Seorang wanita berusia 44 tahun ditahan pada 26 Oktober selepas didakwa menyerang dua wanita dengan pisau di Pusat Membeli-belah Upper Serangoon.
Polis menerima panggilan kecemasan di 756 Upper Serangoon Road pada 12.20 tengah hari, lapor The Straits Times (ST).
Wanita tersebut, yang didakwa menyerang dua wanita lain, telah ditahan oleh orang awam sebelum polis tiba.
Dia ditahan oleh polis kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya dan akan dirujuk untuk penilaian psikiatri.
Siasatan awal mendapati wanita berusia 44 tahun itu bertindak bersendirian.
Dua wanita yang berusia 36 tahun dan 44 tahun yang cedera akibat serangan tersebut telah dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.
Polis berkata seorang lagi lelaki berusia 59 tahun yang membantu menahan penyerang sebelum ketibaan polis telah mengalami kecederaan ringan, tetapi enggan dihantar ke hospital.
Di samping itu, pisau telah dirampas oleh polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg