Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung, Hong Tat tidak kenal individu geng kumpulan Fujian secara peribadi

Kenyataan dibuat selepas gambar kededua menteri dengan individu libat dalam skandal ubah wang haram tular
May 6, 2025 | 3:42 PM
Ong Ye Kung, Chee Hong Tat, Su Haijin
Gambar yang menunjukkan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (gambar kiri, berdiri, kanan), dan Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (gambar kanan, duduk, kanan), menghadiri majlis makan malam yang turut dihadiri Su Haijin (berdiri di kiri dalam kededua gambar), individu dikaitkan dengan geng kumpulan Fujian, telah tersebar dalam talian. - Foto INSTAGRAM TOXICSTATENARRATIVEINSG

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dan Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, tidak mengenali Su Haijin yang terlibat dalam pengubahan wang haram secara peribadi dan tiada sebarang kaitan dengannya.

Kenyataan media bersama pada 6 Mei oleh setiausaha media kededua menteri itu menyatakan gambar yang menunjukkan mereka menghadiri majlis makan malam bersama geng kumpulan Fujian itu telah tersebar dalam talian. 

Kenyataan itu menyatakan pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) menegakkan standard integriti yang tinggi dan para menteri bertekad mempertahankan prinsip ini, walaupun dalam tugas mereka, mereka mungkin tidak sengaja berurusan dengan individu yang kemudiannya didapati tidak jujur.

“Menjaga standard integriti ini adalah perkara yang teramat penting,” tambah kenyataan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Anggota Parlimen (AP) Jalan Kayu, Encik Ng Chee Meng, turut mengeluarkan kenyataan pada 6 Mei selepas gambar beliau bersama Su tersebar dalam talian.

Kededua Encik Ong dan Encik Chee memuat naik hantaran berasingan di Facebook pada pagi 6 Mei untuk menjelaskan perkara tersebut dan menambah bahawa setiausaha media mereka telah membuat kenyataan tentang perkara tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Gambar tersebut telah dimuat naik di Instagram oleh mantan Pengerusi Parti Pembaharuan (RP), Encik Charles Yeo, pada 4 dan 5 Mei.

Kenyataan daripada setiausaha media menteri tersebut berkata: “Sebagai menteri, mereka bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat di pelbagai acara dan perjumpaan.

“Mereka menghadiri majlis makan malam tersebut atas jemputan seorang rakan dan kebetulan Su turut berada di sana.”

Mereka menambah bahawa kededua menteri tidak mengenali Su secara peribadi dan “tidak pernah berhubung atau berurusan dengannya, sebelum atau selepas majlis tersebut”.

“Encik Ong teringat bahawa beberapa bulan kemudian, dalam satu majlis makan malam yang lain, Su turut hadir secara kebetulan.”

Sementara itu, Encik Ng, dalam kenyataannya, berkata gambar beliau bersama Su telah dipetik semasa satu acara makan malam dahulu, yang merupakan sebahagian daripada sesi pendekatannya sebagai Setiausaha Agung NTUC.

Encik Ng menjelaskan sebahagian daripada tugasnya adalah untuk mendekati pelbagai syarikat dan ketua sektor swasta untuk lebih memahami keprihatinan dan cabaran dalam industri berbeza.

Dalam sesi pendekatan sedemikian, sebahagian hadirin biasanya akan mendekati beliau untuk bergambar, dan acara makan malam yang dihadiri Su itu adalah antara pendekatan sedemikian, tambahnya.

“Saya kemudian dapat tahu tentang siasatan polis dan tuduhan jenayah terhadap Su. Setelah itu, saya tidak lagi berinteraksi dengannya,” kata beliau.

Su, seorang warga Cyprus, menghadapi 14 pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 14 bulan pada 4 April 2024.

Dia telah dihantar pulang ke Kemboja pada 28 Mei 2024.

Dia merupakan antara 10 individu yang disabitkan kesalahan dalam kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion – antara yang terbesar di Singapura.

Su ditangkap pada 15 Ogos 2023 di sebuah banglo mewah seluas 32,000 kaki persegi di Ewart Park, Bukit Timah, selepas dia terjun melarikan diri dari balkoni tingkat dua ketika diserbu polis.

Lebih 90 peratus aset Su – bernilai lebih $165 juta – turut disita.

Antara aset tersebut termasuk 13 hartanah bernilai sekitar $91 juta, $45 juta dalam akaun banknya, serta 69 Bearbricks, iaitu patung mainan koleksi, kata peguamnya, Encik Julian Tay.

Selain itu, tujuh kenderaan bernilai lebih $3.3 juta, sembilan jam tangan mewah hampir $19 juta dan tiga keahlian kelab rekreasi bernilai lebih $1 juta juga telah dirampas.

Semasa dijatuhi hukuman, Su mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengelak penangkapan dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, melibatkan lebih $1.4 juta dipercayai hasil jenayah dalam akaun DBS Bank dan UOB milik Yihao Cyber Technologies.

Dia turut dikenakan satu lagi pertuduhan pengubahan wang haram pada September 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg