Pengendali platform perlu mengambil pendirian lebih tegas terhadap pekerja asing yang bekerja secara haram di Singapura, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.
Beliau menggesa agar pengendali platform bekerjasama dengan pemerintah bagi menyediakan sistem lebih adil demi melindungi mata pencarian dan keselamatan pekerja platform.
“Saya ingin menyeru supaya semua syarikat platform mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap pekerja asing yang bekerja secara haram di Singapura.
“Saya berharap mereka akan bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah untuk menyediakan sistem yang lebih adil serta melindungi mata pencarian dan keselamatan pekerja-pekerja platform kita,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 7 Julai.
Beliau berkata demikian menyusuli kenyataan bersama Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 4 Julai bahawa sebuah kumpulan kerja telah ditubuhkan bagi menangani isu warga asing yang menjalankan kerja penghantaran secara haram.
Kumpulan kerja itu terdiri daripada Kongres Kesatuan Sekerja Nasional (NTUC) dan persatuan berkaitan dengannya, serta MOM, MOT dan Grab Singapore.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, menggesa pemerintah pada 4 Julai untuk membentuk kumpulan kerja bagi menangani isu tersebut di samping cabaran lain yang dihadapi pekerja platform.
Selain Encik Ng, kumpulan kerja itu juga akan diterajui Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon; Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling; dan Pengarah Urusan Operasi Kumpulan Grab, Encik Yee Wee Tang.
Selain menangani isu warga asing yang menjalankan kerja penghantaran secara haram, kumpulan itu juga akan secara bersama menangani cabaran pekerja platform dan menjaga kesejahteraan mereka di sebalik ekonomi yang pesat berubah, jelas MOM dan MOT.
Mengulas tentang isu tersebut kepada BH, Encik Zaqy, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, berkata beliau kerap bertemu dan berbincang dengan pekerja platform di Marsiling dan Woodlands.
Dalam sesi pertemuan itu, beliau berkata pekerja platform sering berkongsi tentang isu yang mereka hadapi, seperti ketidakpastian dalam pendapatan, keperluan untuk bekerja lebih lama, serta cabaran bersaing dengan warga asing yang bekerja secara haram.
“Mereka bekerja keras, mencari rezeki halal, namun perlu berdepan dengan isu-isu (seperti ini) setiap hari.
“Ini adalah perkara penting bagi pekerja platform kita kerana ia memberi kesan langsung kepada mata pencarian mereka,” kata Encik Zaqy, yang turut memberi penghargaan kepada NTUC atas seruan untuk menubuhkan sebuah kumpulan kerja bagi meneliti isu tersebut.
Pada 1 Julai, Encik Zaqy, bersama wakil Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA), turut bertemu dengan sekumpulan pekerja platform untuk mendapatkan maklum balas dan berkongsi perkembangan terkini.
Antara lain, LTA berkongsi rancangannya untuk meningkatkan laluan berbasikal dari 4.4 kilometer yang ada sekarang kepada kira-kira 14 kilometer menjelang akhir 2026.
NDCA turut berkongsi usaha mereka untuk mewakili pekerja platform seperti Grab, foodpanda, dan lain-lain, untuk memperjuangkan dasar pekerjaan dan gaji yang lebih adil.
NTUC berkata pada 4 Julai sesetengah warga asing menyalahgunakan akaun untuk mengambil tugasan secara langsung dari platform.
Ini adalah tidak sah kerana tugasan yang ditawarkan melalui platform hanya boleh dilakukan oleh warga Singapura, tegas kenyataan itu.
Ia menambah isu tersebut telah mewujudkan persaingan tidak adil bagi pekerja penghantaran dan memberi kesan langsung kepada pendapatan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg