Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong telah melucutkan jawatan Ketua Pembangkang (LO) daripada Encik Pritam Singh.
Ini setelah beliau mempertimbangkan perkara tersebut dengan teliti menyusuli sabitan jenayah Encik Pritam, serta pandangan Parlimen tentang ketidaksesuaiannya bagi jawatan itu.
Dalam pada itu, Encik Wong juga telah meminta Parti Pekerja (WP) mencalonkan Anggota Parlimen (AP) lain dari parti itu yang boleh mengambil alih jawatan LO yang telah dikosongkan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 15 Januari, Encik Wong berkata beliau membuat keputusan tersebut setelah membuat pertimbangan teliti.
“Setelah mempertimbangkan perkara ini dengan teliti, saya telah memutuskan bahawa sabitan jenayah Encik Pritam, yang diambil bersama pandangan Parlimen tentang ketidaksesuaiannya, menjadikannya tidak lagi boleh diterima untuk beliau meneruskan jawatan LO.
“Oleh itu, jawatan Encik Pritam sebagai LO akan dilucutkan berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini adalah perlu untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, serta maruah dan integriti Parlimen,” kata Encik Wong dalam kenyataannya.
Keputusan itu dibuat sehari selepas Parlimen memutuskan pada 14 Januari bahawa Encik Pritam, yang juga merupakan Setiausaha Agung WP, tidak sesuai untuk meneruskan peranannya sebagai LO menyusuli perbahasan satu usul yang dibentangkan Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah.
Usul bagi membahaskan sama ada Encik Pritam masih sesuai untuk meneruskan peranannya sebagai LO itu telah dibentangkan susulan sabitannya berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) yang mengendalikan kes pembohongan bekas AP WP Cik Raeesah Khan.
Encik Pritam telah disabitkan kesalahan di Mahkamah Daerah kerana berbohong di bawah sumpah ketika memberi keterangan kepada COP – satu penghakiman yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi.
Berikut perbahasan selama hampir tiga jam, Parlimen menyokong usul berkenaan.
Semasa perbahasan itu, Encik Pritam mengulangi bahawa beliau menerima penghakiman mahkamah, tetapi berkata beliau tidak bersetuju dengan dapatan tersebut dan menegaskan bahawa beliau tidak bersalah.
Merujuk kepada pendirian Encik Pritam, Encik Wong berkata: “Encik Pritam berhak mempunyai pandangan peribadinya mengenai perkara itu tetapi persoalan sama ada bersalah atau tidak bersalah ditentukan melalui proses mahkamah yang adil.
“Keputusan undang-undang ini adalah muktamad dan konklusif – ia mesti dihormati dan diberi kuasa sepenuhnya dalam menentukan kesesuaiannya untuk terus menjadi LO.”
Encik Wong turut mengirimkan surat kepada jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) WP, yang telah mengesahkan penerimaan surat tersebut.
Dalam surat itu, beliau menegaskan bahawa LO memainkan peranan penting dalam sistem politik Singapura sambil menambah bahawa pejabat LO mempunyai tanggungjawab yang ketara.
Di Parlimen, LO mengetuai pembangkang dalam perbahasan tentang rang undang-undang dan usul, serta mencalonkan anggota pembangkang ke jawatankuasa terpilih, kata Encik Wong.
Selain itu, LO juga boleh diminta untuk mewakili Parlimen di acara negara dan mesyuarat dengan pemimpin luar, serta menerima taklimat sulit berkenaan kepentingan negara.
“Oleh itu, sesiapa yang memegang jawatan ini mesti menegakkan piawaian kejujuran dan integriti yang tertinggi, serta memimpin amanah yang diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawab ini bagi pihak Parlimen dan rakyat Singapura,” kata Encik Wong.
Encik Wong turut meminta WP mencalonkan AP lain dari parti tersebut yang boleh mengambil alih jawatan LO yang kini kosong itu.
Beliau berkata calon itu tidak boleh terlibat dalam dapatan awal COP dan mesti berupaya memenuhi piawaian tinggi yang diperlukan sebagai seorang LO.
“Saya harap dapat menerima pencalonan WP dalam masa terdekat agar jawatan penting ini tidak kekal kosong bagi tempoh yang lama,” tambah Encik Wong.
WP, dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 15 Januari berkata:
“Kami akan mempertimbangkan kandungannya dengan teliti melalui proses dalaman kami dan akan memberi maklum balas pada masa yang sesuai.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg