Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy bentang wawasan jadikan ‘iman, ilmu, Ihsan, identiti’ pegangan masyarakat
Ingin libat masyarakat cari huraian bersama melalui CiptaSama@M³+
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, pada 30 Ogos menggariskan visinya untuk membina masyarakat Melayu/Islam yang yakin, berdaya tahan dan bersatu. berlandaskan empat pegangan, iaitu Iman, Ilmu, Ihsan dan Identiti.
Rangka dan visi tersebut dibentangkan setelah Encik Zaqy mendengar secara langsung pandangan, kebimbangan dan aspirasi pelbagai lapisan masyarakat Melayu/Islam sejak menyandang jawatan tersebut lebih sebulan lalu.
Berucap di acara pelancaran Direktori M Kuasa Tiga Plus (M3+) dan saluran komuniti WhatsApp M3+ di Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee, Encik Zaqy berkata:
“Iman menjadi asas kehidupan kita sebagai satu masyarakat Islam. Ia membentuk pegangan kita, cara kita menjalani hidup, dan hubungan sesama manusia.
“Ilmu membuka minda dan membuka jalan. Sejak dahulu, Ilmu menjadi bekal untuk kita memperbaiki kehidupan, bagi kita merebut peluang, dan juga bagi kita membimbing generasi seterusnya.”
Katanya lagi, Ihsan pula mengingatkan kemajuan bukan untuk diri sendiri, sedang individu juga bertanggungjawab untuk berbuat baik, saling membantu dan memberi manfaat kepada orang lain.
Identiti pula memberi masyarakat keyakinan tentang “siapa diri kita, bahasa kita, budaya kita, warisan kita, jati diri kita yang kita tetap bawa walau sejauh mana kita melangkah”, kata Encik Zaqy.
“Iman, Ilmu, Ihsan, Identiti, empat pegangan kita. Bukan satu yang mendahului yang lain, bukan satu yang menggantikan yang lain, keempat-empatnya saling melengkapi dan keempat-empatnya perlu kita jiwai bersama.
“Apabila kita jelas dengan pendirian kita, kita lebih yakin menghadapi dunia, lebih berani mencuba, lebih terbuka untuk belajar, lebih bersedia untuk menyumbang, dan inilah keyakinan yang kita ingin semai dalam generasi seterusnya,” kata Encik Zaqy lagi.
Beliau menggantikan Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim yang meletak jawatan pada 20 Julai, berhubung satu ‘kesilapan pertimbangan’ dalam interaksinya dengan seorang wanita.
Lebih sebulan setelah menggalas peranan baru itu, Encik Zaqy berkata beliau mahu membuka lebih banyak ruang bagi masyarakat memainkan peranan dalam membentuk penyelesaian terhadap isu dan keperluan yang mereka hadapi.
Selaras usaha itu, Encik Zaqy mengumumkan rancangan memperkukuh rangka CiptaSama@M³’ yang kali pertama dilancarkan semasa pandemik Covid-19, dan kini akan diperkenalkan semula sebagai CiptaSama@M³+.
Inisiatif itu mencerminkan usaha menghasilkan penyelesaian secara bersama, dengan masyarakat, pemerintah, pertubuhan Melayu/Islam dan rakan masyarakat bekerjasama demi kepentingan lebih luas.
Bercakap kepada media semasa acara tersebut, Anggota Parlimen GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, berkata empat pegangan itu – Iman, Ilmu, Ihsan dan Identiti – dirangka berdasarkan pandangan masyarakat.
Menurut beliau, pendekatan tersebut memastikan pandangan dan perspektif masyarakat dapat dipertimbangkan secara menyeluruh dalam membentuk kerangka berkenaan.
Selaras dengan itu, beliau menambah bagaimana Direktori M³+ dapat menyokong usaha tersebut dengan menghimpunkan maklumat mengenai pelbagai perkhidmatan, program dan peluang yang tersedia dalam masyarakat.
“Adalah baik untuk melihat wajah-wajah yang begitu dikenali dalam kalangan rakan masyarakat yang telah berada dalam ruang ini selama berdekad-dekad dan yang terus komited mencari pelbagai bidang, peringkat dan cara untuk menyokong masyarakat dalam pelbagai fasa kehidupan, sama ada keibubapaan, pekerjaan atau pendidikan.
“Itulah tujuan direktori ini, supaya kita dapat berkongsi apa yang tersedia dan mencari peluang untuk bekerjasama,” kata Cik Hazlina.
“
Iman, ilmu, ihsan, identiti, empat pegangan kita. Bukan satu yang mendahului yang lain, bukan satu yang menggantikan yang lain, keempat-empatnya saling melengkapi dan keempat-empatnya perlu kita jiwai bersama. Apabila kita jelas dengan pendirian kita, kita lebih yakin menghadapi dunia, lebih berani mencuba, lebih terbuka untuk belajar, lebih bersedia untuk menyumbang, dan inilah keyakinan yang kita ingin semai dalam generasi seterusnya