada 5 April dengan lima tuduhan penipuan melibatkan tiga mangsa, lapor The Straits Times (ST).

Hanna, dikenali dalam dokumentari “Con Mum”, didakwa memperdaya anaknya sendiri untuk menyerahkan 300,000 paun ($520,000) setelah terpisah selama 45 tahun dengan anaknya. 

Selepas dokumentari ditayangkan pada 25 Mac, beberapa orang membuat laporan terhadap Hanna kepada polis Singapura.

Mangsa mendakwa Hanna membuat kenyataan palsu, termasuk dakwaan menghidap kanser dan mempunyai hubungan dengan keluarga diraja Brunei.

Hanna didapati mempunyai rekod jenayah di Britain, termasuk sabitan mencuri dan penipuan.

Dokumen mahkamah menunjukkan Hanna didakwa menipu tiga individu di Singapura dan Perancis antara 13 Februari hingga 10 Mac, dengan memujuk mereka memindahkan wang untuk yuran guaman atau membuka akaun bank luar negara.

Polis berkata Hanna berjanji wang mereka akan dikembalikan selepas menerima harta pusaka.

Encik Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin adalah antara yang memberi wang kepadanya.

Hanna didakwa memberitahu Encik Ariffin bahawa dia mahu mendermakan $3 juta kepada Masjid Khalid dan $2 juta kepada Mawar Community Services.

Dia juga menipu Encik Paiman Supangat dengan mengatakan dia ada kaitan dengan keluarga diraja Brunei dan menghidap barah terminal.

Antara 17 Februari dan 10 Mac, Hanna didakwa berkata dia mahu memberi harta pusakanya kepada Encik Paiman dan anaknya.

Dia juga menghubung Encik Paiman semula ketika di Perancis (28 Feb - 10 Mac), mendakwa perlu meminjam wang daripadanya untuk perbelanjaan peribadi dan yuran guaman bagi mendapat harta pusaka.

Siasatan awal menunjukkan Hanna mungkin terlibat dalam lima kes penipuan di Singapura, dengan nilai lebih $200,000.

Dokumentari “Con Mum” menunjukkan cef pastri London, Encik Graham Hornigold, bertemu semula dengan Hanna selepas dia muncul kembali dalam hidupnya selepas 45 tahun.

Dia memberitahu Encik Hornigold ketika mereka bertemu bahawa dia hanya mempunyai enam bulan untuk hidup selepas didiagnosis dengan ketumbuhan di otak dan barah sumsum tulang. Ini berlaku pada 2020.

Hanna berkata dia tinggal di Singapura dan memiliki ladang serta kebun kelapa sawit di Indonesia dan negara asalnya, Malaysia.

Ujian DNA mengesahkan Hanna adalah ibu kandung Encik Hornigold.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg