Parti Pekerja (WP) terdorong melihat perubahan dasar yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) sulungnya di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio pada 18 Ogos.
Dalam kenyataan WP yang pada 19 Ogos, parti itu mengalu-alukan pengumuman Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture baru, yang akan membantu pekerja berpendapatan rendah dan sederhana yang telah kehilangan pekerjaan mereka.
Ini dengan sokongan kewangan sementara sehingga $6,000 sebulan dalam tempoh maksimum enam bulan, tertakluk kepada latihan dan syarat lain.
“Kami bersetuju dengan Perdana Menteri bahawa kehilangan pekerjaan boleh menjejas kestabilan pekerja dan keluarga mereka secara serius.
“Kerana itu kami menerbitkan kertas dasar pada 2016 yang menggesa pelaksanaan skim insurans kelewahan,” kata WP.
Dalam Manifesto 2020, WP mencadangkan agar pekerja yang diberhentikan menerima bayaran bersamaan sebanyak 40 peratus daripada gaji terakhir mereka selama sehingga enam bulan.
Pembayaran akan dihadkan kepada $1,200 sebulan dengan bayaran minimum $500 sebulan untuk memberi manfaat kepada pekerja bergaji rendah.
Pembayaran seterusnya selepas pembayaran pertama akan tertakluk kepada syarat pekerja itu sedang mencari pekerjaan baru secara aktif atau menjalani latihan semula, menurut WP.
Di samping itu, WP turut percaya semua bakal ibu bapa akan mengalu-alukan 10 minggu tambahan cuti bersama ibu bapa selain kelayakan cuti ibu dan bapa semasa mereka, meningkatkan jumlah cuti ibu bapa yang dibayar pemerintah kepada 30 minggu menjelang 1 April 2026.
Parti itu akur bahawa golongan bujang akan dimasukkan ke dalam skim yang memberi keutamaan kepada mereka yang memohon flat Bina Ikut Tempahan (BTO) untuk tinggal bersama atau berdekatan dengan keluarga mereka mulai pertengahan 2025.
“Kami menggesa pemerintah supaya membuat pembaharuan dasar yang lebih mendalam ini, lebih awal, untuk meredakan kebimbangan di kalangan golongan bujang mengenai akses perumahan secara komprehensif,” tambah WP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg