Seorang warga Singapura yang diburu pihak berkuasa Singapura selepas bersembunyi di Malaysia selama tiga bulan, telah diselamatkan oleh polis Malaysia selepas lelaki itu diculik di sana.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis (CP) M. Kumar, berkata polis mengenal pasti perkara ini apabila ia menyelamatkan lelaki berusia 33 tahun itu dan teman wanitanya, juga warga Singapura yang berusia 28 tahun, di Johor Bahru pada 11 Ogos.

Berkongsi semasa sidang akhbar pada 12 Ogos, beliau berkata:

“Polis sejak itu telah menahan enam suspek tempatan, termasuk seorang wanita, dan menemui pelbagai barangan, termasuk wang tebusan dan barangan berjumlah RM264,440 ($82,620).”

CP Kumar berkata siasatan awal menunjukkan bahawa salah seorang penculik telah membantu lelaki warga Singapura yang telah memasuki Malaysia secara haram pada Mei.

Teman wanita lelaki itu dipercayai telah memasuki Malaysia secara sah.

Beliau menambah bahawa suspek tempatan menculik kedua-dua mangsa beberapa hari lalu, sebelum ibu lelaki buruan itu membuat laporan setelah menerima panggilan bagi meminta wang tebusan pada 10 Ogos.

CP Kumar berkata: “Penculik dipercayai telah menahan kedua-dua warga Singapura itu selama beberapa hari di lokasi yang tidak diketahui sebelum mereka menghubungi ibu lelaki itu untuk menuntut $80,000.

“Mereka juga mencederakan kedua-dua paha lelaki itu untuk menunjukkan bahawa mereka serius dalam penculikan itu.”

Sebahagian daripada wang itu juga telah dimasukkan ke dalam akaun mangsa, ujarnya.

Lelaki itu yang diburu pihak berkuasa Singapura itu dipercayai telah melarikan diri daripada menjalani tempoh parol atas kesalahan dadah.

Berita Harian telah menghubungi Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

CP Kumar berkata pasukan petugas polis berjaya mengesan dan menyelamatkan mangsa di sebuah pasar raya pada 11 Ogos kira-kira jam 6 petang.

“Seorang suspek berusia 40-an tahun juga ditangkap semasa pertukaran wang tebusan,” katanya, sambil menambah bahawa polis menahan lima individu lain dalam beberapa siri serbuan di Johor Bahru.

Beliau berkata: “Sekurang-kurangnya lima daripada mereka yang ditangkap mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah.”

Empat daripada suspek telah diuji positif dadah, di samping dua mangsa terbabit, katanya.

Barang yang dirampas termasuk 10 telefon bimbit, wang tunai $12,000 dan RM41,000, jam tangan Rolex, rantai dan kereta.

Polis juga sedang menyiasat bagaimana mangsa lelaki berjaya memasuki Malaysia secara haram tanpa dokumen dan telah direman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen, jelas CP Kumar.

Ini merupakan kes kedua polis Malaysia berjaya membebaskan mangsa penculikan warga Singapura dalam tempoh seminggu, hasil kerjasama erat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan SPF, ujar beliau.