Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WP gesa pemerintah libat rakyat secara luas, teroka usul belum dicuba

Aug 18, 2025 | 3:07 PM
Part Pekerja, WP, NDR
Parti Pekerja (WP) dalam kenyatannya pada 17 Ogos menggesa pemerintah agar melibatkan rakyat secara meluas dan meneroka semua cadangan dasar dengan niat baik, termasuk usulan yang belum diterokai sebelum ini. - Foto ST

Parti Pekerja (WP) menggesa pemerintah agar melibatkan rakyat secara meluas dan meneroka semua cadangan dasar dengan niat baik, termasuk saranan yang belum diterokai sebelum ini.

Dalam respons susulan Rapat Hari Kebangsaan 2025, parti pembangkang itu berkata dalam usaha bersama untuk membina sebuah negara yang benar-benar berdaya tahan untuk masa depan, Singapura harus berusaha meneroka apa jua saranan.

WP mengeluarkan kenyataannya setelah ucapan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 17 Ogos, yang menyaksikan Encik Wong menyeru rakyat Singapura agar bersatu dalam menulis bab seterusnya dalam sejarah negara.

Ucapan Encik Wong menyentuh secara meluas mengenai cabaran yang dihadapi Singapura, termasuk ekonomi sejagat yang tidak stabil dan kebangkitan kecerdasan buatan (AI) yang memberi kesan pada pekerjaan dan perniagaan.

Antara lain, Encik Wong turut menggariskan skim baru untuk menyokong warga emas hidup berdikari di rumah dan di dalam masyarakat menerusi inisiatif Kejiranan Sihat Menua atau Age Well Neighbourhood, serta khidmat pemadanan pekerjaan yang lebih dekat dengan rumah untuk menyokong pekerja.

Dalam kenyataannya, WP berkata ia bersetuju dengan pendekatan pemerintah untuk menambah baik usaha pemadanan pekerjaan untuk warga Singapura.

Dalam pada itu, ia meminta badan-badan berkaitan agar mempercepat penubuhan program itu memandangkan ketidaktentuan ekonomi akan datang.

“Mengikut pengalaman kami, ramai penduduk yang merujuk kepada e2i (Institut Pekerjaan dan Daya Kerja) sering menerima kaunseling kerjaya, tetapi bukan sokongan pemadanan pekerjaan secara langsung yang mereka perlukan.

“Pendekatan baru ini mencerminkan apa yang dicari oleh ramai pencari kerja – bukan sekadar nasihat, tetapi peluang sebenar dan hubungan dengan majikan yang sedang mengambil pekerja,” kata WP.

Parti pembangkang itu turut menggesa pemerintah agar menangani kebimbangan semasa yang dihadapi perniagaan dan pekerja.

Ini termasuk peningkatan kos sewa yang boleh menghalang kesinambungan dan daya maju perniagaan, pengangguran berkaitan kemahiran, dan kadar pertumbuhan pendapatan benar yang perlahan sebanyak 0.7 peratus setahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan.

WP turut mengulangi cadangan manifestonya semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE20205) untuk menggesa gaji minimum berkanun untuk warga Singapura.

“Kami mengulangi cadangan manifesto kami agar JTC Corporation mengembangkan bahagian pasarannya untuk ruang industri dan terus menawarkan pilihan sewa rendah pada titik nilai harga yang berbeza untuk syarikat kecil dan sederhana (SME) di samping kemudahan yang dikendalikan oleh sektor swasta.

“Singapura juga harus segera menjejaki dan menerbitkan secara kerap data pengangguran bagi membolehkan rakyat Singapura menilai sama ada usaha pemerintah untuk mendapatkan golongan ini pekerjaan sepenuh masa yang sesuai telah berjaya,” kata WP.

Sebagai respons kepada pengumuman Encik Wong mengenai program pelatih baru yang dibiayai pemerintah bagi lulusan ITE, politeknik dan universiti, WP berkata ia mengiktiraf kepentingan membantu lulusan muda dan pekerja pertengahan kerjaya mencari landasan dalam kerjaya mereka dengan penuh keyakinan.

Sehubungan itu, ia menggesa pemerintah supaya memastikan agar program itu direka bentuk dengan perlindungan supaya ia berkesan dan adil.

“Latihan amali dan perantisan tajaan negeri tidak boleh digunakan oleh syarikat hanya sebagai sumber pekerja bersubsidi yang lebih murah.

“Perlu ada metrik prestasi yang jelas dan komitmen yang telus daripada syarikat yang mengambil bahagian untuk mempertimbangkan pelatih bagi pekerjaan sepenuh masa sebaik sahaja tempoh latihan tamat,” kata WP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg