Wardah Books ragui masa depan kedai di Kg Gelam
Harga sewa kedai yang melambung di Kampong Gelam mencetus keprihatinan bagi peniaga kecil-kecilan sepertinya yang bertapak di kawasan itu, kata pemilik Wardah Books, Encik Ibrahim Tahir.
Wardah Book, toko buku yang terletak di 58 Bussorah Street berpindah ke sana dari kedai asal di North Bridge Road pada 2005.
Seperti kebanyakan kedai di Kampong Gelam, kedainya turut digugat dengan harga sewa yang melambung, kata Encik Ibrahim, semasa bercakap dalam podcast BHerbual baru-baru ini.
“Kami terkesan oleh harga sewa (yang melambung) sama seperti kedai-kedai lain. Walaupun kami sebuah kedai buku berbahasa Inggeris, kami sangat menghargai sejarah kesusasteraan Kampong Gelam.”
“Justeru, ia amat penting bagi kami untuk terus kekal di Kampong Gelam. Namun hakikatnya, adakah kami akan terpaksa ‘keluar’ kerana harga sewa yang semakin meningkat?”
Menurut Encik Ibrahim, setiap perniagaan sedang berhadapan dengan ketidakpastian yang sama – sama ada mahu mengekalkan perniagaan mereka atau membayar saja harga sewa yang tinggi demi terus berada di Kampung Gelam.
Menambah, beliau berkata ini merupakan keputusan yang sangat sukar dan emosional untuk dibuat.
Terinspirasi daripada kenangannya membeli buku di ceruk-ceruk dalam beberapa kedai di sekitar Kampong Gelam, Encik Ibrahim membuka perniagaan Wardah Books sebagai usaha melestarikan warisan di kawasan tersebut.
Harga sewa yang melambung di Kampong Gelam pada masa ini membuat beliau meragukan tarikan untuk generasi baru dalam mengusahakan perniagaan warisan.
Beliau berkata:
“Pada hari ini, jika seseorang bercita-cita untuk membuka sebuah kedai buku atau apa-apa perniagaan warisan, ia hampir mustahil kerana kos permulaan, khususnya sewaan, terlalu tinggi.”
“Akibatnya, kita tidak akan melihat inovasi. Kita tidak akan melihat kemunculan generasi baharu perniagaan. Keadaan seperti ini membantutkan segalanya.”
Selaku Pengarah Perikatan Kampong Gelam, Encik Ibrahim berkata beliau amat memahami sejarah warisan Kampong Gelam yang mencakupi pelbagai aspek seperti perniagaan dan kebudayaan.
“Dengan dinamika sejarah dan budaya yang luas, Kampong Gelam begitu dekat dengan hati masyarakat Melayu dan mereka tahu ia penting bagi mereka.”
“Oleh kerana ia penting bagi masyarakat Melayu, ia juga penting buat seluruh negara,” tambah Encik Ibrahim.
“
“Kami terkesan oleh harga sewa (yang melambung) sama seperti kedai-kedai lain. Walaupun kami sebuah kedai buku berbahasa Inggeris, kami sangat menghargai sejarah kesusasteraan Kampong Gelam. Justeru, ia amat penting bagi kami untuk terus kekal di Kampong Gelam. Namun hakikatnya, adakah kami akan terpaksa ‘keluar’ kerana harga sewa yang semakin meningkat?”
