Mempersoal perkara dalam usul yang dibentangkan Ketua Dewan pada 14 Januari yang melibatkan dirinya dan seorang mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, berkata perkara tersebut kelihatan “sangat samar-samar”.
Perkara kelima dalam usul yang dibentangkan Cik Indranee Rajah itu menyeru agar Parlimen mengakui penghakiman Mahkamah Tinggi dan penemuan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) mempunyai implikasi terhadap Cik Lim dan Naib Pengerusi WP, Encik Faisal Manap, yang perlu dipertimbangkan secara berasingan.
Cik Lim berkata usul itu “sangat samar-samar” dan bertanya sama ada beliau dan Encik Faisal akan dibenarkan berucap di Parlimen sebelum perbincangan tentang mereka dibuat.
Cik Lim berkata mahkamah mengekalkan sabitan Ketua Pembangkang (LO), Encik Pritam Singh, sementara beliau dan Encik Faisal tidak terlibat dalam perbicaraan itu. Cik Lim menambah beliau juga tidak dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaan.
Beliau menjelaskan dirinya dan Encik Faisal telah memberi keterangan masing-masing kepada pihak polis dan COP.
Namun, oleh kerana mereka tidak dipanggil sebagai saksi semasa perbicaraan Encik Pritam, mereka tidak berpeluang mengetengahkan kisah masing-masing kepada mahkamah.
Beliau menambah penemuan mahkamah tidak boleh dianggap sebagai kesalahan mereka, sambil menyatakan beliau tidak bersetuju dengan kesimpulan COP.
Encik Pritam turut menolak usul kelima itu, yang meminta Dewan untuk mempertimbangkan implikasi kes tersebut ke atas Cik Lim dan Encik Faisal secara berasingan.
Encik Pritam berkata tiada tindakan harus diambil terhadap Cik Lim dan Encik Faisal, kerana beliau tidak bersetuju dengan penghakiman dan penemuan COP.
Jawatankuasa itu mendapati Cik Lim dan Encik Faisal telah berbohong di bawah sumpah dengan menafikan telah memberitahu mantan anggota WP dan mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan (2020-2021), untuk menyembunyikan ketidakbenarannya dalam mesyuarat Ogos 2021.
Dalam pada itu, Cik Lim juga mengatakan kes Encik Pritam tidak sepatutnya dibandingkan dengan kes-kes terdahulu yang melibatkan AP WP lain yang telah melakukan kesalahan dan meletakkan jawatan.
“Kes Encik Pritam tidak sama dengan kes-kes lain sebelum ini di mana AP-AP itu sendiri mengakui kesalahan mereka.
“Encik Pritam mengekalkan ketidaksalahannya, mempertikaikan tuduhan tersebut dan merayu terhadap sabitan itu,” katanya.
“Memandangkan keadaan Encik Pritam berbeza, persoalan yang timbul ialah sama ada Parlimen harus mengenakan hukuman selanjutnya kepadanya dengan mula menyingkirnya daripada jawatan sebagai Ketua Pembangkang,” tambah Cik Lim.
Beliau turut mempersoal sama ada usul yang dibentangkan itu adalah perlu atau bermotif politik.
Cik Lim turut memetik ucapannya ketika Parlimen dibuka semula, di mana beliau menegaskan di bawah kedudukan kedaulatan undang-undang Projek Keadilan Dunia, Parlimen Singapura tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam tugas asasnya untuk menjadi pemeriksa yang berkesan terhadap kuasa pemerintah eksekutif.
Beliau menambah semua orang di Parlimen harus melihat satu sama lain sebagai rakyat Singapura, “bukan musuh, tetapi pesaing”, dengan tujuan yang sama dalam berkhidmat kepada rakyat.
“Saya percaya usul hari ini tidak memberi manfaat kepada rakyat Singapura, tetapi merupakan sesuatu yang bermotif politik.
“Ini tidak sihat dan bukan demi kepentingan negara,” katanya.
“
“Saya percaya usul hari ini (14 Januari) tidak memberi manfaat kepada rakyat Singapura, tetapi merupakan sesuatu yang bermotif politik. Ini tidak sihat dan bukan demi kepentingan negara.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg