SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ye Kung: Gabungan kedaulatan undang-undang, norma sosial penting bagi tadbir urus berjaya

Ye Kung: Gabungan kedaulatan undang-undang, norma sosial penting bagi tadbir urus berjaya

Apr 21, 2026 | 2:41 PM

Ye Kung: Gabungan kedaulatan undang-undang, norma sosial penting bagi tadbir urus berjaya

Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung (kiri) bersama anggota Politburo Parti Komunis China, Encik Chen Wenqing, di Hangzhou, pada 20 April.
Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung (kiri) bersama anggota Politburo Parti Komunis China, Encik Chen Wenqing, di Hangzhou, pada 20 April. - Foto MSF

HANGZHOU: Gabungan berkesan antara kedaulatan undang-undang dan norma sosial penting bagi menjamin kejayaan tadbir urus sosial, termasuk dalam menyelesaikan pertikaian masyarakat.

Demikian kata Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung, dalam sebuah forum dua hala peringkat tinggi bersama China.

Singapura sedang menggabungkan kedua-dua pendekatan tersebut dengan mengemas kini undang-undang negara agar seiring dengan perkembangan baharu, sambil memupuk nilai dan norma bersama masyarakat secara aktif seiring dengan perkembangannya, kata Encik Ong.

Mengharapkan orang ramai menyelesaikan pertikaian sesama sendiri hanya melalui budi pekerti tinggi merupakan satu “harapan kosong”, memandangkan tingkah laku tidak beradab dan salah faham akan sentiasa wujud, tambah Encik Ong.

“Sebaliknya, jika kita terlalu bergantung kepada undang-undang dan penguatkuasaan untuk menyelesaikan pertikaian, orang ramai hanya akan berkelakuan baik apabila diperhatikan pihak berkuasa. Justeru itu, tidak akan ada kelembutan, keprihatinan, dan kemesraan dalam masyarakat,” jelasnya.

Encik Ong, yang juga Menteri Kesihatan, menyampaikan ucaptama tersebut di Forum Tadbir Urus Sosial Singapura-China kelima yang diadakan pada 20 April di Westlake Villa Hangzhou.

Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung, menyampaikan ucaptama di Forum Tadbir Urus Sosial Singapura-China kelima yang diadakan pada 20 April di Westlake Villa Hangzhou.
Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung, menyampaikan ucaptama di Forum Tadbir Urus Sosial Singapura-China kelima yang diadakan pada 20 April di Westlake Villa Hangzhou. - Foto MSF

Forum tersebut dihadiri lebih 60 pegawai dari kedua-dua negara yang berkhidmat dalam pelbagai bidang, merangkumi pembangunan sosial dan kebudayaan sehingga kepada perundangan dan keselamatan awam.

Forum yang diadakan dua tahun sekali ini merupakan wadah dua hala bagi para pegawai bertukar pandangan mengenai isu berkaitan tadbir urus sosial. 

Tema bagi 2026 ialah ‘Membina Masyarakat Utuh dan Stabil Melalui Penyelesaian Pertikaian’.

Wadah ini merupakan “saluran penting bagi pertukaran dan kerjasama dalam tadbir urus sosial” serta membolehkan kedua-dua negara saling belajar antara satu sama lain, kata anggota badan pembuat keputusan tertinggi Parti Komunis China (CPC) Politburo, Encik Chen Wenqing.

Encik Chen, ketua delegasi China, ialah setiausaha Suruhanjaya Hal Ehwal Politik dan Perundangan CPC, sebuah badan yang menyelia sistem penguatkuasaan undang-undang China, termasuk polis, mahkamah, dan pejabat pendakwa raya.

Dalam ucaptamanya, Encik Chen menyatakan China dan Singapura berkongsi banyak persamaan dalam tadbir urus sosial, memandangkan kedua-dua negara mementingkan keperluan rakyat, komited terhadap pembangunan ekonomi, menjunjung kedaulatan undang-undang, dan menekankan kaedah penyelesaian pertikaian alternatif seperti pengantaraan.

Di forum itu, delegasi Singapura berkongsi cara Republik itu menangani tadbir urus sosial dan menyelesaikan pertikaian masyarakat di tengah-tengah cabaran baharu – termasuk teknologi digital yang memudahkan penyebaran maklumat palsu, serta kemasukan warga baharu yang mengubah komposisi masyarakat.

“Bagi Singapura yang berbilang kaum dan agama, keutamaan terbesar kami sejak hari pertama adalah untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat,” kata Encik Ong.

Encik Ong menjelaskan bagaimana Singapura pada 2025 telah menggubal Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum, bagi melengkapi akta sedia ada berkaitan keharmonian agama.

Ini kerana isu perkauman yang bersifat sekular dan tidak terikat pada mana-mana agama, kian muncul seiring perubahan masyarakat.

Singapura turut menangani maklumat salah melalui Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma), sambil menyokong akses kepada maklumat tepat dan boleh dipercayai dengan menstruktur semula media cetak menjadi sebuah badan amanah serta menyokongnya dengan dana awam, kata beliau.

Dalam ucapan berasingan, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata Singapura sedar perpecahan baharu mungkin timbul dalam masyarakat, berpunca daripada ketidaksamaan sosial yang kian melebar serta pertikaian masyarakat.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyampaikan ucapan di Forum Tadbir Urus Sosial Singapura-China kelima yang diadakan pada 20 April di Westlake Villa Hangzhou.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyampaikan ucapan di Forum Tadbir Urus Sosial Singapura-China kelima yang diadakan pada 20 April di Westlake Villa Hangzhou. - Foto MSF

Walaupun Singapura terus maju dari segi ekonomi, “terdapat risiko bahawa... mereka daripada keluarga kurang berkemampuan akan mendapati peluang tertutup buat mereka”, katanya. 

“Ini pasti akan memberi kesan kepada keutuhan sosial kita dalam jangka masa panjang.”

Encik Masagos menggariskan bagaimana Singapura sedang mempertingkat mobiliti sosial keluarga berpendapatan rendah menerusi inisiatif seperti ComLink+, mewujudkan ruang dan pengalaman bersama bagi memupuk identiti yang dikongsi, serta menggalak rakyat menyumbang semula kepada masyarakat melalui kerja sukarela dan menderma ke badan kebajikan.

Melihat ke depan, beliau menyentuh tentang penyepaduan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan sosial dan masyarakat sebagai peluang untuk memperluas jangkauan serta keberkesanan sistem sokongan.

Sebagai contoh, Encik Masagos memetik lawatan kerja beliau baru-baru ini ke syarikat di Shanghai dan Shenzhen yang menyepadukan teknologi baru ke dalam produk bagi meningkatkan kualiti hidup orang ramai.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg