Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura antara 7 maut nahas di lebuh raya Melaka

33 yang lain cedera libat empat kenderaan pada 23 Dis sekitar 8.40 malam
Dec 24, 2024 | 12:04 PM
Kemalangan berlaku di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh berpunca daripada tayar lori yang tercabut sehingga menyebabkan bas dengan muatan 27 penumpang terlanggar tayar itu dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
Kemalangan berlaku di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh berpunca daripada tayar lori yang tercabut sehingga menyebabkan bas dengan muatan 27 penumpang terlanggar tayar itu dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

MELAKA: Warga Singapura, Allahyarhamha Lamrah Asis Ali, 66 tahun, dikenal pasti sebagai seorang daripada tujuh korban dalam nahas jalan raya di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekat Melaka, pada 23 Disember malam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, berkata Allahyarhamha Lamrah merupakan penumpang bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan dengan empat kenderaan lain iaitu lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) serta sebuah kereta, pada kira-kira 8.40 malam.

Mangsa lain yang terkorban ialah pemandu dan penumpang MPV, iaitu Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi, 32 tahun; isterinya, Allahyarhamha Fadzlenna Ramli, 32 tahun; anak bongsu mereka, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, dua tahun; dan ibu bapa Fadzlenna, Allahyarham Ramli Ab Wahab, 66 tahun dan Allahyarhamha Fauziah Jaafar, 69 tahun. 

Turut terkorban ialah pemandu bas persiaran, Allahyarham Noorisnien Khamid, 56 tahun.

Manakala dua lagi penumpang MPV, Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, empat tahun dan Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, tujuh tahun, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Melaka.

Kejadian malang berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh itu juga menyebabkan 33 yang lain cedera dan semua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

Encik Ashari berkata tayar lori yang tercabut dipercayai menjadi punca nahas jalan raya itu yang turut menyebabkan aliran trafik sesak di kededua arah selama kira-kira empat jam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sebuah lori dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 dan 56 tahun dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.

Menurutnya apabila tiba di tempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori berkenaan tercabut dan berada di bahagian tengah lebuh raya.

“Kemalangan berlaku apabila bas dengan muatan 27 penumpang yang tiba di tempat kejadian terlanggar tayar itu dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Semasa terbabas ke lorong bertentangan, bas berlanggar dengan kereta hingga kereta itu terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar penghadang jalan.

“Bas itu kemudian bertembung pula dengan sebuah treler dan MPV yang dinaiki lapan sekeluarga,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Beliau berkata semua kenderaan yang terbabit ditahan untuk dibawa ke Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) bagi pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Sementara itu Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Bahagian Penguatkuasaan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori serta bas yang terbabit dalam kemalangan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg