Pandangan kononnya faraid itu sudah mencukupi dalam konteks kehidupan beragama di Singapura boleh menimbulkan salah tanggapan bahawa masyarakat Islam setempat tidak memerlukan sebarang perancangan harta ketika masih hidup.
Hal sedemikian boleh menyebabkan kurangnya persediaan bagi pengurusan pembahagian aset seperti yang diinginkan, bahkan dalam sesetengah keadaan, ia boleh menimbulkan perbalahan antara ahli keluarga selepas kematian.
Demikian dinyatakan Ketua Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Cik Nur Ayuni Affandi.
“Sebenarnya, faraid hanya menentukan bahagian waris-waris tertentu berdasarkan hukum syariah.
“Wasiat pula membolehkan kita mengagihkan tidak lebih daripada satu pertiga harta keseluruhan kita, kepada mereka yang berada di luar lingkungan senarai yang ditetapkan hukum faraid, seperti anak angkat, ibu bapa angkat, atau bagi tujuan kebajikan,’’ katanya.
Untuk mengupas isu itu, satu webinar akan diadakan pada Rabu, 29 Oktober dari 8 hingga 9.30 malam.
Anjuran WMS, ia bertajuk ‘Lindungi Yang Tersayang Melalui Wasiat: Panduan Penting Menulis Wasiat Dalam Islam’.
Webinar itu adalah yang keempat dan terakhir dianjurkan dengan kerjasama Berita Harian (BH).
Dua penceramah telah diundang bagi webinar itu, iaitu Pengarah Urusan Crescent Law Chambers LLC, yang juga anggota kumpulan kerja Perancangan Legasi Islam, Encik Ahmad Nizam Abbas.
Beliau akan menjelaskan bidang perundangan berkaitan hal wasiat.
Seorang lagi ialah Ustazah Harinah Abdul Latiff, anggota kumpulan kerja Perancangan Legasi Islam dan Pengetua Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, yang akan menjelaskan hukum agama berkaitan isu itu.
Selain itu, ramai juga tidak menyedari wasiat bagi orang Islam di Singapura perlu mematuhi dua keperluan penting, syarat syariah dan keperluan undang-undang sivil di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Amla).
“Webinar ini bertujuan menjelaskan segala salah faham tersebut dan memberikan panduan praktikal bagi menyediakan wasiat yang sah, menyeluruh dan selaras dengan undang-undang negara,’’ jelas Cik Ayuni.
Menurutnya, ramai menyangka wasiat hanya penting bagi golongan berusia atau yang memiliki banyak harta.
Hakikatnya, setiap Muslim yang memiliki apa jua harta sama ada simpanan dalam akaun bank atau akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF), rumah, atau polisi insurans – sudah mempunyai tanggungjawab untuk merancangnya dengan betul.
Pihak Muis juga maklum tentang beberapa kes apabila wasiat menjadi tidak sah atas sebab-sebab tertentu, termasuk percanggahan dengan hukum Islam dan undang-undang negara.
Sebagai contoh, penerima harta wasiat tidak boleh menjadi salah seorang daripada dua saksi utama.
Anak-anak kandung juga tidak boleh disertakan sebagai penerima agihan harta menerusi wasiat.
“Webinar ini akan mendedahkan kesilapan lazim seperti ini dan menunjukkan cara menyelaras wasiat dengan instrumen-instrumen perancangan harta lain.
“Lebih awal kita membuat persediaan, lebih mudah kita dapat memastikan keluarga yang ditinggalkan tidak dibebani, dan niat baik kita dapat dilaksanakan dengan sempurna,’’ tambah Cik Ayuni.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg