Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembangunan negara harus liputi nilai sepadu, terangkum dan prihatin

Puan Halimah: Golf Amal, Jamuan Malam BH-AMP pupuk semangat muhibah bantu golongan memerlukan
Jul 22, 2025 | 8:00 PM
Halimah Yacob, nazry mokhtar, bh-amp, golf amal
Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob (tengah), yang juga Penaung Golf Amal dan Jamuan Malam BH-AMP, bersama Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar (di kiri beliau), di Orchid Country Club, pada 22 Julai. Dalam ucapannya, Puan Halimah menekankan pentingnya perpaduan, keterangkuman dan sikap prihatin sebagai asas pembinaan negara yang kukuh dan berdaya tahan. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Pembangunan negara tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan kemajuan fizikal.

Malah, ia harus berpaksikan nilai seperti perpaduan, keterangkuman dan sikap saling mengambil berat antara satu sama lain.

Sebagai acara yang meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura (SG60), acara Golf Amal dan Jamuan Malam BH-AMP, anjuran bersama akhbar Berita Harian (BH) dan AMP Singapura, memberi peringatan tentang kepentingan menilai dan menyemai semangat sebegitu.

Demikian antara teras ucapan mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, yang juga Penaung Golf Amal dan Jamuan Malam BH-AMP, di Orchid Country Club, pada 22 Julai.

“Ia juga amat simbolik bahawa kita mengadakan acara ini hanya sehari selepas sambutan Hari Keharmonian Kaum.

“Usaha kita meraikan Hari Keharmonian Kaum ini adalah peringatan tentang kekuatan yang kita raih daripada kepelbagaian kita sebagai sebuah masyarakat,” jelas Puan Halimah.

Dalam ucapannya, Puan Halimah turut menitikberatkan peranan masyarakat dalam membangun masa depan golongan memerlukan.

Beliau memuji BH dan AMP kerana menjalin kerjasama yang bermakna menerusi acara Golf Amal dan Jamuan Malam BH-AMP.

“Kepimpinan dan komitmen anda mencetus inspirasi.

“Dan bagi setiap orang di sini – penaja, penderma, sukarelawan dan teman-teman – terima kasih kerana kemurahan hati anda dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Anda adalah sebab inisiatif ini mampu dilaksanakan,” katanya.

Awal daripada itu, Puan Halimah menjelaskan bahawa usaha bersatu padu bagi acara sedemikian bukan sahaja untuk mengumpul dana, bahkan bagi menambah sinar harapan.

Ia pesanan jelas bahawa tiada sesiapa yang keseorangan dalam berdepan dengan permasalahan hidup.

“Di sebalik setiap perangkaan (fakta dan data masyarakat) adalah kanak-kanak yang mengimpikan masa depan lebih baik.

“Keluarga yang bekerja keras untuk menyara hidup. Seorang belia yang berusaha mengatasi segala hambatan.

“Apabila kita bersatu hati seperti ini, kita bukan sahaja mengumpul dana, malah menambah sinar harapan.

“Kita juga memberi pesanan jelas bahawa tiada orang yang bersendirian dan masyarakat kita berdiri teguh bersama dalam perpaduan,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Puan Halimah berkata acara itu meraikan semangat memberi, dengan setiap orang diingatkan bahawa sumbangan yang dibuat adalah langkah menuju ke arah Singapura yang lebih penyayang, terangkum dan berdaya tahan.

Secara keseluruhan, lebih $260,000 berjaya dikumpulkan menerusi acara Golf Amal dan Jamuan Malam BH-AMP.

Dengan geran padanan yang bakal diterima, jumlah sumbangan dijangka mencecah $400,000.

Angka tersebut melebihi sasaran awal yang ditetapkan penganjur, iaitu sebanyak $300,000.

Separuh hasil dana yang dikumpulkan akan diberi kepada AMP bagi menyokong usaha memperkasa keluarga berpendapatan rendah melalui pendidikan dan pembangunan diri.

Sebanyak 40 peratus lagi akan disalurkan kepada Persatuan Kanak-Kanak Singapura bagi menyokong usaha badan itu membantu kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan.

Ini merangkumi empat bidang utama – Kanak-Kanak dan Belia Mudah Terjejas, Perkhidmatan Kanak-Kanak dan Belia, Perkhidmatan Keluarga, serta Penyelidikan dan Sokongan.

Timbalan Pengarah Perhubungan Strategik dan Jangkauan, yang juga Pemangku Ketua Penglibatan Masyarakat dan Perkongsian Persatuan Kanak-Kanak, Cik Selene Ong, berkata dana tersebut akan membantu dalam meneruskan usaha yang dijalankan sejauh ini.

“Kami bertekad mencapai misi untuk membawa kelegaan dan kebahagiaan kepada kanak-kanak yang memerlukan,” kata beliau.

Baki 10 peratus pula akan diperuntukkan bagi pemberian hadiah buku kepada sekurang-kurangnya dua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IHL) dalam bidang Komunikasi, Media atau Pengajian Melayu.

“Apabila kita bersatu hati seperti ini, kita bukan sahaja mengumpul dana, malah menambah sinar harapan. Kita juga memberi pesanan jelas bahawa tiada orang yang bersendirian dan masyarakat kita berdiri teguh bersama dalam perpaduan.”
Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, yang juga penaung Golf Amal BH-AMP.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg