Singapura berhasrat menggalas sebahagian tugas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila pandemik membawa maut seterusnya melanda, dengan menyertai barisan negara yang boleh membantu mempercepatkan proses meluluskan vaksin, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Langkah ini akan melibatkan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bertindak sebagai badan kawal selia untuk meluluskan vaksin baharu semasa penularan wabak.

Memetik Covid-19 sebagai contoh, Encik Ong berkata proses meluluskan vaksin baharu boleh menjadi lebih lambat kerana kesemuanya perlu mendapat pengesahan daripada WHO.

“Justeru usulan kami kepada WHO adalah pertubuhan itu tidak perlu menggalas beban tugas ini sendirian,” kata Encik Ong.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar WHO memanfaatkan rangkaian badan kawal selia terkemuka dan berwibawa dari serata dunia, seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat serta Agensi Ubat-Ubatan Eropah Kesatuan Eropah (EU).

Ini merupakan rangkaian yang Singapura berhasrat dapat menyertainya.

Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata demikian kepada media menjelang mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik di New York pada 25 September.

Beliau turut berucap dalam satu majlis di New York anjuran Kementerian Kesihatan (MOH) dan Hilleman Laboratories, sebuah organisasi penyelidikan dan pembangunan vaksin yang berpangkalan di Singapura.

“Singapura berhasrat menjadi sebahagian daripadanya. Kami telah diiktiraf pada tahap kematangan tertinggi bagi peranti perubatan dan ubat-ubatan, namun belum lagi untuk vaksin,” ujar Encik Ong.

HSA merupakan penguasa kebangsaan pertama yang dinilai oleh WHO pada tahap kematangan Tahap 4 bagi pengawalseliaan peranti perubatan, dan ia adalah pihak berkuasa yang terdaftar dalam senarai WHO bagi ubat-ubatan.

Tahap kematangan Tahap 4 ialah klasifikasi tertinggi yang diberikan oleh WHO kepada sistem kawal selia nasional sesebuah negara, sekali gus mengiktirafnya sebagai agensi rujukan global yang boleh diyakini oleh badan kawal selia lain.

“Saya rasa kita juga mahu mencapai tahap kematangan Tahap 4 bagi vaksin, supaya kita boleh menyertai rangkaian ini untuk memberikan kelulusan kawal selia dengan pantas semasa kecemasan,” kata beliau.

Sejajar dengan langkah Singapura memperluas pembuatan vaksin, HSA akan berusaha mendapatkan penandaarasan dan penyenaraian WHO yang sepadan.

“Vaksin harus dinilai, diluluskan dan digunakan dengan pantas tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan mutu. 

“Semasa krisis, kita berada dalam situasi yang penuh ketidaktentuan, dan badan kawal selia perlu bertindak dengan pantas dalam keadaan tidak mempunyai maklumat lengkap.

“Kepercayaan yang dibina pada waktu aman membolehkan pihak berkuasa bergantung kepada penilaian satu sama lain, berkongsi beban kerja dan mengurangkan pertindihan tugas, sementara setiap bidang kuasa kekal bertanggungjawab ke atas keputusan masing-masing,” jelasnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti