Syarikat insurans kesihatan dan hospital swasta kini terjerat dalam masalah yang merugikan semua pihak berkepentingan, termasuk pesakit, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 1 Julai.
“Saya sudah lama menyuarakan kebimbangan tentang keadaan insurans dan penjagaan kesihatan swasta.
“Trend semasa ini tidak mampan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Encik Ong memberi pandangan daripada pihak Kementerian Kesihatan (MOH) berikutan penggantungan sementara pengeluaran sijil prakebenaran bagi kemasukan pesakit ke Hospital Mount Elizabeth dan Hospital Mount Elizabeth Novena oleh kumpulan insurans Great Eastern (GE).
“Langkah terkini oleh syarikat insurans mungkin menimbulkan keresahan, tetapi kita perlu melihatnya dalam konteks yang lebih luas dan (mempertimbang) keperluan untuk mewujudkan sistem pembiayaan penjagaan kesihatan swasta yang lebih mampan.
“Jika tidak, semua pihak akan rugi,” tambahnya, sambil berkata MOH akan membantu untuk meleraikan masalah ini.
GE telah menggantung pengeluaran sijil prakebenaran untuk kedua-dua Hospital Mount Elizabeth sejak 17 Jun, atas sebab kos yang tinggi berbanding hospital swasta lain, lapor The Straits Times (ST).
Sijil prakebenaran mengesahkan bahawa syarikat insurans telah meluluskan rawatan dan kos berkaitan sebelum rawatan bermula, termasuk prosedur, ubat-ubatan dan perbelanjaan lain.
Encik Ong menegaskan isu GE hanya memberi kesan kepada pesakit dengan insurans privet yang ingin mendapatkan rawatan di hospital swasta, manakala pesakit di hospital awam tidak terjejas.
Encik Ong berkata masalah itu berpunca daripada reka bentuk produk insurans.
“Syarikat insurans tahu pemegang polisi risau tentang bil hospital besar, oleh itu mereka menawarkan produk dengan perlindungan luas untuk menarik pelanggan dan saham pasaran,” katanya.
Namun, apabila syarikat insurans menanggung hampir keseluruhan bil perubatan, penyedia penjagaan kesihatan atau pesakit cenderung membuat tuntutan atau mendapatkan rawatan melebihi keperluan.
Kemungkinan pesakit dengan perlindungan tambahan atau rider membuat tuntutan adalah 1.4 kali ganda lebih kerap berbanding pesakit dengan polisi asas dan jumlah purata tuntutan juga 1.4 kali ganda lebih besar, jelas Encik Ong.
Apabila tuntutan insurans melebihi premium yang dikenakan, syarikat insurans perlu mengambil beberapa langkah, antaranya menggantung prakebenaran di hospital tertentu seperti sekarang dan menaikkan kadar premium.
Premium bagi perlindungan tambahan telah meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Akibatnya, ramai pemegang polisi membatalkan polisi perlindungan tambahan mereka apabila menyedari kosnya – yang boleh mencecah $10,000 atau lebih, setahun – tidak lagi berbaloi, kata Encik Ong.
Mereka turut tidak berpuas hati kerana syarikat insurans mengenakan lebih banyak sekatan.
Sementara itu, penyedia penjagaan kesihatan mendapati proses membuat tuntutan menjadi lebih rumit, manakala syarikat insurans menghadapi cabaran untuk memastikan portfolio kesihatan mereka kekal mampan.
“Bagi pemerintah, dengan semua perkembangan ini, kita dapat lihat lebih ramai pesakit dengan insurans privet memilih penjagaan kesihatan awam yang bersubsidi.
“Penjagaan kesihatan awam kini menyediakan sekitar 80 peratus katil di hospital Singapura, tetapi merawat 90 peratus pesakit.
“Tekanan ke atas (khidmat jagaan kesihatan) akan meningkat,” ujar Encik Ong.
Oleh itu, MOH telah memperkenalkan penanda aras yuran pakar pada 2018 untuk mengawal harga dan mengelakkan caj berlebihan.
Kini, MOH sedang mempertimbang untuk memperluaskan penanda aras tersebut kepada caj hospital sebagai panduan penetapan harga bagi hospital swasta, tambah Encik Ong.
MOH juga telah mengambil tindakan terhadap doktor yang membuat tuntutan tidak wajar dan mempertimbangkan pembinaan hospital swasta bukan berasaskan keuntungan untuk memperluas pilihan penjagaan kesihatan mampu milik.
“
“Langkah terkini oleh syarikat insurans mungkin menimbulkan keresahan, tetapi kita perlu melihatnya dalam konteks yang lebih luas dan (mempertimbang) keperluan untuk mewujudkan sistem pembiayaan penjagaan kesihatan swasta yang lebih mampan. Jika tidak, semua pihak akan rugi.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg