Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura dipercayai dirompak di Bali; wang tunai dan barangan lesap

Kejadian dipercayai berlaku pada lewat malam pada 30 November ketika mereka menginap di vila penginapan
Dec 8, 2023 | 9:05 PM
DIBIAR TERBUKA: Pintu masuk yang dikatakan Encik Redha Indra digunakan perompak untuk memasuki vila empat bilik bagi beliau sekeluarga semasa bercuti di Canggu, Bali.
DIBIAR TERBUKA: Pintu masuk yang dikatakan Encik Redha Indra digunakan perompak untuk memasuki vila empat bilik bagi beliau sekeluarga semasa bercuti di Canggu, Bali. - Foto ihsan REDHA INDRA

Sekumpulan warga Singapura yang sedang bercuti di Bali, Indonesia, mendapati wang tunai dan barangan berjumlah sekitar $3,000 lesap setelah mereka dikatakan menjadi mangsa rompakan semasa menginap di vila empat bilik.

Dalam catatan Facebook yang dimuat naik pengguna Redha Indra pada 30 November, beliau sekeluarga sedang menginap di Villa Kenza by Azure di Canggu, salah satu daerah di Bali, apabila rompakan tersebut berlaku pada lewat malam ketika anggota keluarga sedang tidur.

Beliau turut memuat naik video daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang diberikan oleh pihak penginapan dan kelihatan beberapa individu melompat beberapa kali ke atas pagar vila pada malam yang sama.

Dapat dilihat sebuah motosikal juga meninggalkan vila itu.

Menukil laporan The Straits Times (ST), Encik Redha menginap di vila tersebut bersama 11 anggota keluarga yang lain – termasuk tiga kanak-kanak – dan telah menempah vila itu dari 25 November hingga 2 Disember.

Pada pagi 30 November apabila anggota keluarga sudah mula terjaga, mereka mendapati beg dan kantung dalam keadaan terbuka dan isi kandungannya hilang.

“Kelihatannya si perompak membelek barangan di tempat makan... Barangan sedemikian semuanya dari bilik-bilik dan rak-rak lain, ia tidak terletak berhampiran dengan tempat makan,” jelas karyawan dalam sektor teknologi berusia 28 tahun itu.

MASUK PERKARANGAN: Daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dapat dilihat beberapa individu memasuki vila yang diinap Encik Redha Indra sekeluarga, di samping sebuah motosikal yang dilihat meninggalkan vila itu.
MASUK PERKARANGAN: Daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dapat dilihat beberapa individu memasuki vila yang diinap Encik Redha Indra sekeluarga, di samping sebuah motosikal yang dilihat meninggalkan vila itu. - Foto ihsan REDHA INDRA

Ketika memeriksa vila itu, mereka mendapati pintu gelangsar di sebelah kolam renang di dalam vila itu tidak boleh dikunci.

Encik Redha mendakwa keluarganya tidak tahu-menahu tentang perkara itu sebelum kejadian rompakan berlaku kerana pintu itu terhalang oleh beberapa kerusi di tepi kolam.

Selepas melihat rakaman CCTV, Encik Redha berkata pencuri itu mungkin memasuki vila melalui pintu gelangsar selepas memanjat dinding rendah yang berhampirannya.

Beliau menjelaskan: “Tiada keselamatan khusus untuk vila itu. Pengurus (vila ini) berkomunikasi dengan kami hanya melalui panggilan telefon dan tidak datang untuk bertemu bersama kami.”

Dalam satu respons kepada ST, pihak pengurusan vila itu – Azure International Bali – berkata “maklumat mengenai pintu dan kakitangan (seperti yang disediakan Encik Redha) adalah tidak tepat”.

Syarikat itu menambah pintu gelangsar “berada dalam keadaan sempurna sebelum dan selepas tetamu daftar keluar”.

Ia mendakwa bahawa “pintu tidak dikunci oleh tetamu pada waktu malam”.

Kecurian adalah “peristiwa malang yang di luar kawalan” dan ia tidak ingin menuding jari, tambah pihak pengurusan.

Ia turut “memberi kerjasama sepenuhnya untuk bantu tetamu, melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa tempatan dan memaklumkan syarikat insurans”, jelasnya.

Encik Redha berkata beliau sekeluarga daftar keluar dari vila tersebut pada hari yang sama selepas mengetahui mereka dikatakan dirompak, meskipun sudah buat bayaran untuk baki dua malam lagi.

Encik Redha sekeluarga telah membuat laporan polis di Bali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg