Singapura akan mencari keseimbangan dalam usaha melindungi kanak-kanak di masjid sambil mengekalkan sifat terbuka dan mesra yang menjadi teras masjid di sini, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Beliau memahami kebimbangan masyarakat sekiranya fungsi masjid menjadi terlalu ketat, ia boleh menjadikan akses kepada masjid terbatas.

Lantas, jawatankuasa semakan baharu yang akan ditubuhkan Encik Zaqy – diumumkan beliau di Parlimen pada 8 September – akan meneliti secara menyeluruh langkah perlindungan di institusi agama, di samping memastikan ia kekal memenuhi keperluan masyarakat.

“Kami akan memperkukuh langkah perlindungan demi keselamatan kanak-kanak dan belia kita, di samping memelihara keterbukaan dan sifat mesra institusi agama kita,” kata beliau.

Encik Zaqy berkata demikian di Parlimen pada 8 September dalam menjawab soalan berhubung kes ‘pempengaruh agama’ yang dijatuhi hukuman penjara dan sebat atas kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki antara 2023 hingga 2024.

Pesalah tersebut, seorang lelaki berusia 37 tahun, berulang kali merogol adik daripada dua beradik tersebut, yang ketika itu berusia antara enam dengan lapan tahun, di beberapa lokasi termasuk tandas sebuah masjid yang sering mereka kunjungi untuk menunaikan solat bersama.

Encik Zaqy menegaskan sekali lagi bahawa pesalah itu bukanlah seorang guru agama yang bertauliah, sambil menyifatkannya sebagai seorang jemaah biasa di masjid tersebut.

“Dia berkumpul secara santai dengan beberapa kumpulan kecil belia di dewan solat utama.

“Ini bukanlah kelas agama yang diluluskan atau diiktiraf oleh pihak masjid,” jelas Encik Zaqy, sambil menambah bahawa amalan sedemikian adalah perkara biasa.

Beliau menekankan bahawa masjid mendapat kepercayaan khusus daripada masyarakat, dan mereka “akan semak semula kelemahan kita, tingkatkan keselamatan, dan belajar daripada kes ini”.

“Setiap kanak-kanak berhak rasa selamat. Keselamatan mereka keutamaan kita, dan kita tidak akan ambil mudah perkara ini,” kata beliau.

Beliau turut memberi perincian dalam menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied), berkenaan pengetahuan masjid tentang status ‘pempengaruh agama’ itu ketika dia berinteraksi dengan kanak-kanak.

Encik Zaqy berkata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hanya dimaklumkan mengenai kes melibatkan dua beradik tersebut pada Julai 2025 – lebih setahun selepas pesalah ditangkap pada April 2024.

Sebelum ini, pesalah pernah ditahan buat kali pertama pada Disember 2021 susulan aduan cabul oleh seorang remaja lelaki, sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

“Hasil semakan rekod bagi tempoh antara 2021 hingga 2025 juga mendapati tiada sebarang aduan pernah diterima oleh MUIS daripada lembaga masjid, asatizah, mahupun orang awam berhubung kes atau pesalah berkenaan,” katanya.

Menjelaskan mengenai langkah seterusnya, Encik Zaqy akur ia memerlukan pendekatan yang seimbang.

“Kita perlu bersikap praktikal kerana jika kita mula melarang setiap kumpulan kecil yang berkumpul di masjid untuk mengaji dan sebagainya, ini akan menjadikan masjid kita sangat terbatas,” katanya.

Bahkan, dalam pertemuannya dengan masyarakat baru-baru ini, Encik Zaqy berkata mereka telah meluahkan rasa bimbang fungsi masjid akan disekat sekiranya langkah perlindungan terlalu ketat. Sebaliknya, mereka menginginkan masjid kekal mesra sebagai ruang berkumpul untuk masyarakat.

“Justeru, jawatankuasa semakan ini cuba mencapai keseimbangan yang sepadu – iaitu mengambil iktibar daripada insiden ini untuk mengekalkan masjid yang terbuka dan mesra, dan pada masa yang sama, melaksanakan langkah perlindungan yang sewajarnya,” ujarnya.

Jawatankuasa itu – yang akan diterajui bersama oleh Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, dan Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim – akan mengkaji serta memperkukuh langkah perlindungan di semua institusi agama.

Mereka kemudian akan melapor kepada Encik Zaqy. Dapatan dan saranannya akan dikongsi secara terbuka dengan masyarakat, sebelum akhir 2026, kata Encik Zaqy.

Beliau juga menambah bahawa MUIS akan menjalankan audit untuk memastikan langkah perlindungan dilaksanakan di masjid.

Jawatankuasa itu pula akan meneliti dengan lebih menyeluruh langkah dan proses di institusi agama, bukan sahaja di masjid.

Selain itu, mereka akan mengemukakan saranan untuk mewujudkan kerangka kerja dan protokol pelaporan yang lebih kukuh.

Encik Zaqy turut melahirkan rasa dukacita atas apa yang berlaku kepada mangsa yang terlibat serta keluarga mereka di Parlimen, sambil menambah bahawa kesakitan dan trauma yang dialami mereka tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

“Izinkan saya bercakap secara terus terang kepada mangsa dan keluarga mereka – anda telah dikecewakan oleh seseorang yang menggunakan kepercayaan anda untuk memudaratkan anda.

“Saya amat berdukacita dengan apa yang telah berlaku. Saya ingin memberi jaminan bahawa kami akan mengambil iktibar daripada kejadian ini dan berusaha keras untuk melindungi anak-anak kita dengan lebih baik.”

Encik Zaqy turut berkata bahawa fakta kes itu, termasuk tindakan ‘pempengaruh agama’ tersebut yang mengumpulkan kumpulan kecil belia secara santai di dewan solat utama, telah mendedahkan satu perkara yang membimbangkan.

“Seseorang yang tidak mempunyai tauliah atau autoriti agama rasmi masih boleh membina pengikut dalam talian, dan meletakkan dirinya sebagai pembimbing yang dipercayai oleh orang muda yang mencari ilmu agama.

“Kepercayaan itu kemudiannya diguna untuk mendatangkan kemudaratan terhadap mereka. Kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini,” katanya.

Beliau berkata masjid-masjid melaksanakan langkah perlindungan sedia ada, seperti pemeriksaan latar belakang kakitangan sebelum diambil bekerja dan syarat kelulusan bagi kelas agama luar.

Apabila timbul kebimbangan atau dakwaan, MUIS akan mengambil tindakan, termasuk membuat laporan polis dan menggantung pengiktirafan asatizah jika wajar.

“Langkah perlindungan ini amat penting. Namun, peraturan sahaja tidak mencukupi.

“Kita juga mahu membina rasa tanggungjawab bersama dan kerjasama dengan pihak masjid, ibu bapa, kanak-kanak, serta para sukarelawan,” ujar beliau.

Sementara itu, menjawab pertanyaan AP Pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), mengenai sejauh mana skop pengiktirafan ARS dapat melindungi kanak-kanak, Encik Zaqy berkata bahawa sistem itu bertujuan untuk memastikan masyarakat Islam mendapat bimbingan baik daripada asatizah yang berkelayakan dan berwibawa.

Menurutnya, asatizah ARS tertakluk kepada saringan, kod etika, dan pembaharuan setiap tiga tahun, dengan kod etika itu kini sedang disemak semula oleh MUIS dan Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB).

“Jika timbul sebarang keraguan terhadap perilaku seorang asatizah, perkara itu harus dilaporkan.

“MUIS akan menyiasat setiap maklum balas atau aduan dan akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menggantung atau membatalkan pengiktirafan ARS seseorang asatizah itu,” kata beliau.