Topik diikuti
Pergi ke BHkuYayasan Lien labur $3.9 juta dalam Gabungan Inovasi libat 3 agensi khidmat sosial
Yayasan Lien labur $3.9 juta dalam Gabungan Inovasi libat 3 agensi khidmat sosial
Yayasan Lien labur $3.9 juta dalam Gabungan Inovasi libat 3 agensi khidmat sosial
Allkin Singapore, Care Corner Singapore dan Khidmat Masyarakat Fei Yue pada 28 Julai melancarkan Gabungan Inovasi (Innovation Collective), disokong oleh pelaburan sebanyak $3.9 juta daripada Yayasan Lien bagi tempoh tiga tahun.
Gabungan tersebut merupakan satu kerjasama yang diterajui sektor bagi membantu agensi perkhidmatan sosial (SSA) membina keupayaan inovasi.
Ia terdiri daripada tiga pasukan inovasi khas, dengan setiap satu ditempatkan di sebuah SSA.
Kira-kira $3.1 juta akan diperuntukkan bagi tenaga kerja, manakala bakinya akan digunakan untuk menyokong proses inovasi – termasuk peralatan prototaip, penyelidikan pengguna, bengkel kepimpinan dan khidmat rundingan luar.
Pengarah Program Yayasan Lien, Cik Luo Ren, berkata:
“Sebahagian besar dana ini disalurkan untuk mengambil bakat berpengalaman bagi pasukan inovasi seperti kejuruteraan perisian, reka bentuk dan pengurusan produk, iaitu keupayaan yang kebanyakannya belum dimiliki secara dalaman oleh kebanyakan SSA.”
Allkin dan Fei Yue akan menerima sokongan bagi mengambil dua pekerja setiap satu, manakala Care Corner bakal mengambil tiga pekerja.
“Bagi menggalak kemampanan jangka panjang, setiap SSA membiayai sendiri satu pekerja sejak awal (inisiatif ini). Bilangan ini akan meningkat kepada dua pekerja pada tahun ketiga, seiring dengan pengurangan sumbangan secara berperingkat daripada Yayasan Lien,” tambah beliau.
Pasukan tersebut akan bekerjasama dengan karyawan perkhidmatan sosial untuk sama-sama membangunkan penyelesaian, di samping memupuk budaya menggalak membuat eksperimen dan kerjasama di SSA masing-masing, menurut pihak berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Allkin, Encik Fareez Fahmy, berkata pemikiran reka bentuk (design thinking) bakal membantu SSA memahami keperluan klien mereka dengan lebih baik sebelum membangunkan sebarang penyelesaian.
“Pembangunan teknologi membolehkan kami membina alat yang mudah diakses dan boleh diperluas bagi menangani keperluan ini, manakala pengurusan produk pula memastikan penyelesaian tersebut terus ditambah baik bagi membuahkan hasil yang bermakna serta kekal seiring dengan matlamat organisasi,” tambah beliau.
Sementara itu, CEO Fei Yue, Encik Arthur Ling, berkata kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital membantu “meningkatkan amalan profesional, menambah baik kecekapan operasi dan membolehkan campur tangan yang lebih disesuaikan mengikut keperluan individu”.
Tetamu kehormat bagi pelancaran gabungan tersebut, Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, berkata:
“Dengan berinovasi bersama berbanding secara berasingan, gabungan ini dapat mengenal pasti jurang perkhidmatan yang serupa, membangunkan penyelesaian praktikal secara bersama, serta meluaskannya menerusi gabungan rangkaian penjagaan ketiga-tiga agensi.”
Di bawah kerjasama baharu ini, SSA berkenaan – yang secara keseluruhannya memberi khidmat kepada 154,000 klien di seluruh Singapura – dapat mengurangkan pertindihan usaha dan kos, di samping memberi tumpuan kepada keutamaan bersama serta menawarkan khidmat kepada lebih ramai orang.
CEO Care Corner, Encik Christian Chao, berkata:
“Matlamat kami bukanlah untuk membina tiga organisasi kukuh (semata-mata), sebaliknya membantu membina sektor lebih kukuh demi masyarakat yang menerima khidmat kami.
“Bagi jangka masa pendek, ini bermakna menyediakan penyelesaian bersama bagi masalah serupa yang dihadapi – melancarkan perjalanan klien, menggunakan data untuk merancang lebih awal, serta menjimatkan masa pengamal perkhidmatan kami agar dapat menumpukan perhatian kepada perkara paling utama, iaitu membina hubungan dengan individu yang mereka bantu.”