Hilleman Laboratories, yang berpangkalan di Singapura, akan bekerjasama dengan Pakatan untuk Inovasi Kesiapsiagaan Wabak (Cepi) untuk membangunkan dan menghasilkan vaksin dalam peringkat kajian terhadap virus strain Bundibugyo Ebola bagi tujuan ujian klinikal.

Ini sedang usaha global dipergiat bagi membendung penularan wabak yang semakin meruncing di Republik Demokratik (DR) Congo.

Melalui kerjasama tersebut, Hilleman Laboratories – sebuah syarikat usaha sama antara syarikat biofarmaseutikal MSD dan yayasan kebajikan Wellcome – akan menerima pembiayaan sehingga AS$8.5 juta ($10.32 juta) daripada Cepi bagi memajukan pembangunan vaksinnya tersebut.

Ini serta menghasilkan dos untuk ujian klinikal di kemudahan pengeluaran vaksinnya di Singapura menggunakan platform rVSV, atau recombinant vesicular stomatitis virus.

Platform rVSV merupakan teknologi yang menggunakan virus sebagai pembawa untuk membangunkan vaksin serta menyokong penyelidikan bioperubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cepi, Dr Richard Hatchett, berkata kes jangkitan virus Bundibugyo meningkat pada kadar yang membimbangkan, dengan wabak itu kini pantas berkembang menjadi krisis kemanusiaan.

“Ketika ini, belum ada sebarang vaksin yang diluluskan untuk melindungi daripada virus tersebut. Oleh itu, kami sedang mempercepatkan usaha membawa calon vaksin ke peringkat ujian.

“Dibangunkan berasaskan platform rVSV yang digunakan dalam vaksin berlesen bagi virus Ebola Zaire, serta disokong kepakaran pengeluaran vaksin yang dimiliki Hilleman dan MSD, calon vaksin ini berpotensi menjadi satu lagi alat penting dalam usaha mengawal serta menangani penularan wabak Bundibugyo,” kata beliau.

Menurut satu kenyataan bersama Cepi dan Hilleman Laboratories pada 30 Julai, kedua-dua mereka juga komited untuk memindahkan teknologi vaksin itu dengan segera kepada pengeluar vaksin berskala besar bagi menghasilkan dos tambahan untuk ujian peringkat seterusnya sekiranya ujian klinikal peringkat awal berjaya.

Tambah mereka, satu lagi matlamat pemindahan teknologi itu adalah untuk memastikan bekalan dos vaksin dapat disediakan dengan pantas dan pada harga yang mampu milik di negara-negara yang terjejas akibat wabak, serta di negara berpendapatan rendah dan sederhana, sekiranya vaksin itu diluluskan untuk digunakan.

Ketua Vaksin Wellcome, Cik Charlie Weller, menegaskan bahawa usaha memperkukuh keupayaan menangani virus Bundibugyo perlu dipercepat memandangkan wabak itu berlaku di kawasan yang berdepan konflik, ketidakstabilan, serta kekurangan sumber.

“Vaksin baharu, di samping langkah lain seperti pemantauan wabak yang dipertingkat, penglibatan masyarakat serta ujian diagnostik dan rawatan, amat penting dalam menangani penularan wabak.

“Dengan mengambil iktibar daripada wabak-wabak terdahulu serta pembangunan vaksin virus Ebola Zaire, ini merupakan satu langkah penting ke arah menghasilkan vaksin yang mampu dimiliki dan dapat disalurkan kepada komuniti yang paling memerlukannya,” ujarnya.