Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga Singapura antara 18 peserta terpilih sertai ekspedisi lasak Artik pada 2026

Dec 12, 2025 | 6:51 PM
Cik Atikah Syarah Ismail terpilih sebagai salah seorang daripada 18 peserta dari seluruh dunia untuk menyertai ekspedisi lasak Fjallraven Polar 2026 yang akan berlangsung di Artik Scandinavia dari 27 Mac hingga 6 April.
Cik Atikah Syarah Ismail terpilih sebagai salah seorang daripada 18 peserta dari seluruh dunia untuk menyertai ekspedisi lasak Fjallraven Polar 2026 yang akan berlangsung di Artik Scandinavia dari 27 Mac hingga 6 April. - Foto ihsan ATIKAH SYARAH ISMAIL

Rasa terkejut, syukur, dan bangga berbaur dalam hati Cik Atikah Syarah Ismail apabila namanya disahkan sebagai salah seorang peserta untuk ekspedisi ekstrem Fjallraven Polar 2026.

Pekerja sosial berusia 35 tahun itu bakal membawa bendera negara ke rantau Artik pada 2026, pengumuman itu dibuat dalam talian pada 11 malam, 9 Disember lalu.

Fjallraven Polar merupakan cabaran anjing gelongsor, di mana peserta harus menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer merentasi Artik Scandinavia – kawasan di Sweden dan Norway – yang akan berlangsung dari 27 Mac hingga 2 April depan.

Cik Atikah adalah antara 18 peserta yang terpilih secara sejagat dan bakal menjadi antara segelintir warga Singapura yang pernah terpilih juga, yang terakhir diwakili pada 2022.

Ekspedisi ini akan menguji peserta mengharungi suhu ekstrem yang boleh menjunam serendah bawah 30 darjah Celsius (-30°C).

View post on Instagram
 

Apabila dihubungi Berita Harian, Cik Atikah menceritakan bahawa permohonannya untuk ekspedisi itu didorong oleh rakannya, Encik Ramadhan Rajab, yang juga telah memohon untuk menyertai ekspedisi tersebut.

Cik Atikah juga mengambil inspirasi daripada penganjur yang percaya bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi pengembara Artik.

"Untuk mencuba sesuatu yang sebesar ini, kita tidak perlu mempunyai latar belakang yang luar biasa, pengalaman hebat, atau kelihatan sangat mengagumkan.

“Orang biasa juga mampu mencapai kejayaan yang menakjubkan. Nilai inilah yang saya rasa sangat merendahkan hati dan dekat dengan sifat manusia sebenar,” ujar anak kedua lima beradik itu.

Ekspedisi Fjallraven Polar akan menguji peserta mengharungi suhu ekstrem vyang boleh menjunam serendah negatif 30 darjah Celsius.
Ekspedisi Fjallraven Polar akan menguji peserta mengharungi suhu ekstrem vyang boleh menjunam serendah negatif 30 darjah Celsius. -

Walaupun Artik adalah persekitaran baru, Cik Atikah menegaskan persediaan mentalnya berakar daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat.

“Saya sangat rapat dengan ibu bapa dan saya bergantung kepada mereka untuk kekuatan dan ketenangan. Sokongan mereka satu nikmat yang saya bersyukur setiap masa dan ia juga mengingatkan saya untuk sentiasa percaya pada diri sendiri,” jelas Cik Atikah yang masih bujang.

Selain itu, pengalaman beliau sebagai seorang pekerja sosial telah melatih kemahiran daya tahannya.

“Saya biasa berdepan situasi yang tidak menentu dan beremosi berat jadi saya telah mengembangkan kemahiran untuk kekal tenang dan berfikir dengan jelas di bawah tekanan.

“Pengalaman ini juga mengajar saya merendahkan hati iaitu untuk meminta pertolongan, bergantung pada orang lain, dan menghargai sistem sokongan saya,” katanya.

Walaupun Cik Atikah sudah mempunyai rutin berbasikal dan berlari, beliau sedar persediaan fizikal perlu ditingkatkan.

“Tumpuan kini adalah untuk membina kekuatan dan daya tahan keseluruhan, terutamanya pada teras badan kaki, dan otot belakang, memandangkan tugas mengendalikan anjing gelongsor itu berat.

“Selain itu, memandangkan sukar untuk meniru keadaan di kawasan Artik, saya mungkin perlu meningkatkan pendedahan kepada persekitaran lebih sejuk jika ada peluang. Jika tidak, saya perlu melatih minda dan tubuh untuk mengendalikan tekanan dan kekal tenang di bawah tekanan,” jelas Cik Atikah, sambil berseloroh kemungkinan beliau mendapakan tajaan ke tempat permainan salji, Snow City.

Sokongan padu yang diterima Cik Atikah, termasuk doa daripada masyarakat serantau – terutama setelah memuatnaikkan pengumuman itu di halaman media sosialnya – menguatkan lagi semangatnya.

“Saya pergi dengan rendah hati, rasa syukur, dan semangat yang tabah. Jika perjalanan ini menyuntik inspirasi walau seorang untuk melangkah keluar dari zon selesa mereka, saya gembira,” tambah beliau.

Di samping itu, Cik Atikah menegaskan bahawa penyertaannya ini lebih kepada memaparkan semangat berani mencuba yang ada pada setiap rakyat Singapura.

“Saya harap penyertaan saya dapat menunjukkan bahawa rakyat Singapura boleh mendorong diri melangkaui batasan yang disangka. Walaupun kita membesar jauh dari salji, kita bersedia untuk mencuba perkara yang belum pernah dialami,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg