Cawangan setempat syarikat teknologi pandu sendiri WeRide China, dan sebuah konsortium yang diketuai pengendali bas Malaysia, Handal Indah, yang juga dikenali sebagai Causeway Link, adalah antara empat syarikat yang membuat bidaan menyertai percubaan perkhidmatan bas awam autonomi di Singapura.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengundang tender pada Januari untuk mendapatkan cadangan untuk percubaan itu, yang dijadualkan bermula dari pertengahan 2026, di dua laluan bas awam – satu di Marina Bay dan Shenton Way, dan juga di One North di Buona Vista.
Tender tersebut, yang tutup pada 9 Jun dan dijangka dianugerahkan pada penghujung 2025, menarik empat permohonan secara keseluruhan.
Selain WeRide (Singapura) dan Handal Indah, dua lagi tender ialah daripada pengedar kenderaan Cycle & Carriage Automotive dan sebuah lagi konsortium yang diketuai MKX Technologies.
Menurut rekod perniagaan, MKX Technologies diperbadankan di Singapura pada April dan mempunyai dua pemegang saham.
Pemilik majoriti ialah X Star Technology, anak syarikat Singapura bagi syarikat pembiayaan kenderaan dalam talian Cina, Yixin Group, dan pemilik minoriti ialah MK.X, sebuah syarikat perkongsian kereta elektrik Jepun.
Laman web perolehan pemerintah GeBiz tidak menyatakan syarikat lain yang membentuk konsortium Handal Indah dan MKX Technologies.
Akhbar The Straits Times telah menghubungi syarikat WeRide, Handal Indah, Cycle & Carriage dan X Star Technology untuk mengulas.
Sebelum ini, LTA berkata ia akan memulakan percubaan dengan membeli enam bas autonomi dengan sekurang-kurangnya 16 tempat duduk dan menempatkannya pada perkhidmatan bas 400 dan 191.
Ini supaya pihak berkuasa dapat menilai keandalan teknologi pandu sendiri untuk perkhidmatan bas awam dan mendapatkan pandangan operasi.
Mantan Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata penggunaan kenderaan autonomi akan membantu menangani cabaran tenaga kerja yang mendesak dalam sektor pengangkutan awam, di mana sukar untuk mendapatkan pemandu.
Rancangan LTA adalah untuk bas awam autonomi beroperasi bersama bas sedia ada untuk tempoh tiga tahun dahulu. Bergantung pada prestasi mereka, LTA bercadang membeli sebanyak 14 bas autonomi untuk mengembangkan percubaan kepada dua lagi laluan.
LTA berkata ia memilih mencuba bas pandu sendiri pada perkhidmatan 400 dan 191 kerana ia adalah laluan yang lebih pendek dan mudah.
Pihak berkuasa juga mengambil pendekatan berperingkat supaya ia dapat menilai secara menyeluruh keandalan teknologi kenderaan autonomi sambil memastikan keselamatan awam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg