Rekod kesihatan negara, serta data sosioekonomi dan genetik, mungkin digunakan untuk menyokong penjagaan pencegahan dan preskripsi sosial dalam fasa seterusnya program SG Yang Lebih Sihat di Singapura.
Mengumumkan demikian semasa persidangan AI Accelerate (Mempercepat AI) yang kali pertama diadakan pada 16 Jun, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata kecerdasan buatan (AI) ramalan, yang digambarkan sebagai sempadan baru dalam transformasi penjagaan kesihatan, dapat membantu doktor meramal bertahun-tahun lebih awal sama ada seseorang berisiko menghidap penyakit serius tertentu.
“Ini akan dilaksanakan dalam fasa SG Yang Lebih Sihat seterusnya – dengan memanfaatkan rekod kesihatan, pemarkahan risiko klinikal berasaskan bukti, dan keupayaan ramalan AI untuk menyokong penjagaan pencegahan dan preskripsi sosial,” kata Encik Ong.
Beliau berucap di persidangan anjuran Synapxe, penyedia teknologi penjagaan kesihatan nasional, yang berlangsung di Daerah Digital Punggol.
Namun, Encik Ong menegaskan bahawa manusia tetap tidak dapat digantikan.
“Kita akan terus mengekalkan sentuhan insan menerusi doktor keluarga kita, membimbing dan memperkasakan penduduk untuk mengambil tanggungjawab terhadap kesihatan diri sebelum diserang penyakit,” kata beliau sambil menyamakan penggunaan AI tanpa doktor seperti menerbangkan pesawat tanpa juruterbang.
“Begitu juga, walaupun terdapat penulisan ilmiah yang mencadangkan bahawa AI dapat memberikan diagnosis perubatan dan pelan rawatan yang lebih baik berbanding seorang doktor yang dilengkapi pengetahuan AI, saya fikir kebanyakan kita lebih suka doktor tersebut, kerana kita percaya pada doktor manusia yang mempunyai empati terhadap kebimbangan dan keprihatinan kita,” jelas beliau.
Beliau turut menarik perhatian bahawa AI tidak dapat berfikir, tidak merasa, tidak berharap, tidak takut dan tidak mempunyai empati.
Beliau turut menjelaskan mengenai beberapa projek penjagaan kesihatan nasional utama yang memanfaatkan AI.
Projek tersebut dijangka diumumkan kepada orang ramai dalam beberapa bulan akan datang, lapor The Straits Times (ST).
Menjelang 2027, aplikasi HealthHub nasional yang menyimpan rekod kesihatan rakyat akan digabungkan dengan aplikasi daripada tiga kelompok penjagaan kesihatan di Singapura – Health Buddy, aplikasi NHG Cares, dan aplikasi NUHS – bagi menambah baik akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan awam secara dalam talian.
“Kita boleh mempertingkat HealthHub baru yang disatukan ini dengan AI, supaya aplikasi ini dapat melakukan lebih daripada mengurus rekod kesihatan, janji temu, dan bayaran bil,” tambah Encik Ong.
Sebagai contoh, HealthHub yang menerapkan AI boleh menawarkan maklumat dan nasihat kesihatan yang disesuaikan mengikut keperluan seseorang, seperti cara mengurus masalah kesihatan biasa, termasuk melalui perubahan gaya hidup.
Nasihat tersebut akan disampaikan dalam bentuk ucapan dan teks dalam empat bahasa, serta dalam gaya perbualan.
Synapxe dijangka melancarkan HealthHub baru itu pada akhir 2025.
Sektor penjagaan kesihatan awam turut merancang meluaskan penggunaan AI, contohnya, bagi ujian X-ray dada.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg