WP tubuh panel tatatertib berhubung sabitan Pritam
Panel tatatertib Parti Pekerja (WP) yang ditubuhkan untuk menyiasat sabitan ke atas pemimpinnya, Encik Pritam Singh, terdiri daripada dua Anggota Parlimen (AP) yang berkhidmat buat masa ini dan seorang mantan AP, menurut sumber parti.
AP GRC Sengkang, Cik He Ting Ru dan Profesor Madya Jamus Lim, serta mantan AP, Encik Png Eng Huat, telah ditugaskan untuk menentukan sama ada Encik Pritam telah melanggar Perlembagaan WP.
Ini menyusuli sabitan yang dikenakan ke atas Encik Pritam di mahkamah atas kesalahan berbohong di bawah sumpah, kata anggota parti.
Cik He merupakan Bendahari WP, manakala Dr Lim merupakan Timbalan Ketua Penyelidikan Dasar.
Kedua-dua AP penggal kedua itu juga merupakan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) semasa parti berkenaan.
Sementara itu, Encik Png, yang menarik diri daripada politik pada 2020, merupakan AP bagi kawasan undi Hougang selama lapan tahun dan sebelum ini juga merupakan anggota badan pembuat keputusan tertinggi parti sehingga 2022.
Panel tatatertib itu ditubuhkan selepas CEC parti mengadakan mesyuarat pada 2 Januari untuk membincangkan isu berkaitan sabitan Encik Pritam.
Sebelum ini, WP telah menubuhkan panel tatatertib pada 2021 untuk menyiasat kes pembohongan mantan AP WP GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan, di Parlimen.
Panel itu sebelum ini terdiri daripada Encik Pritam, Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim dan Timbalan Pengerusi parti, Encik Faisal Manap.
Semasa perbahasan di Parlimen yang membincangkan kesesuaian Encik Pritam untuk meneruskan peranan sebagai Ketua Pembangkang (LO) pada 14 Januari, Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, menyifatkan perkara itu sebagai “membimbangkan”.
Ini kerana ketiga-tiga pemimpin WP berkenaan terlibat dalam panel tatatertib parti, memandangkan mereka sebenarnya telah mengetahui mengenai pembohongan Cik Raeesah sebelum ini dan “ketiga-tiganya terlibat dalam membimbing Cik Raeesah untuk mengekalkan kenyataan palsu tersebut”.
Encik Pritam didapati bersalah oleh Mahkamah Negara pada Februari 2025 kerana berbohong semasa memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP), yang ditubuhkan untuk menyiasat pembohongan Cik Raeesah.
Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada Disember 2025.
Pada 15 Januari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah melucutkan peranan Encik Pritam sebagai Ketua Pembangkang.
Keputusan itu berlaku sehari selepas Parlimen mengundi Encik Pritam tidak sesuai memegang peranan itu berikutan kelakuannya yang disifatkan “tidak terhormat”.
WP sebelum ini berkata panel semasa yang menyiasat sabitan Encik Pritam diberi tempoh selama tiga bulan.
Selepas itu, parti akan mengadakan mesyuarat khas anggota yang diadakan oleh sekumpulan anggota utama untuk membincangkan sabitan Encik Pritam.

