Seorang pemegang pas kerja dari Bangladesh, Jahangir Mohamed, 46 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan kerana menggajikan seorang pesalah imigresen.

Jahangir dikatakan telah menggajikan Talukdar Md Pabel, 26 tahun, yang juga berasal dari Bangladesh.

Dalam satu kenyataan pada 5 Mei, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan pegawainya memberkas Pabel pada 20 April 2021 kerana menetap di Singapura secara tidak sah sejak 19 Januari 2021, setelah pas khasnya tamat tempoh pada 18 Januari 2021.

Pabel disabit kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara selama satu bulan dengan tiga sebatan.

Dia kemudian dihantar pulang dan dilarang memasuki Singapura semula.

Siasatan oleh ICA mendapati pada November 2020, Pabel telah memohon pekerjaan daripada Jahangir.

Pabel kemudian diambil kerja sebagai pembungkus beras bagi Maa Trading, sebuah syarikat kelolaan Jahangir, hingga December 2020.

Pada Januari 2021, Pabel diambil semula oleh Jahangir untuk bekerja di syarikat tersebut.

Selain bekerja sebagai pembungkus beras, Pabel juga bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah pasar raya mini yang dikendalikan oleh Maa Trading sehingga dia diberkas.

Dalam kededua keadaan, Jahangir gagal melakukan usaha wajar dalam mengesahkan status imigresen Pabel sebelum mengambil dia bekerja.

Sewaktu tempoh siasatan, Jahangir juga mengarahkan kakitangan lain daripada Maa Trading untuk memberi kenyataan palsu kepada pegawai ICA.

ICA ingin menegaskan bahawa kesalahan menetap di Singapura melebihi tempoh yang dibenarkan merupakan kesalahan serius.

Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, serta dikenakan sekurang-kurangnya tiga sebatan atau didenda hingga $6,000.

Pesalah imigresen yang ditangkap akan dihantar pulang ke negara asal dan dilarang memasuki Singapura semula setelah menjalani hukuman.

ICA memandang serius terhadap individu yang mengambil pesalah imigresen untuk bekerja.

Jika didapati bersalah menggajikan pendatang yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan/atau pendatang tanpa izin, individu tersebut boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan hingga dua tahun, serta denda sehingga $6,000.