Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Xueling: S’pura tegas bertindak ke atas eksploitasi, dagangan kanak-kanak

Sep 17, 2024 | 8:36 AM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, semasa berucap di bengkel forensik kanak-kanak antara Siasatan Keselamatan bagi Amerika Syarikat dan Pasukan Polis Singapura (SPF) di Kompleks Polis Cantonment pada 16 September.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, semasa berucap di bengkel forensik kanak-kanak antara Siasatan Keselamatan bagi Amerika Syarikat dan Pasukan Polis Singapura (SPF) di Kompleks Polis Cantonment pada 16 September. - Foto ZAOBAO

Singapura telah menggubal undang-undang kukuh bagi tindakan pantas dan tegas terhadap kes eksploitasi seksual dan pemerdagangan kanak-kanak.

Malah, pencegahan eksploitasi seksual dan pemerdagangan kanak-kanak menjadi keutamaan pemerintah Singapura.

Demikian dinyatakan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, semasa satu bengkel forensik kanak-kanak antara Siasatan Keselamatan bagi Amerika Syarikat dan Pasukan Polis Singapura (SPF) di Kompleks Polis Cantonment pada 16 September.

“Walaupun kita bernasib baik kerana dapat mengawal kes jenayah seperti itu, ia adalah satu tugas yang tiada akhirnya, yang memerlukan pendekatan menyeluruh dan pelbagai,” kata Cik Sun.

Dalam pada itu, beliau menggariskan tiga strategi yang menyumbang kepada jumlah rendah kes eksploitasi seksual dan pemerdagangan kanak-kanak di Singapura.

Dengan kuasa perundangan, Akta Kemudaratan Jenayah Dalam Talian, membolehkan pemerintah menyekat akses kepada kandungan dan kegiatan jenayah dalam talian bagi perkhidmatan dalam talian, seperti pengagihan tanpa persetujuan imej intim serta penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Akta Keselamatan Dalam Talian (Pelbagai Pindaan) pula memperkenalkan peruntukan kepada Akta Penyiaran yang membolehkan pemerintah mengarahkan perkhidmatan media sosial yang ditetapkan untuk menyekat akses kepada bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dan penderaan.

Langkah undang-undang pencegahan lain termasuk Akta Pencegahan Pemerdagangan Manusia (POHTA), Kanun Keseksaaan dan Piagam Wanita.

“Rangka kerja undang-undang ini memberi kuasa kepada kami untuk bertindak dengan pantas dan tegas. Ia mempunyai kesan ketara bagi melindungi golongan paling mudah terjejas,” kata Cik Sun.

SPF pula telah mempertingkatkan proses melengkapi pegawainya dengan lebih baik dalam langkah memberi respons, terutamanya kepada kesalahan jenayah seksual untuk memastikan lebih tumpuan diberikan kepada mangsa.

Sebagai sebahagian daripada langkah penguatkuasaan yang tegas, SPF memperkenalkan model Pusat Sehenti Temu Duga Berbilang Disiplin.

Pendekatan ini menyatukan temu duga serta pemeriksaan forensik, yang sebelum ini dibuat berasingan oleh pegawai penyiasat, pegawai perlindungan kanak-kanak, dan doktor, dengan hanya satu sesi yang diketuai polis.

Satu lagi inisiatif ialah Program Kader Penjagaan Mangsa (VCCP), yang menyediakan bantuan psikologi dan campur tangan krisis bagi individu yang terjejas oleh jenayah.

Dengan kerjasama antarabangsa, ia mempunyai akses kapada pangkalan data Eksploitasi Seksual Kanak-kanak Antarabangsa (ICSE) Interpol, yang mengandungi 4.9 juta imej dan video setakat Jun 2024.

Pangkalan data ini memainkan peranan bagi mengenal pasti lebih 41,800 mangsa di seluruh dunia.

Selain itu, SPF mengendalikan Bengkel Serantau bagi Kecerdasan Buatan (AI) untuk Keselamatan Kanak-kanak dengan kerjasama Institut Penyelidikan Jenayah dan Keadilan Antara Rantau untuk membincangkan cara sistem AI boleh membantu penyiasat menganalisis data bagi mengenal pasti mangsa kes eksploitasi kanak-kanak dan mengesan lokasi pesalah.

Menurut Cik Sun, SPF menyertai Pasukan Petugas Pengecaman Mangsa yang terdiri daripada pegawai penguatkuasaan undang-undang di peringkat sejagat.

Mereka menjalankan analisis terhadap bahan dalam pangkalan data ICSE bagi mengenal pasti mangsa dan pesalah, dan mengarahkan bahan tersebut kepada pihak berkuasa bagi negara yang berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Kes eksploitasi dan pemerdagangan kanak-kanak sering merentasi bidang kuasa. Pelaku mengambil kesempatan perbezaan dalam undang-undang dan menggunakan ketanpanamaan dalam ruang siber untuk mengelak diri daripada keadilan,” tambah Cik Sun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg