Sebagai seorang yang kerap ke Johor Bahru (JB), pencipta kandungan Cik Azula Cinta Idris, telah melakukan perjalanan pergi balik dari Singapura ke JB berkali-kali, tanpa apa-apa yang luar biasa.
Namun pada 25 Februari, apa yang sepatutnya satu perjalanan biasa bertukar menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan.
Cik Azula, 24 tahun, mendapati dirinya terlibat dalam kejadian malang yang menyebabkan dirinya dan suami, ditahan selama tiga jam di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Beliau disiasat secara menyeluruh dan pegawai kastam mendapati pemandu kereta yang dinaikinya terlibat dalam penyeludupan rokok haram.
Menurut kenyataan Kastam Singapura kepada Berita Harian (BH), mereka telah menerima laporan pegawai daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Woodlands, yang telah mengesan satu percubaan menyeludup rokok tidak dibayar cukai ke Singapura semasa pemeriksaan rutin.
“Kes itu telah dirujuk kepada kami untuk siasatan,” kata jurucakap Kastam Singapura ke BH.
“Secara keseluruhan, sebanyak 165 karton dan 250 bungkusan rokok tidak dibayar cukai dan kereta itu dirampas. Jumlah duti dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dielak berjumlah sekitar $20,580. Prosiding mahkamah terhadap pemandu sedang dijalankan,” tambah jurucakap itu.
Siasatan Kastam Singapura juga mendapati kedua-dua penumpang itu tidak terlibat dalam penyeludupan tersebut.
Cik Azula dan suaminya meninggalkan pusat pemeriksaan itu selepas memberikan kenyataan mereka kepada pihak kastam, namun kesan emosi daripada pengalaman tersebut masih terasa.
“Saya telah menempah khidmat pemandu ke seberang Tambak sebelum ini tanpa masalah. Tetapi hari itu berbeza. Saya tidak menjangka perkara seperti ini akan berlaku,” kata Cik Azula.
Pada hari kejadian, Cik Azula berada dalam perjalanan untuk menghadiri satu urusan di Singapura. Sementara menunggu flat Bina Ikut Tempahan (BTO), kadangkala, beliau akan menginap di rumah mak ciknya di JB.
Pada hari itu, mak ciknya yang menempah perkhidmatan pemandu itu menggunakan aplikasi Telegram, iaitu pilihan biasa Cik Azula.
Kereta yang tiba juga adalah yang biasa, sebuah kereta besar dengan enam tempat duduk yang luas, dan pemandunya, seorang lelaki yang kelihatan mesra dan profesional.
Setibanya di kastam Singapura, pegawai-pegawai kastam menghentikan kenderaan dan meminta Cik Azula serta suaminya keluar untuk pemeriksaan. Tanpa disangka, pemeriksaan tersebut menjadi lebih menyeluruh daripada yang dijangka.
Pegawai kastam memeriksa setiap barang yang mereka bawa, termasuk beg solek Cik Azula, untuk memastikan tiada barang terlarang.
“Saya ditahan selama tiga jam. Ia adalah pengalaman yang sangat memberi tekanan,” kata Cik Azula. “Ia mungkin lebih teruk jika penyeludupan itu melibatkan dadah. Saya bernasib baik, tetapi kejadian ini tidak akan saya lupakan.”
Mengongsi pengalamanannya di TikTok, Cik Azula telah muat naikkan satu hantaran yang berkata:
“Swafoto comel ini diambil sebelum saya ditahan ICA kerana pemandu kami telah menyeludup 1200 rokok haram (kami tidak bersalah).
Kejadian itu membuat Cik Azula serik dan memberitahu wartawan bahawa beliau kini mengambil pengangkutan awam sahaja ke JB.
“Rasa trauma dan saya tidak ingin mengulangi pengalaman itu,” ujar Cik Azula. Beliau juga mendedahkan bahawa beliau faham mengapa ramai pilih perkhidmatan sedemikian kerana ia lebih murah.
“Harga sehala hanya bermula $40 sahaja. Tetapi setelah kejadian ini, saya serik dan jika inginkan pemandu, saya akan merujuk kepada khidmat yang sah,” dedah beliau.
“Walaupun harganya lebih murah, saya harap orang ramai akan lebih berwaspada kerana harga rendah ini juga berisiko. Kita tidak tahu apa niat sebenar pemandu, dan khidmat sedemikian membuka peluang untuk terjebak dalam situasi yang berbahaya. Saya tidak menjangka sesuatu seperti ini akan berlaku, dan saya tidak mahu orang lain melalui apa yang saya alami,” nasihat Cik Azula.
“Hanya kerana perjalanan kelihatan murah, tidak bermakna ia berbaloi dengan risiko,” kata Cik Azula. “Saya tidak menjangka sesuatu seperti ini akan berlaku, dan saya tidak mahu orang lain melalui apa yang saya alami.”
BH sebelum ini melaporkan tentang teksi ‘Pak Wanca’ atau pengangkutan tidak berlesen yang menawarkan khidmat rentas sempadan Johor-Singapura dan juga di Singapura.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 11 Februari menangkap seramai empat pemandu kenderaan berdaftar asing kerana menawarkan khidmat tempahan pengangkutan secara haram di Singapura dan juga perjalanan rentas sempadan.
LTA juga telah mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan khidmat tempahan pengangkutan secara haram yang tidak mempunyai lesen dan insurans yang sah.
Dalam pada itu, perbuatan membeli, menjual, menghantar, menyimpan, memiliki, atau berurusan dengan barang-barang yang tidak dibayar cukai merupakan kesalahan serius di bawah Akta Kastam dan Akta GST.
Pesalah boleh dikenakan denda sehingga 40 kali ganda jumlah duti, dan GST yang dielak dan penjara sehingga enam tahun.
Kenderaan yang digunakan untuk melakukan kesalahan tersebut juga boleh dirampas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg