Semasa saya melawat negara lain di rantau ini, Eropah atau di Amerika, saya selalu diingatkan mengenai pendekatan seluruh masyarakat yang kita amalkan untuk menentang pengganasan dan ekstremisme yang berkesan dan boleh dikatakan unik.
Sebahagian pendekatan kita ini wujud di banyak tempat dan di sebahagian tempat lain, ia tidak wujud sama sekali.
Perkara paling penting yang kita miliki ialah perkongsian amat kuat antara masyarakat dengan pemerintah.
Perkara ini tiada di banyak negara lain. Di beberapa negara, ini disebabkan undang-undang mereka tidak membenarkannya; mereka tidak membenarkan negara bekerjasama dengan penguasa agama.
Dan di beberapa negara lain pula, masyarakat enggan bekerjasama dengan pemerintah, biasanya kerana ada sifat kurang percaya antara masyarakat dengan pihak berkuasa.
Justeru, negara-negara ini terjerat dalam lingkaran yang tiada kesudahannya.
Agensi keselamatan mereka boleh mengesan individu yang menjadi radikal dan dari masa ke masa akan menangkap dan penjarakan mereka. Menyusuli itu, mereka akan membebaskan orang yang ditahan ini.
Namun semasa mereka ditahan, usaha yang dilakukan untuk menjadikan mereka tidak radikal lagi dan membawa mereka ke pangkal jalan atau untuk menyokong keluarga mereka, amat sedikit.
Dan, apa yang berlaku selepas mereka dibebaskan ialah mereka perlu ditangkap lagi.
Negara ini terjerat dalam lingkaran tanpa kesudahan kerana isu-isu asas yang dihadapi individu dan keluarga mereka tidak ditangani.
Di Singapura, sokongan kuat dari masyarakat membolehkan kita menangani punca masalah.
Dan kami berbuat demikian di setiap peringkat. Daripada melindungi masyarakat lebih luas daripada ideologi ekstrem, kepada pengesanan lebih awal individu yang menjadi radikal, kepada sokongan pemulihan dan penyertaan semula dalam masyarakat oleh kededua individu dan keluarga mereka.
Sumbangan anda amat penting dalam memastikan Singapura dan warga Singapura selamat dan terjamin.
Sokongan ini kekal amat penting sedang landskap ancaman berubah dari segi bentuk dan kesungguhannya.
Kami terus berdepan dengan ancaman pengganasan yang aktif dan juga landskap keselamatan sedunia yang bermasalah.
Landskap keselamatan bermasalah ini memberikan banyak dorongan kepada mereka untuk memupuk dan mengikuti ideologi ekstrem.
Dan ini termasuk perang dahsyat yang sedang berlaku di Timur Tengah, yang telah mencengkam perhatian serata dunia dan menyebabkan penularan kandungan media yang mencetus emosi.
Sebahagian kandungan media ini berdasarkan fakta, tetapi sebahagiannya tidak benar.
Objektikf kandungan sebegini adalah untuk menyampaikan perkara dalam bentuk yang tidak objektif, tetapi untuk mewujudkan emosi dan mencetus kemarahan orang.
Sama ada ia berdasarkan fakta atau tidak kurang penting bagi pihak yang mencipta kandungan itu.
Perang di Timur Tengah telah menyemarak kesungguhan dan mencetus perbuatan radikal oleh pelampau dari kededua bahagian bertentangan.
Warga Singapura telah memberikan respons kepada keadaan di Timur Tengah dengan sikap belas kasihan dan murah hati.
Kita semua harus terus melakukan apa yang termampu untuk mengurangkan kesengsaraan manusia.
Inilah yang telah kita lakukan, oleh sepelosok masyarakat. Kita telah bersatu untuk menghulurkan bantuan dan menyokong golongan yang sengsara.
Tapi, seperti negara lain, Singapura turut terdedah kepada usaha kumpulan pelampau yang berhasrat menggunakan peluang ini untuk menjadikan orang kita radikal.
Sebagai contoh, pertubuhan seperti ISIS terus menggalakkan serangan dilakukan dan mempamerkan kehadiran mereka di mata dunia.
Mereka melakukan sedemikian menerusi penyebaran propaganda dan ideologi.
Dan cara ini amat berkuasa kerana Internet memberi mereka wadah dan keupayaan luas untuk mencetus respons emosi.
Dan sekali lagi, ini dilakukan tanpa mengambil kira sama ada bahan yang diterbitkan benar atau palsu.
Faktor-faktor ini, bersama media sosial dan Internet, telah bergabung untuk menyebabkan kes menjadi radikal sendiri di Singapura bertambah, terutama dalam kalangan orang muda kita, yang amat terdedah dan amat mudah terpengaruh.
Sejak 2015, Singapura, malangnya, terpaksa menangani 40 kes warga Singapura yang menjadi radikal sendiri di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Seramai 13 daripada mereka berusia 20 tahun atau lebih muda.
Ini termasuk seorang belia 16 tahun beragama Kristian yang menjadi radikal sendiri kerana menjiwai ideologi ektrem pelampau berhaluan kanan.
Belia itu telah melakar pelan terperinci untuk menyerang Muslim di dua masjid di Singapura.
Mujurlah, agensi keselamatan kita berjaya mengesan belia itu dan menyekatnya daripada meneruskan rancangannya.
Pada Julai tahun ini, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) memberitahu orang awam mengenai dua kes menjadi radikal sendiri ekoran perang yang sedang berlangsung di Timur Tengah.
Kededua individu menjadi radikal sendiri melalui dalam talian. Satu kes melibatkan seorang wanita yang merupakan bekas penjawat awam.
Satu lagi kes melibatkan belia berusia 14 tahun – yang termuda pernah ditangani di bawah ISA.
Kededua kes ini dipengaruhi bahan radikal yang diperolehi dalam talian.
Adalah membimbangkan, mereka menjadi radikal dalam tempoh kurang beberapa bulan.
Justeru, langkah yang diambil kita harus terus berubah selaras dengan perubahan dalam landskap ancaman.
Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menawarkan campur tangan pemulihan yang dikhususkan untuk orang muda.
Awal tahun ini, ia menerbitkan edisi keempat panduan manual kaunseling yang memberi tumpuan kepada kaunseling dan pementoran belia.
Semasa saya berinteraksi dengan rakan sekerja dari agensi keselamatan dan masyarakat di negara lain, mereka menunjukkan menunjukkan minat yang mendalam terhadap manual ini apabila saya memberitahu mereka mengenainya.
Dan saya telah memberikan manual ini kepada rakan sekerja di serata dunia.
RRG juga telah memperluas usahanya mendekati audiens yang lebih muda dan lebih luas, termasuk di TikTok.
Dan ada juga Majulah Galeri RRG, yang dilancarkan tahun lalu untuk menyokong pendidikan awam.
Galeri itu telah menerima lebih 2,500 pengunjung sejak ia dilancarkan.
Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) juga berperanan amat penting dalam respons seluruh masyarakat di Singapura.
Perasaan terasing dan terpisah dari masyarakat terdekat atau keluarga, biasanya punca menjadi radikal.
Anda berasa tidak diterima dan anda mula mencari tempat lain untuk menerima anda.
ACG telah memainkan peranan penting untuk menyediakan pemulihan sosial yang wajar bagi individu yang menjadi radikal dan keluarga mereka.
Sokongan untuk mereka menyertai semula masyarakat ialah perkara yang melengkapkan proses menyahradikalkan mereka.
Ia memberi individu ini dan keluarga mereka kehidupan baru.
Mereka boleh membuka lembaran baru dan meneruskan hidup mereka. Usaha anda menunjukkan kepada mereka dan keluarga mereka masyarakat kita tidak akan berputus asa dan membiarkan mereka.
Mereka sebahagian daripada masyarakat kita dan kita mahu mereka berjaya dan melihat anak-anak mereka berjaya.
Ini adalah galakan yang mereka perlukan untuk terus cekal melalui pemulihan dengan pengetahuan mereka boleh bergantung kepada masyarakat untuk bersama-sama melalui proses sukar ini.
Sokongan anda saban tahun telah membantu lebih 90 belia melanjutkan pengajian ke peringkat posmenengah dan lebih ramai lagi melengkapkan pendidikan sekolah rendah, menengah dan vokasional.
Singapura telah melangkah jauh sejak ia kali pertama mengesan anggota Jemaah Islamiyah dan menangani masalah ini pada 2001.
Sebagai satu negara, kita telah belajar dan mendewasa daripada episod sukar itu.
Kumpulan agama kita dan masyarakat di sini telah bersatu dalam masa yang mencabar itu untuk menangani isu tersebut secara bertanggungjawab dan memberi sokongan kepada satu sama lain.
Hasilnya, kita menjadi masyarakat yang lebih bersatu dan bukan masyarakat yang berpecah belah di mana hubungan adalah lebih tegang.
Kita lebih memahami satu sama lain, saling memberi sokongan dengan lebih baik dan bekerjasama untuk memastikan Singapura kekal selamat, terjamin dan makmur.
Dalam beberapa dekad yang berlalu sejak peristiwa itu, relawan dalam masyarakat terus berperanan amat penting dalam perjuangan kita menentang pengganasan dan fahaman pelampau.
Dan pemerintah bekerjasama rapat dengan masyarakat untuk menampilkan kepentingan masyarakat.
Satu contoh penting ialah penubuhan Kolej Pendidikan Islam Singapura.
Ia akan menyediakan kita dengan institusi kuat yang memperkukuh institusi kuat kita yang lain dan menggalak pengajaran dan pembelajaran agama dengan cara yang memberi konteks kepada masyarakat kita dan boleh membantu kita menjalin hubungan antara semua masyarakat kita dengan matlamat bersama iaitu membawa rakyat dan Singapura ke hadapan.
Kita berada dalam masa yang mencabar, tetapi kita boleh terus berjaya selagi perkongsian kuat dengan masyarakat berkekalan.
Pemerintah akan memberikan anda sokongan penuh dalam usaha bersama mengekalkan Singapura yang selamat dan terjamin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg