Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura terajui usaha bina poliklinik di Gaza

Tapak seluas 500 meter persegi telah diperuntuk bagi kemudahan itu di kawasan Al-Bureij
Feb 19, 2025 | 4:13 PM
Tapak di kawasan tengah Gaza yang telah diperuntukkan untuk pembinaan sebuah poliklinik yang dibiayai warga Singapura.
Tapak di kawasan tengah Gaza yang telah diperuntukkan untuk pembinaan sebuah poliklinik yang dibiayai warga Singapura. - Foto LOVE AID SINGAPORE

Sebuah poliklinik yang dibiayai warga Singapura akan dibina di kawasan tengah Gaza setelah kelulusan awal diraih daripada pihak berkuasa tempatan pada 9 Februari lalu.

Majlis perbandaran kawasan Al-Bureij telah memperuntuk tapak seluas 500 meter persegi bagi kemudahan tersebut, yang akan menyediakan perkhidmatan perubatan kepada penduduk Gaza.

Demikian menurut pengasas Love Aid Singapore, Encik Gilbert Goh, 63 tahun, yang menerajui projek tersebut, sambil berkongsi surat kelulusan daripada pihak berkuasa Gaza.

Projek pembinaan poliklinik itu disokong oleh rakyat Singapura, katanya kepada Berita Harian (BH).

“Ramai yang berhati mulia. Lebih 80 peratus daripada derma yang saya terima adalah daripada rakyat Melayu/Islam Singapura,” katanya, yang turut menekankan tentang bantuan kemanusiaan tanpa mengira kaum, agama dan sempadan.

Menurut Encik Goh, ruang seluas 300 meter persegi akan disediakan untuk ruang binaan poliklinik yang akan merangkumi bilik doktor, farmasi, klinik pergigian dan bilik menunggu antara lain.

Klinik itu akan dibina dengan kepingan logam serta kayu balak kerana bahan binaan masih dilarang memasuki Gaza, katanya lagi.

Baki ruang seluas 200 meter persegi akan digunakan untuk membina kawasan taman di sekeliling klinik yang dibina atas tapak bekas sebuah taman.

Encik Goh yang masih berada di Kahirah, Mesir sejak Januari 2024 berkata beliau menghadapi banyak cabaran dalam mengusahakan projek ini, termasuk kekurangan bahan asas untuk pembinaan.

“Setakat ini kami telah mendapat kelulusan secara prinsip, tetapi antara lainnya, kami juga risau menjadi sasaran pengeboman terutama jika usaha gencatan senjata gagal kerana keadaan di Gaza tidak stabil,” jelas beliau, yang berpangkalan di Kahirah dan hanya pulang ke Singapura pada setiap suku tahun.

Selain rakyat Singapura, Encik Goh berkata banyak syarikat korporat dan individu dari Singapura dan juga luar negara telah tampil memberikan perkhidmatan profesional mereka.

Antaranya ialah syarikat MakeGood Builders, yang sedang bekerjasama dengan Encik Goh untuk membantu melakar pelan tindakan pembinaan.

“Kami baru saja menghubungi Encik Goh untuk menawarkan khidmat kami, kerana kami mengikuti perkembangan inisiatifnya dan ingin turut membantu.

“Setakat ini, kami masih dalam proses perbincangan,” kata Encik Nabil Rusydi, 37 tahun, pengarah MakeGood Builders.

Selain Encik Nabil, seorang doktor lokum, Dr Joel Lim, juga teruja melibatkan diri dan memberi nasihat untuk keperluan poliklinik itu.

Seorang doktor lokum mengambil alih tugas doktor biasa apabila doktor tidak bekerja atau sibuk.

“Mengikut pandangan saya, antara peralatan yang perlu diadakan adalah penjagaan trauma, dan untuk merawat luka serpihan. Poliklinik itu juga memerlukan kakitangan yang baik dan terlatih,” jelas Dr Lim.

Sejauh ini, Encik Goh berkata AS$35,000 ($47,005) akan disalurkan pada awalnya untuk pembinaan poliklinik itu melalui mata wang kripto, dan kos keseluruhan untuk pembinaan dianggarkan akan menjangkau AS$50,000.

“Kos pembinaan akan mencecah sekurang-kurangnya AS$50,000, dan ini tidak termasuk kos bulanan menampung poliklinik itu yang akan disokong kakitangan Palestin sendiri, termasuk lima orang doktor, dua orang jururawat, seorang pengawal keselamatan dan lain-lain,” tambah Encik Goh yang masih menunggu kebenaran untuk memasuki Gaza.

“Saya menjalankan kerja dengan pasukan di Gaza, dan mengarahkan kerja-kerja yang diperlukan dari sini (Kahirah). Semua atas dasar kepercayaan,” katanya lagi.

Love Aid Singapore telah berjaya mengumpul dana sebanyak $4.9 juta sejak Disember 2023 dan telah menjalankan beberapa inisiatif di Gaza termasuk pembinaan sebuah klinik di sebelah utara, dua dapur masak di Selatan dan Utara Gaza, dan sebuah sekolah khemah yang menggajikan 23 guru.

“Kami belum ada nama untuk poliklinik ini, tetapi berhasrat untuk menamakannya Singaporean Clinic atau Singapore Love Aid Clinic, untuk memberi penghargaan kepada penderma yang baik hati,” ujarnya.

Menjawab pertanyaan mengenai motivasinya menjalankan projek yang sulit ini, Encik Goh, yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kerja sosial, berkata:

“Saya lakukan semua ini atas dasar kemanusiaan dan dengan impian dunia ini lebih seimbang untuk semua. Tiada siapa yang harus hidup di bawah penaklukan, kita semua berhak menjalani kehidupan yang sepenuhnya sebagai manusia, sama rata.”

Buat waktu ini, Encik Goh seorang sahaja pekerja sepenuh masa untuk Love Aid Singapore, dan mempunyai beberapa sukarelawan yang membantunya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg