Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita didakwa atas kes vandalisme di Salvation Army Upper Bukit Timah Road

Dec 27, 2025 | 3:15 PM
Dianna Ong, yang didakwa pada 27 Disember di Mahkamah Negara, akan ditahan di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk menjalani pemeriksaan perubatan.
Dianna Ong, yang didakwa pada 27 Disember di Mahkamah Negara, akan ditahan di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk menjalani pemeriksaan perubatan. - Foto ST

Seorang wanita warga Australia berbangsa Cina yang berusia 43 tahun, telah didakwa atas kesalahan vandalisme berhubung satu kejadian yang berlaku pada Hari Natal di Praisehaven – The Salvation Army, di Upper Bukit Timah Road.

Dianna Ong, yang didakwa pada 27 Disember di Mahkamah Negara, akan ditahan di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk menjalani pemeriksaan perubatan.

Menurut pihak polis, mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar 9.15 pagi pada 25 Disember, lapor The Straits Times (ST).

Pegawai polis mendapati beberapa perkataan berunsur hinaan disembur menggunakan cat merah pada premis tersebut serta harta milik Praisehaven – The Salvation Army.

Satu tin cat sembur merah yang ditemui di premis itu telah dirampas sebagai bahan bukti kes. 

Sekurang-kurangnya tiga kenderaan yang diletakkan di kawasan tersebut serta dua dinding dilitupi kain merah dan kuning bersaiz besar, menurut gambar yang dimuat naik di laman Instagram Sgfollowsall sekitar 2 petang pada 25 Disember.

Menurut laman Facebook William Booth Corps Family & Friends milik The Salvation Army, satu upacara Hari Natal telah diadakan di premis tersebut pada 10 pagi.

Polis mengenal pasti seorang suspek selepas menjalankan siasatan dan dengan bantuan kamera polis. Pegawai dari Divisyen Jurong kemudian menahan suspek dalam tempoh lima jam selepas laporan dibuat.

Dalam kenyataan mereka, polis berkata mereka memandang serius perbuatan sedemikian dan menegaskan bahawa pesalah akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.

Kes Ong akan disebut semula di mahkamah pada 9 Januari 2026.

Sesiapa yang disabitkan kesalahan vandalisme boleh didenda hingga $2,000 dan dipenjara hingga tiga tahun.

Pesalah juga boleh dikenakan tidak kurang daripada tiga sebatan dan tidak lebih daripada lapan sebatan rotan. 

Namun, wanita tidak tertakluk kepada hukuman sebat di bawah undang-undang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg