Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wartawan ST menang 4 anugerah Singapore Press Club

Jul 17, 2025 | 3:30 PM
Singapore Press Club, The Straits Times
Empat wartawan The Straits Times (ST), (dari kiri) Koresponden Kanan, Cik Stephanie Yeo; Koresponden, Cik Ang Qing; Wartawan Grafik Digital, Cik Charlene Chua; dan Editor Teknologi, Cik Irene Tham – bersama anugerah Singapore Press Club masing-masing. - Foto ST

Apabila seorang pelanggan bank dengan segera memohon membekukan semua dana miliknya melalui fungsi suis pemati atau kill switch, namun tetap kehilangan $3,000 akibat pemindahan tanpa kebenaran, Editor Teknologi, The Straits Times (ST), Cik Irene Tham, ingin tahu di manakah silapnya.

Fungsi suis pemati membolehkan pelanggan membekukan akaun bank jika mereka mengesyaki akaun mereka terjejas.

Didorong rasa ingin tahu, Cik Tham mula menyelidik cara dana pelanggan bank itu dipindahkan ke akaun luar negara yang tidak dikenali.

Beliau turut mendapati terdapat satu isu utama yang menyebabkan perkara itu berlaku – iaitu ketiadaan takrif seragam mengenai suis pemati di Singapura.

Cik Tham kemudian menulis ulasan pada 16 Disember 2024 untuk mendedahkan isu tersebut.

Pada 16 Julai, Cik Tham, 51 tahun, merupakan antara empat wartawan ST yang menerima Anugerah Singapore Press Club.

Beliau memenangi anugerah IBM-Singapore Press Club bagi Kewartawanan Teknologi di Hotel Pan Pacific.

Wartawan dengan pengalaman selama lebih 20 tahun itu, berkata:

“Salah satu tanggapan biasa tentang wartawan teknologi ialah kami hanya bermain dengan gadget canggih.

“Memandangkan bidang kewartawanan teknologi berada di persimpangan pelbagai disiplin, ia memerlukan setiap perkembangan baru dijelaskan serta diletakkan dalam konteks yang sesuai untuk difahami semua lapisan masyarakat.”

Seorang lagi pemenang dari bilik berita ST ialah Koresponden Kanan, Cik Stephanie Yeo, 55 tahun, yang menerima anugerah sulung Abbott-Singapore Press Club bagi Kewartawanan Kesihatan.

Singapore Press Club menyatakan laporan Cik Yeo memberi tumpuan kepada isu berkaitan putus haid dan penuaan, yang kurang mendapat liputan dan jarang dibincangkan secara terbuka di Asia.

Cik Yeo berkata: “Kesihatan wanita selama ini kurang diberi perhatian dan peruntukan, tetapi kini semakin ramai pakar, usahawan dan pejuang isu ini berusaha gigih untuk mengubah keadaan itu.”

Koresponden ST, Cik Ang Qing, 28 tahun, pula memenangi Anugerah CDL-Singapore Press Club bagi Kewartawanan Kemampanan.

Beliau terlibat dalam merangka konsep dan mengacarakan podcast, Green Trails, yang memenangi kategori Podcast Terbaik pada Anugerah Media Digital Asia anjuran Persatuan Dunia bagi Akhbar dan Penerbit Berita (WAN-Ifra) pada 2025.

Cik Ang, yang melaporkan isu alam sekitar, berkata: 

“Kisah-kisah ini selalunya tidak diceritakan, bukan kerana ia tidak penting, tetapi kerana ia memerlukan usaha bagi mendapatkan maklumat daripada sumber yang sukar diakses.”

Sementara itu, Wartawan Grafik Digital ST, Cik Charlene Chua, 27 tahun, menerima anugerah Wartawan Digital Muda – The Rising Stars. 

“Sama ada beliau menggambarkan bagaimana TikTok mempengaruhi imej tubuh atau memetakan 100 tahun sejarah seberang Tambak, Cik Chua membina kisah yang terasa hidup skrin,” ujar Singapore Press Club.

Editor ST, Encik Jaime Ho, berkata: “Setiap anugerah dan pengiktirafan terhadap tugas kami tidak pernah dianggap remeh.

“Kami rasa bersemangat dan akan menjadikannya sebagai dorongan untuk terus menghasilkan tugas yang lebih baik.”

Anugerah tahunan yang disampaikan sejak 2022 mengiktiraf wartawan dan karyawan industri yang menghasilkan karya bermutu dan bernilai tinggi.

Setiap anugerah disertakan dengan penginapan dua malam untuk dua orang, termasuk sarapan, bernilai $1,000, di mana-mana hotel di bawah rangkaian Millennium Hotels and Resorts.

Antara pemenang lain pada majlis anugerah yang berlangsung di Hotel Pan Pacific Singapore itu, ialah Koresponden Nikkei Asia di Singapura, Encik Dylan Loh, dan Penerbit Mediacorp, Cik Charmaine Tan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg