Seorang warga emas dibawa ke hospital selepas dilanggar sebuah bas di Punggol pada petang 19 Mac.
Kejadian berlaku sekitar 4 petang di persimpangan Sumang Walk dan Sumang Link, menurut polis bagi menjawab pertanyaan The Straits Times (ST).
Polis turut memaklumkan bahawa pemandu bas berusia 53 tahun yang terbabit itu sedang membantu siasatan.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan mangsa – pejalan kaki lelaki berusia 82 tahun – telah dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat.
Dalam video yang dimuat naik di laman Facebook Singapore Roads Accident, sebuah bas berwarna hijau – perkhidmatan 382G – dilihat berhenti di persimpangan, dengan seorang individu yang memakai topi keledar motosikal berlutut di atas tanah di sebelah bas tersebut.
Seorang lagi, berpakaian baju seragam berwarna merah dan kuning dilihat berdiri berdekatan kejadian tersebut.
Mereka berdua juga kelihatan mencangkung, dengan mangsa yang terbaring di permukaan jalan dilindungi dua payung.
Tinjauan oleh ST menunjukkan perkhidmatan 382G dikendalikan oleh Go-Ahead Singapore.
Sebagai respons kepada pertanyaan ST, jurucakap Go-Ahead Singapore berkata pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan tersebut telah digantung tugas sementara siasatan sedang dijalankan.
“Kami sedang berusaha menghubungi keluarga mangsa untuk menawarkan sokongan dan bantuan, dan kami merayu agar mereka dapat menghubungi kami,” kata jurucakap itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg