Topik diikuti
Pergi ke BHkuYuran asrama universiti tempatan naik sehingga lebih $80 sebulan
Yuran asrama universiti tempatan naik sehingga lebih $80 sebulan
Yuran asrama universiti tempatan naik sehingga lebih $80 sebulan
Mahasiswa universiti tempatan dijangka membayar sehingga lebih $80 sebulan untuk penginapan kampus mulai tahun akademik baharu pada Ogos ini (2026).
Menurut angka terkini di laman web Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), kadar sewa asrama meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kenaikan tersebut melibatkan pelbagai jenis bilik, lapor akhbar harian berbahasa Cina, Lianhe Zaobao, pada 10 Julai.
Sebagai contoh, yuran penginapan bilik bujang yang tidak berhawa dingin dengan bilik air bersambung, yang dikongsi di Hall of Residence 1 NTU yang dibina pada 1955, meningkat hampir $50, daripada $558 sebulan tahun lalu (2025) kepada $602 bagi tahun akademik akan datang.
Yuran penginapan bilik berkembar yang tidak berhawa dingin dengan bilik air bersambung, yang dikongsi turut meningkat sekitar 8 peratus, daripada $381 kepada $412 seorang sebulan.
Di Hall of Residence 14 yang dibina pada 2001 pula, yuran penginapan bilik bujang berhawa dingin turut meningkat daripada $593 kepada $642, manakala yuran penginapan bilik berkembar berhawa dingin naik daripada $436 kepada $472 dalam tempoh yang sama.
Di NUS pula, kadar bayaran mingguan bagi penginapan di kampus ditentukan berdasarkan tahun pendaftaran pelajar.
Empat tahun lalu (2022), pelajar tahun pertama di King Edward VII Hall, asrama pelajar tertua NUS yang dibina pada 1916, membayar $86 seminggu bagi bilik berkembar tidak berhawa dingin.
Pada tahun akademik baharu, kadarnya meningkat kepada $114 seminggu daripada $104 pada tahun sebelumnya, iaitu kenaikan sebanyak $28 berbanding empat tahun lalu.
Yuran bilik bujang tidak berhawa dingin di Eusoff Hall meningkat sekitar 9 peratus, daripada $151 seminggu kepada $165 seminggu, sejak setahun lalu. Eusoff Hall dibuka pada 1988.
Sementara itu, yuran bilik berkembar berhawa dingin di UTown Residence NUS meningkat daripada $255 kepada $275.50 seminggu, bersamaan kenaikan bulanan melebihi $80, atau kira-kira 8 peratus.
Universiti Pengurusan Singapura (SMU) juga dijangka menaikkan yuran asrama bagi tahun akademik 2027/2028.
Menurut laman web universiti itu, kadar sewa bilik bujang kecil akan meningkat daripada $873 sebulan pada tahun akademik 2026/2027 kepada $917 pada 2027/2028, iaitu kenaikan sebanyak $44, atau 5 peratus.
