Topik diikuti
Pergi ke BHkuDera, rakam gambar lucah kanak-kanak: Wanita Indonesia berdepan 9 tuduhan
Dera, rakam gambar lucah kanak-kanak: Wanita Indonesia berdepan 9 tuduhan
Dera, rakam gambar lucah kanak-kanak: Wanita Indonesia berdepan 9 tuduhan
Seorang wanita berada di sebuah flat apabila dia didakwa berkongsi video dan gambar lucah dua kanak-kanak lelaki berusia satu dan empat tahun dengan suaminya.
Wanita Indonesia berusia 29 tahun itu, yang hadir di Mahkamah Daerah pada 21 Julai, turut didakwa menyebabkan kesakitan dan penderitaan kepada kanak-kanak lelaki tersebut.
Secara berasingan, dia juga didakwa merakam video seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dalam keadaan bogel.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan hubungan wanita itu dengan tiga kanak-kanak tersebut, dan identitinya tidak boleh didedahkan berikutan perintah larangan bersuara yang melindungi identiti kanak-kanak itu.
Wanita itu telah didakwa atas lima tuduhan menganiaya kanak-kanak dan tiga tuduhan mengintai.
Dia juga menghadapi satu tuduhan menghantar video dan gambar lucah kedua-dua kanak-kanak lelaki itu secara elektronik kepada suaminya.
Menurut dokumen mahkamah, wanita itu berada di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sejurus sebelum 7.30 pagi pada 6 Februari apabila dia didakwa mencubit pipi kiri kanak-kanak lelaki berusia setahun itu sehingga menyebabkannya menangis.
Dia juga didakwa memicit kedua-dua pipi kanak-kanak itu serta mencubit hidungnya pada lewat pagi hari yang sama.
Wanita itu juga didakwa menumbuk kepala kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu berkali-kali pada keesokan harinya.
Pada 9 Februari pula, dia didakwa menyembur air daripada muncung pancuran mandi ke muka kanak-kanak lelaki berusia setahun itu selama kira-kira 16 saat.
Dia turut didakwa merakam video kanak-kanak perempuan itu ketika kanak-kanak tersebut bogel di dalam bilik mandi pada hari yang sama.
Pada 9 Mac, wanita itu didakwa menendang kepala kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu sebanyak dua kali dan merakam video kanak-kanak tersebut ketika dia sedang memandikannya.
Antara Februari dengan Mac, dia didakwa berkongsi video dan gambar lucah melibatkan kedua-dua kanak-kanak lelaki itu dengan suaminya.
Persidangan praperbicaraan wanita itu akan diadakan pada Ogos ini.
