Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura terkaya, miliki Nippon Paint meninggal dunia

Aug 12, 2025 | 6:15 PM
Goh Cheng Liang, Nippon Paint Holdings
Mendiang Encik Goh Cheng Liang mempunyai kepentingan majoriti dalam Nippon Paint Holdings dari Jepun dan memiliki anggaran kekayaan bersih AS$13 bilion (S$16.7 bilion), menurut Forbes. - Foto ZAOBAO

Encik Goh Cheng Liang, warga Singapura terkaya menurut senarai tahunan jutawan global Forbes 2025, meninggal dunia pada usia 98 tahun pada 12 Ogos.

Pengasas syarikat cat dan salutan Wuthelam Group itu “meninggal dunia pagi (12 Ogos) dengan anggota keluarga di sisinya,” menurut kenyataan keluarganya, lapor The Straits Times (ST).

Menurut Forbes, mendiang Encik Goh memegang kepentingan majoriti dalam Nippon Paint Holdings, dari Jepun dan mempunyai anggaran kekayaan bersih sebanyak AS$13 bilion ($16.7 bilion).

Membesar dalam kemiskinan, Encik Goh meluangkan 12 tahun pertama hidupnya di sebuah rumah kedai di River Valley Road, berkongsi bilik yang disewa pada harga $3 sebulan bersama ibu bapa, tiga adik-beradik perempuan dan seorang adik lelaki. 

Apabila Perang Dunia Kedua meletus, ibu bapanya menghantarnya ke Muar, Johor, dan beliau membantu abang iparnya menjual jaring ikan sebelum kembali ke Singapura pada 1943.

Encik Goh memulakan perniagaan menjual air bergas namun ia gagal.

Beliau kemudian bekerja di kedai perkakasan. 

Pada 1949, beliau membeli beberapa tong cat pada harga rendah yang dilelong tentera British dan menghasilkan cat jenama Pigeon Brand.

Perang Korea dan sekatan import pada 1950 mendorong perniagaan catnya berkembang pesat. 

Beliau kemudian menjadi pengedar Nippon Paint, dan pada 1974, menubuhkan Wuthelam Holdings, yang kini memiliki hampir 60 peratus saham Nippon Paint.

Keluarga Goh juga terlibat dalam pembangunan Liang Court dan Hospital Mount Elizabeth, yang kemudian dijual.

Encik Goh dikenali sebagai dermawan yang membiayai kajian perubatan, khususnya dalam rawatan barah, dan memberi biasiswa serta dermasiswa untuk pelajar kurang bernasib baik, selain menderma kepada pelbagai agensi kebajikan.

Pada 1995, dengan bantuan Mendiang Presiden Singapura, Encik Wee Kim Wee, beliau menubuhkan Yayasan Goh untuk memberi pendekatan lebih berstruktur bagi usaha kedermawanannya.

Yayasan Goh turut menyumbang kepada penubuhan Pusat Barah Nasional di Singapura dan pengembangannya untuk menyertakan pusat terapi proton Goh Cheng Liang.

Encik Goh, yang juga bekas pesakit barah, memperjuangkan kajian rawatan lebih baik bagi reumatologi dan imunologi melalui program ARiSE di Hospital Besar Singapura (SGH).

Beliau turut menyokong inisiatif penjagaan sokongan dan paliatif di Pusat Barah Nasional dengan kerjasama Pusat Perubatan Akademik SingHealth Duke-NUS.

Mendiang Encik Goh meninggalkan tiga anak – Encik Goh Hup Jin, Encik Goh Chuen Jin, dan Cik Goh Chiat Jin, serta lapan cucu dan seorang cicit.

Anak sulungnya, Encik Goh Hup Jin, berkata ayahnya adalah “mercu kasih sayang dan kekuatan”.

“Kami sangat bertuah dapat belajar bagaimana menjadi individu baik daripadanya. Beliau mengajar kami untuk hidup dengan penuh kasih sayang dan rendah hati,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg