Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: S’pura pastikan pakej bantuan sampai pada warga Gaza memerlukan

Aug 12, 2025 | 1:10 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (kanan), dan Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo, bercakap dengan media di Pangkalan Udara Paya Lebar pada 12 Ogos.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (kanan), dan Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo, bercakap dengan media di Pangkalan Udara Paya Lebar pada 12 Ogos. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Singapura akan memastikan pakej bantuan kemanusiaan yang dihantar oleh negara ini disampaikan kepada warga Palestin yang memerlukan di Gaza, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.

Ini sedang Singapura akui bahawa situasi konflik di Gaza amat meruncing dan mempunyai risiko kepada keselamatan pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dikerah untuk menggugurkan bantuan tersebut melalui udara di Gaza.

“Pasukan SAF ini telah mengetengahkan diri untuk membantu dan menjalankan misi ini. Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang akan menghadapi situasi yang berisiko ini.

“Kita mempunyai situasi yang membawa risiko kepada keselamatan mereka tetapi kita akan mencuba sedaya upaya untuk menjamin bekalan itu sampai kepada mereka yang memerlukan sambil mengurangkan risiko kepada pihak awam di sana,” kata Encik Zaqy kepada media dari Pangkalan Udara Paya Lebar.

Pada 12 Ogos, pemerintah telah mengerahkan sebuah pesawat Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) C-130 menuju ke Jordan, atas undangan kerajaan tersebut, dan akan menyertai pesawat tentera negara lain untuk menjalankan operasi menggugurkan pakej bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pakej bantuan dari Singapura berisi bekalan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (MOH) dan bekalan makanan daripada badan seperti Humanity Matters, Caritas Humanitarian Aid and Relief Initiative Singapore (Charis), Mercy Relief, dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Seramai 58 anggota pertahanan dan tentera Singapura telah dikerahkan bagi menyokong operasi ini yang diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi (RHCC).

Ini adalah pakej bantuan kemanusiaan kesembilan yang dihantar Singapura untuk penduduk Palestin sejak konflik bermula.

Keseluruhan, pakej bantuan yang dihulurkan Singapura dan warga Singapura bernilai lebih $22 juta buat masa ini.

Semasa bercakap dengan media, Encik Zaqy turut meluahkan kebimbangan dan keprihatinannya terhadap krisis kemanusiaan yang sedang melanda warga Palestin di Gaza.

“Singapura amat prihatin akan keadaan kemanusiaan di Gaza. Singapura menyeru akan gencatan senjata segera, pembebasan semua tebusan tanpa syarat dan penyingkiran segala sekatan atas bantuan kemanusiaan di Gaza,” kata Encik Zaqy.

Pada 5 Ogos, Israel berkata ia akan membenarkan kemasukan barangan secara beransur-ansur dan terkawal ke Gaza melalui pedagang tempatan.

Pegawai Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata Gaza memerlukan kira-kira 600 trak bantuan untuk masuk setiap hari bagi memenuhi keperluan kemanusiaan - bilangan yang digunakan Israel untuk membenarkan masuk ke Gaza sebelum perang.

Imej rakyat Palestin yang kelaparan, termasuk kanak-kanak telah mencemaskan dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini, manakala video yang dikeluarkan oleh Hamas pada 3 Ogos menunjukkan seorang tawanan yang kurus kering mendapat kritikan tajam daripada kuasa Barat.

Sebagai respons, Israel mengumumkan langkah untuk membenarkan lebih banyak bantuan sampai ke Gaza, termasuk menghentikan pertempuran untuk sebahagian hari di beberapa kawasan, meluluskan usaha menggugurkan bantuan melalui udara dan mengumumkan laluan terlindung untuk konvoi bantuan.

Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan lebih 61,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 145,870 cedera akibat serangan Israel ke atas wilayah itu sejak serangan yang dilancarkan kumpulan Hamas pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel.

Menurut pihak berkuasa Israel, serangan itu juga telah menyebabkan 1,200 orang terbunuh dan lebih 250 individu diculik dan dibawa ke Gaza.

Setakat ini, 49 orang masih ditahan di Gaza, termasuk 27 individu, yang difahamkan pihak tentera telah mati.

Pada 10 Ogos, Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam satu kenyataan, berkata rancangan kabinet Keselamatan Israel bagi meluaskan operasi ketenteraan mereka di Gaza adalah tindakan berbahaya dan tidak dapat diterima, serta amat membimbangkan Singapura.

Ia menambah tindakan sedemikian “tidak dapat diterima kerana akan menyebabkan lebih ramai orang awam dipindahkan secara besar-besaran serta memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sememangnya sudah parah”.

MFA berkata pemerintah Israel mesti membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza dengan segera dan tanpa gangguan.

Ia menambah semua pihak yang terlibat mesti melindungi nyawa dan prasarana awam, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutama bagi penduduk yang cuba mendapatkan bantuan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg