Zakat Muhammadiyah hidupkan program pendidikan, dakwah dan kebajikan
Zakat Muhammadiyah hidupkan program pendidikan, dakwah dan kebajikan
Kesan sumbangan masyarakat Melayu/Islam setempat kepada Persatuan Muhammadiyah melangkaui Ramadan dan memberi manfaat kepada melebihi 15,000 individu pada setiap tahun.
Apabila anda menyalurkan zakat, infak dan fidyah melalui Muhammadiyah, sumbangan itu tidak terhenti sebagai bantuan jangka pendek.
Ia menjadi sokongan yang berpanjangan dan akan membantu menghidupkan program pendidikan, dakwah dan kebajikan, memupuk ilmu yang bermanfaat, memperteguh iman, dan membantu keluarga bergerak ke arah kestabilan serta berdikari.
Sejak ditubuhkan pada 1957, Muhammadiyah menawarkan pelbagai program menyeluruh yang membantu memperkasa masyarakat.
Dalam pendidikan, Muhammadiyah menyantuni pembentukan generasi – menawarkan kelas pengajian dan kursus agama, membantu membangunkan asatizah menerusi pelbagai program berilmu, menubuhkan tadika Muhammadiyah dan Kolej Islam Muhammadiyah, menyediakan program madrasah mingguan dan sepenuh masa menerusi Kelas Asas Bimbingan Agama (Kaba), serta menyediakan biasiswa Muhammadiyah buat pelajar kurang berkemampuan.
Dari segi kebajikan pula, Muhammadiyah mengelola institusi kebajikan keperluan masyarakat seperti Rumah Kebajikan Muhammadiyah (MWH), Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang untuk Warga Tua (MHCC) dan Pusat Penuaan Aktif @ Yishun.
Ia juga dilantik sebagai agensi anak titipan nasional menerusi Projek Sinar Ihsan yang mengutamakan keselamatan kanak-kanak yang didera, diabai atau ditinggalkan.
Selain itu, Muhammadiyah menawarkan perkhidmatan pengurusan pengebumian menyeluruh untuk masyarakat Islam, merangkumi keseluruhan proses, daripada pengambilan jenazah hingga pengebumian mengikut sunah.
Muhammadiyah juga pastinya prihatin terhadap golongan fakir dan miskin seperti Encik Karim (bukan nama sebenar), penerima bantuan kebajikan Muhammadiyah.
Pada usia 44 tahun, hidup Encik Karim berubah secara tidak dijangka.
Sebagai satu-satunya pencari nafkah utama keluarga, beliau bekerja tanpa kenal penat lelah untuk menyara isterinya, suri rumah, dan tiga anak kecilnya, di mana anak bongsunya baru berusia satu tahun.
Namun, satu diagnosis pada tahun lalu mendedahkan bahawa beliau mengalami penyakit barah, memaksanya berhenti seketika dan menumpukan perhatian kepada kesihatannya. Ini bermakna beliau akan mengalami kehilangan pendapatan, menyebabkan keluarganya bergelut untuk menampung perbelanjaan sara hidup asas.
Walaupun saudara-maranya telah membantu, Encik Karim masih bimbang dan tertekan dengan keadaan kewangan keluarganya.
Di Persatuan Muhammadiyah, ia percaya bahawa tiada keluarga harus menghadapi kesusahan sedemikian sendirian. Sebab itu, persatuan itu menghulurkan sokongan untuk membantu menampung keperluan penting keluarga Encik Karim dalam tempoh mencabar mereka.
Selain bantuan kewangan, Muhammadiyah juga menawarkan kelas agama percuma sebagai sebahagian daripada inisiatif dakwah persatuan itu, yang bukan sahaja menyediakan sokongan kewangan tetapi juga ketenangan rohani untuk keluarga memerlukan.
Justeru, Muhammadiyah mengalu-alukan kedatangan Ramadan dengan harapan tinggi dapat menambah dananya demi melaksanakan pelbagai rancangan pendidikan, dakwah dan kebajikan.
Apatah lagi, dalam bulan suci ini, umat Islam meningkatkan amalan bersedekah dan menderma bagi meraih pahala yang berlipat ganda.
Di Muhammadiyah, zakat disalurkan kepada golongan asnaf, sekali gus memenuhi tuntutan syarak, dan mengalirkan pahala melalui kebaikan yang sampai kepada mereka yang memerlukan.
Dengan zakat, kita juga dapat memperkukuh ummah - menjaga maruah, dan menyalakan harapan bagi mereka yang sedang diuji.
Projek Wahdah
Pada masa yang sama, Muhammadiyah juga sedang menaiktaraf ibu pejabat Pusat Muhammadiyah yang dinamakan Projek Wehdah di 14 Jalan Selamat.
Pusat ini menyokong lebih 15,000 pelajar serta menyediakan sokongan penting kepada ramai penerima bantuan. Kerja naik taraf ini akan menyediakan sebuah fasiliti yang lebih baik dan kondusif dan memperkukuh kemampuan Muhammadiyah untuk berkhidmat dengan lebih berkesan kepada generasi akan datang.
Muhammadiyah menyeru sokongan masyarakat bagi inisiatif naik taraf bangunan ini yang masih memerlukan dana sebanyak $5 juta lagi.
Dengan menyokong Projek Wahdah, ia membolehkan anda menyumbang kepada sadaqah jariyah, di mana anda meninggalkan legasi kebaikan yang berkekalan untuk generasi akan datang.
Mari sama-sama menyokong usaha Muhammadiyah menabur bakti kepada masyarakat menerusi pendidikan dan kebajikan.
Anggaplah zakat sebagai pelaburan abadi yang membawa keberkatan kepada kehidupan kita di dunia dan akhirat.
Sumbangan anda ringankan beban mereka yang memerlukan. Jom beri sinar harapan hari ini dengan melayari laman web, muhammadiyah.org.sg/donate
Program Ramadan
Pada Ramadan ini, Muhammadiyah akan menyokong sekitar 700 keluarga, yang akan menerima pek pra-Ramadan, zakat, dan hamper Hari Raya. Sebanyak 100 keluarga akan menerima juadah berbuka setiap minggu.
Penyediaan iftar harian untuk jemaah juga akan diteruskan. Solat tarawih, tazkirah dan tadarrus Al-Quran turut dijalankan Muhammadiyah setiap hari.
Selain itu, Muhammadiyah memperkenal ‘DakwahCast’, satu inisiatif dakwah digital yang menyampaikan kandungan bermanfaat melalui wadah media sosial Instagram dan TikTok. Kandungannya ringkas, namun mudah dikaitkan berdasarkan Al-Quran dan sunah.
Mari sama-sama menyokong usaha Muhammadiyah menabur bakti kepada masyarakat menerusi pendidikan dan kebajikan.
Anggaplah zakat dan sedekah sebagai pelaburan abadi yang membawa keberkatan kepada kehidupan kita di dunia dan akhirat.
Sumbangan anda ringankan beban mereka yang memerlukan. Jom beri sinar harapan hari ini dengan melayari laman web, muhammadiyah.org.sg/donate
SEKILAS
Masyarakat Islam berpeluang menyalurkan zakat dan sedekah pada Ramadan ini.
Muhammadiyah akan mengadakan jamuan iftar dan solat terawih di Al-Wehdah (11 Lorong 37 Geylang) sepanjang Ramadan tahun ini.
Muhammadiyah memerlukan sekitar $1,500 – $3,000 sehari untuk menjalankan jamuan iftar dan program-program sepanjang Ramadan.
Cara menderma atau membayar zakat:
PayNow: Imbas kod QR dengan aplikasi bank anda atau hantarkan ke UEN S58SS0020C
Khidmat kutipan dari rumah: Mudah untuk penderma. Hubungi talian 6242-7388.
Dalam talian: Layari muhammadiyah.org.sg/zakat untuk menderma.
Bazar Ramadan: Menderma secara bersemuka di tujuh lokasi tahun ini – Geylang Serai, Admiralty, Woodlands, Tampines, Bukit Gombak, Pasir Ris dan Our Tampines Hub (OTH).

