Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita pertama raih sijil operator AV, tukar bidang daripada pemandu PHV
Duduk di kerusi pemandu sambil menyaksikan kenderaan bergerak dengan sendirinya, Cik Sarah Ahmad, 44 tahun, pada awalnya rasa ‘kekok’.
Hal tersebut dilaluinya kerana sudah terbiasa memandu kereta kenderaan sewa privet (PHV) selama tiga tahun, dari 2022 hingga 2025.
Justeru, mendapat peluang memandu pula kenderaan berautonomi (AV) – tanpa menyentuh sebarang peralatan dalam kenderaan itu – Cik Sarah berasa ia jauh berbeza daripada kebiasaannya.
Berkongsi tentang pengalamannya di dalam AV sewaktu latihan di GrabAcademy, beliau berkata:
“Pada awalnya saya tidak selesa kerana tidak dapat menyentuh stereng dan brek sambil kenderaan itu bergerak.
“Banyak yang saya fikirkan ketika di dalam AV tersebut — saya terfikir adakah ia selamat atau tidak? Adakah ia akan berhenti mendadak atau tidak?.
“Ini berbeza dengan kebiasaan saya sebagai pemandu PHV yang mempunyai kawalan penuh ke atas kereta yang dipandu.”
Namun, kini, Cik Sarah, merupakan kumpulan perintis yang telah meraih pensijilan sebagai operator keselamatan dan operator kawalan jarak jauh setelah menjalani latihan intensif selama hampir dua bulan.
Malah, beliau merupakan wanita pertama yang menerima sijil bagi kededua peranan itu sewaktu majlis graduasi latihan operator AV yang berlansung di Pusat Pemandu Grab di Tampines pada 7 Ogos.
Seramai 23 peserta telah meraih sijil penyelesaian program operator keselamatan AV, manakala, enam dalam kalangan mereka telah meraih sijil penyelesaian latihan operator kawalan jarak jauh.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH) tentang detik awal beliau ‘menukar bidang’ kepada bidang AV, Cik Sarah berkongsi, pada Jun 2025, beliau telah menerima satu panggilan daripada pihak Grab dan ditawarkan jawatan operator AV.
Beliau berkata:
“Apabila saya ditawarkan untuk menyertai latihan itu, pada awalnya saya agak sangsi.
“Saya juga terkejut kerana setahu saya tiada AV di Singapura. Saya pernah lihat adanya AV tapi di negara lain seperti Amerika Syarikat dan China.
“Saya kerap bertanya sewaktu panggilan tersebut – adakah benar AV ada di Singapura.
“Jadi, apabila diberitahu jawatan dan latihannya diadakan buat pertama kali, saya menjadi semakin teruja dan terus menyambut baik usaha itu kerana peluang tersebut boleh meningkatkan kemahiran saya.”
Mengulas lanjut tentang latihan yang dilalui, Cik Sarah menyifatkan dirinya dan AV tersebut sebagai ‘sebati’ dan ‘satu’.
Setelah beberapa tempoh waktu, beliau mula berasa yakin terhadap kemampuan AV itu walaupun tanpa menyentuh atau mengawalnya secara langsung.
Penukaran bidang kerjaya dan peningkatan kemahiran diri datang tepat pada waktunya buat Cik Sarah.
Beliau yang sebelum ini merupakan seorang suri rumah mengambil keputusan untuk bekerja sebagai pemandu PHV pada 2022 bagi menambah pendapatan.
Cik Sarah, ibu kepada empat anak berusia antara 13 dengan 16 tahun, memilih kerjaya itu pada waktu tersebut kerana ingin kerja fleksibel yang membolehkan beliau menjaga anak-anaknya pada masa-masa tertentu.
Namun, tatkala peluang menukar kerjaya kepada bidang AV mula mengetuk pintunya, beliau tidak teragak-agak untuk mencubanya walaupun tidak mempunyai latarbelakang dalam teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI).
“Sekarang anak-anak saya sudah lebih dewasa dan lebih berdikari, jadi saya rasa ini masa yang baik untuk saya pertingkatkan diri dan mencuba perkara yang baharu seperti AV,” kata beliau.
