Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yaacob: Maidin pemimpin berwawasan, ikhlas bantu masyarakat

Jun 27, 2024 | 5:37 PM
Mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim (berdiri, dua dari kanan) bersama Mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohd (berdiri, paling kanan) dan Jawatankuasa Pasar Geylang Serai bertemu para pengunjung di pusat makanan pasar itu dalam gambar yang dipetik pada 2005.
Mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim (berdiri, dua dari kanan) bersama Mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohd (berdiri, paling kanan) dan Jawatankuasa Pasar Geylang Serai bertemu para pengunjung di pusat makanan pasar itu dalam gambar yang dipetik pada 2005. - Foto fail

Mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP), Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohd, pernah menganggap dirinya tidak sesuai menjadi pemegang jawatan politik kerana beliau bukan seorang graduan universiti.

Berkongsi demikian dalam surat yang dikirimkan dan diterbitkan dalam akhbar The Straits Times (ST), mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berkata Allahyarham Maidin menerima tawaran itu dan menjadi setiausaha politik sebelum menjadi AP dalam Parlimen kelapan Singapura.

Allahyarham Maidin meninggal dunia pada 24 Jun akibat serangan jantung pada usia 66 tahun.

Dalam suratnya kepada ST, Dr Yaacob berkata:

“Pemilihannya untuk menyertai politik walaupun beliau sendiri berasa bimbang, merupakan contoh yang kuat bahawa seseorang itu tidak seharusnya dinilai oleh kelayakan akademiknya sahaja.

“Dalam hal ini, beliau menekankan nilai dan maruah setiap orang yang sanggup dan mampu memberikan sumbangan, tanpa mengira kedudukan mereka dalam kehidupan.”

Dr Yaacob berkata beliau sudah mengenali Allahyarham sebelum menyertai politik pada 1997.

“Beliau merupakan pemimpin masyarakat yang dikenali dan dihormati. Saya akan bertemunya di acara-acara kemasyarakatan dan forum.

“Saya sentiasa kagum dengan wawasannya tentang masyarakat Melayu/Islam,” tulisnya.

Allahyarham juga sering menasihatinya tentang cara berinteraksi dengan masyarakat Melayu/Islam, kata Dr Yaacob.

“Beliau tahu masyarakat (Melayu/Islam) mahu maju, tetapi mereka mahu kemajuan dengan syarat mereka sendiri, tetap dekat dengan agama dan tradisi kebudayaan mereka,” ujar beliau.

Bahkan, tambahnya, Allahyarham Maidin sendiri sentiasa dekat dengan masyarakat dan sering memikirkan golongan yang tertindas.

Beliau akan bertemu bekas penagih dadah dan anggota kumpulan samseng.

“Dalam masyarakat yang tidak ada masa dan ruang bagi mereka, beliau telah mendekati dan mengetepikan masa buat mereka,” tambah Dr Yaacob.

“Encik Maidin merupakan contoh pemimpin politik yang ideal; dengan hati yang ikhlas kepada masyarakat dan negara serta memikirkan penyelesaian dengan kepentingan jangka panjang dan bukan sekadar keuntungan jangka pendek,” katanya lagi.

Dr Yaacob tidak bersendirian dalam meluahkan kata-kata pujian bagi Allahyarham Maidin.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang hadir memberi penghormatan di rumah arwah di Tampines Street 33 pada 25 Jun, menyatakan dalam satu hantaran di Facebook bahawa Allahyarham memberi sumbangan tidak terhingga di beberapa kementerian.

“Usaha yang diterajuinya juga memastikan Geylang Serai kekal sebagai sebuah hab yang mekar dan bertenaga buat masyarakat Melayu/Islam, selain membentuk asas bagi pelbagai rancangan Jalur Budaya Geylang Serai yang akan datang,” ujar Encik Wong.

Dalam surat takziah kepada balu Allahyarham, Cik Rahimah Asmore, pada 25 Jun, Menteri Kanan Lee Hsien Loong berkata hubungan erat arwah dengan masyarakat Melayu/Islam “menjadikannya penasihat yang baik berhubung isu terkait dengan masyarakat dan di peringkat kebangsaan”.

“Perdana Menteri yang bersilih ganti, termasuk saya, menghargai wawasan dan pandangan politiknya,” kata Encik Lee.

Dalam satu hantaran Facebook pada 25 Jun, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, melahirkan rasa bersyukur kerana mendapat bimbingan Allahyarham.

Beliau berkata: “Saya amat menghargai peluang untuk mempelajari daripadanya cara kepimpinan yang jujur dan mesra, menyaksikan dedikasinya yang luar biasa secara langsung ketika beliau turun padang dan berinteraksi dengan rakyat Singapura dari pelbagai lapisan masyarakat.”

Mampu beri sumbangan walau bukan graduan

Dalam hal ini, beliau menekankan nilai dan maruah setiap orang yang sanggup dan mampu memberikan sumbangan, tanpa mengira kedudukan mereka dalam kehidupan.
Pemimpin politik ideal

Encik Maidin merupakan contoh pemimpin politik yang ideal; dengan hati yang ikhlas kepada masyarakat dan negara serta memikirkan penyelesaian dengan kepentingan jangka panjang dan bukan sekadar keuntungan jangka pendek.
Mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg